Isnin, 14 Ogos 2023

Tarik keter

 Rakyat Rugi Ratusan Juta Ringgit Dalam Isu Tarik Kereta


Dalam sebulan lepas saya ada terima aduan berkaitan dengan isu tarik kereta.

Walaupun saya sering handle isu vaksin, kelahiran, prosedur kesihatan, saya agak terkejut apabila dicari untuk isu tarik kereta.

Apabila saya lihat isu tarik kereta ini melibatkan kepentingan rakyat, saya akhirnya tidak dapat elak daripada uruskan beberapa kes ini.

Dan dalam beberapa kes ini saya dapat lihat betapa mudah orang ramai dipermainkan oleh 3 pihak, iaitu;

1. Bank
2. Penarik Kereta
3. Penyimpan Kereta

Dalam beberapa kes, ada pemilik yang keretanya ditarik walaupun baki hutang masih berbaki 10%. Rupanya pemilik asal telah meninggal dunia, kereta digunakan oleh waris, lebih 8 bulan tak bayar dan ada arahan mahkamah untuk penarikan. Bagi kereta yang telah dibayar lebih 75% tidak boleh ditarik mengikut kontrak asal.

Ada kereta ditarik dengan serahan sukarela dan pemilik fikir akan berurusan dengan pihak bank. Kesilapan pemilik adalah dia tak ikut ke mana keretanya dibawa dan disimpan. Baki loan kereta lebih rendah daripada nilai semasa kereta.

Pihak bank (sebenarnya pihak ke-3) menyusahkan komunikasi dengan pemilik, dan mereka berniat untuk lelong kereta tersebut dengan harga rendah untuk ambil untung dengan jualan semula kereta (nilai masih tinggi).

Jika kereta dilelong rendah dan tidak cukup untuk selesaikan baki hutang, maka pemilik bakal masih ada baki hutang dengan bank. Kereta terlepas dan baki hutang masih ada.

Pihak penarik kereta tidak perlu update Tuan Puan di mana kereta disimpan. Ada kereta yang ditarik di Sungai Petani tapi disimpan di Butterworth. Dalam jarak ini, rim kereta ditukar dan ada aksesori hilang. Penarik tidak dikenali, kad EPS tidak pernah dilihat, identiti langsung tak tahu kerana takut dengan perwatakan gengster yang ditonjolkan.

Ketika kereta hampir dilelong, baru pihak bank (collection) beritahu lokasi kereta. Ada sesetengah situasi, full settlement telah dibuat tapi kereta rosak dan ada barang hilang.

Pihak penarik kereta walaupun ada buat report polis, tapi report itu tidak didedahkan melainkan kepada IO kes jika perbuatan khianat, jenayah dilaporkan. Atau saman sivil dibuat agar proses Discovery untuk tuntutan saman dapat dimulakan.

Dalam isu di atas secara ringkasnya, kelemahan di pihak pemilik menjadi punca mereka teraniaya berganda, selain kemampuan bayar hutang terjejas lebih-lebih lagi pekerjaan dan perniagaan terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan.

Ada ke mana-mana YB nak jadikan manifesto mereka untuk membela rakyat daripada penganiayaan sistem kewangan dan selain membela mereka daripada jadi mangsa kelemahan ekonomi?

Kepada Tuan Puan di luar sana, jika kenderaan bermasalah dan hendak ditarik tanpa pemilik EPS perkenalkan identiti mereka, Tuan Puan boleh kekal berada dalam kenderaan hingga polis peronda tiba. Call polis.

Tuan Puan boleh beri kerjasama untuk kereta ditarik asalkan Tuan Puan tahu;
1.  Siapa yang tarik kereta.
2. Tahu di balai polis mana mereka akan pergi buat report polis, dan
3. Tahu di lokasi mana kereta akan disimpan.

Jangan takut. Hubungi ahli keluarga terdekat atau rakan terdekat untuk ada bersama-sama Tuan Puan.

Maklumat penyimpanan kenderaan ini perlu dikongsikan oleh penarik kereta dan kereta Tuan Puan tidak boleh dibawa pergi secara 'misteri'. Tuan Puan jangan sesekali terima jawapan penarik kereta untuk 'tanya bank' berkenaan keselamatan kenderaan Tuan Puan yang bakal dibawa pergi.

Sebaiknya Tuan Puan ikut sekali jika kenderaan dibawa secara towing.

Masalah berkait dengan pemilik yang kerugian kerana penganiayaan, sabotaj dan taktik kotor untuk 'lelongkan' kereta adalah tidak mampu lantik peguam untuk pertahankan 'harta' mereka yang dibawa lari.

Untuk minimumkan risiko ini, pastikan mata Tuan Puan tidak terlepas pandang proses kereta dibawa pergi hingga ke lokasi kereta disimpan.

Untuk tindakan pembelaan, masih ada beberapa pilihan tindakan yang boleh diambil dengan menggunakan agensi kerajaan dan sistem perundangan sedia ada. Kita kongsi kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan