Selasa, 26 Januari 2021

Pdpr

 Baru tiga hari PdPR bermula, kita dah mula mendengar keluhan dan kekecewaan para ibubapa. Ada yang mendakwa guru tidak mengajar tetapi sekadar meminta anak-anak mereka menonton video di YouTube. 


Ada ibubapa yang mendakwa guru tidak mengajar dengan baik. Tak kurang juga yang berkata pengajaran melalui PdPR gagal.


Beginilah. Biar kita berlaku adil pada para guru. 


Pertama, tidak ada seorang pun guru di negara ini yang dilatih mengajar secara PdPR. Tidak ada. Tidak ada seorang guru pun mempunyai sijil atau ijazah pendidikan di dalam bidang pengajaran PdPR. Tidak ada.


Semua guru di negara ini dilatih sebagai guru yang mengajar secara bersemuka di dalam bilik darjah. PdPR adalah pengalaman pertama semua guru. Jadi tidak adil mendakwa guru tidak cekap mengajar dalam PdPR. Pandemik Covid19 pengalaman pertama semua orang. 


Kedua, dalam mana-mana kerjaya profesional, kita membenarkan ahlinya menguruskan proses dan kita menerima hasilnya. Doktor melakukan proses pembedahan, waris menunggu hasilnya di luar bilik bedah. 


Jurutera menguruskan proses pembinaan bangunan, setelah siap hasilnya akan diserahkan pada pemilik bangunan. 


Seorang tukang masak di hotel masak makanan di dapur, hasilnya makanan yang tersedia dihidangkan pada pelanggan. 


Penulis menulis novel, hasil akhir sebuah novel yang dibaca oleh para pembaca. Jangan harap kita dapat baca sebelum siap novel beliau. 


Anda boleh bayangkan waris berada dalam bilik bedah memerhati dan menilai kerja doktor pakar yang sedang membedah? Mahu meraung bila tengok orang yang kita sayang luka bila dibedah. Tentulah kita tak mahu orang yang kita sayang kena bedah. Tapi itu adalah proses. Kalau kita bukan ahlinya, kita tak akan faham. Sekiranya proses hendak dinilai maka mestilah juga dari ahlinya. 


Biarlah proses diuruskan oleh ahlinya. Manakala hasil dinikmati oleh penerimanya.


Tetapi dalam proses PdPR, guru bukan sahaja terpaksa menguruskan 40 pelajar dalam talian tetapi juga mereka diperhatikan dan dinilai setiap saat oleh para ibubapa yang ikut sertai proses PdPR.


Bayangkan setiap saat guru diperhatikan oleh para ibubapa sepanjang PdPR berjalan. Itu belum lagi bercakap ada ibubapa yang mengambil video dan merakam PdPR para guru. Tidak mudah menjalankan pengajaran dalam talian dengan 40 orang pelajar (apalagi pelajar sekolah rendah) yang turut disertai para ibubapa. Sangat-sangat sukar. Kalau tak percaya, anda cuba sendiri. 


Sebab itu ibubapa kena beri masa dan sedikit ruang untuk para guru sesuaikan diri dengan PdPR. Guru di Malaysia telah dibuktikan mempunyai komitmen yang tinggi. Kajian dari Universiti Cambridge telah membuktikan (https://bit.ly/37dYGUd).  Tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran PdPR. Mereka perlu masa untuk bangunkan bahan pengajaran dan peralatan bantuan mengajar. 


Kesabaran dan sokongan para ibubapa akan banyak membantu menguatkan semangat para guru. Semakin kuat semangat para guru, semakin cepat mereka menyesuaikan diri dan semakin cepat anak-anak kita dapat belajar dengan berkesan melalui PdPR. 


Satu sahaja yang perlu ibubapa lakukan sekarang .. SABAR.. Berikan sedikit ruang untuk guru sesuaikan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan