Mengapa Sistem Pendidikan Caca Marba?
(1) Pelaksanaan PBD telah merumuskan sesuatu yang sangat penting untuk kita pelajari. Ya, sesuatu yang sangat penting dalam usaha kita memahami mengapa sistem pendidikan negara sedang caca marba?
(2) PBD telah menunjukkan wujudnya perbezaan cara fikir antara kumpulan pengubal pentaksiran dan kumpulan pentadbir pendidikan sehingga menghimpit guru sebagai pelaksana pendidikan. 'Mangsa akhir' tentulah murid-murid.
Bagaimana ia berlaku?
(3) Apabila pengubal telah merangka dan menyusun PBD, itulah yang kita lihat di dalam dokumen PBD. Istilah muluk seperti holistik, kemenjadian murid, kualiti pendidikan, pendidikan masa depan atau kepelbagaian bakat murid menjadi 'slogan' para pengubal PBD .
(4) Dari mana mereka dapat ilham untuk mengubal PBD ? Dari siri lawatan, piawaian dan model pentaksiran dari negara lain.
(5) Selepas PBD dibangunkan, maknanya kumpulan pengubal telah melaksanakan tugas mereka. Mereka pun 'cuci tangan'.
(6) Dari 'air tangan' pada pengubal PBD , lahirlah dokumen yang serba cantik. Anda sendiri boleh buat carian untuk membaca dokumen Pentaksiran Bilik Darjah yang dikeluarkan.
(7) Di peringkat pentadbir pendidikan pula, fokus mereka ialah mencapai kecemerlangan akademik. Mereka mempunyai KPI juga. Itulah yang diuruskan sejak dahulu. Memastikan murid-murid mencapai keputusan akademik yang baik dan itu KPI tahunan jabatan. Dengan pemikiran ini, mereka berusaha kuat untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
(8) Apabila bertembung antara idea 'kemenjadian murid' yang holistik oleh pengubal PBD dengan idea 'kecemerlangan akademik' oleh pentadbir, maka para guru sebagai pelaksana pasti tersepit di tengah.
(9) Di satu pihak, guru sedaya upaya cuba untuk memenuhi hasrat para pengubal PBD tentang 'kemenjadian murid' yang holistik. Di satu pihak lain, guru perlu pula patuh untuk memastikan rekod pencapaian akademik meningkat setiap tahun. Seolahnya jika berlaku kemerosotan akademik, ia satu kesalahan besar untuk sekolah dan para guru.
(10) Inilah yang sedang berlaku sekarang. Pengubal mahu laksanakan PBD yang berkesan. Maksudnya, pengubal tahu untuk laksanakan PBD kelas mestilah tidak ramai murid supaya dapat dilaksanakan PBD dengan berkesan. Tetapi pentadbir pula tidak melihat isu mengurangkan bilangan murid-murid di dalam kelas sebagai sesuatu yang kritikal.
(11) Sebab itu PBD di negara ini tetap juga dilaksanakan dalam kelas yang ramai murid. Sehingga ini, tidak ada sebarang pengumuman untuk mengecilkan bilangan murid-murid. Guru-guru tersepit. Akhirnya terpaksa melakukan PBD di dalam kelas yang terlalu ramai murid.
(12) Contoh lain, pengubal PBD tentu faham dan bersetuju yang silibus mata pelajaran tidak boleh terlalu padat dan rigid jika mahu melakukan PBD yang berkesan. Silibus yang tidak padat akan menyebabkan lebih banyak aktiviti murid dapat dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pengubal tahu melalui aktiviti pembelajaran yang banyak ini, pelaksanaan PBD akan lebih baik.
(13) Tetapi pentadbir pula melihat keutamaan mereka ialah laporan kecemerlangan akademik. Silibus mestilah banyak, lebih rigid berasaskan DSKP dan apa yang ada di dalam buku teks.
(14) Guru sebagai pelaksana tersepit di tengah antara pengubal dan pentadbir. Guru perlu melaksanakan PBD dan pada masa yang sama kena juga mengajar secara 'laju' disebabkan silibus yang padat.
(15) Contoh lain. Pengubal PBD bangunkan tahap penguasaan (TP1-6) untuk memudahkan guru mengenal pasti keupayaan murid. Jika rendah keupayaan murid berilah TP1 atau TP2. Kemudian guru lakukan intervensi supaya kemenjadian murid dapat ditingkatkan. Ini proses yang berterusan.
(16) Tetapi tidak semestinya pentadbir melihat TP PBD sebagai alat ukur berterusan membantu kemenjadian murid. Mereka melihat TP PBD sebagai pencapaian akhir murid-murid. Sebab itu timbul berbagai dakwaan kononnya berlaku 'penipuan TP' yang sedang heboh sekarang. Sedangkan PBD adalah amalan di dalam bilik darjah. Apa perlunya pelaporan berterusan PBD di luar bilik darjah kecuali pada ibubapa?
(17) PBD baru satu contoh. Bagaimana pula dengan 'Sekolahku SEJAHTERA'? 'PAK21'? 'TS25'? KBAT?
(18) Selagi pemikiran kumpulan pengubal dan kumpulan pentadbir tidak selaras, guru-guru sebagai pelaksana pasti akan tersepit dan memang caca marba-lah sistem pendidikan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan