Rabu, 9 Januari 2013

Halal makanan ikan


Saya adalah penternak dan pembekal benih ikan komersial. Di samping itu juga, saya menjual makanan ikan kepada penternak-penternak ikan.

Ternakan ikan komersial seperti tilapia merah, tilapia hitam, keli dan patin adalah ternakan ikan yang sinonim di Malaysia ini.

Begitu juga dengan ternakan ikan air masin seperti siakap, dan kerapu memang menjadi sumber pendapatan penternak di Malaysia.

Pelbagai bangsa menternak ikan samada dalam sangkar terapung seperti di Temerloh, mahupun dalam kolam tanah atau simen konkrit.

Penternakan ikan komersial memang telah lama dijalankan oleh penduduk di Malaysia ini untuk menyara hidup. Begitu juga dengan wujudnya makanan ikan jenis pellet di Malaysia.

Rata-rata makanan ikan yang digunakan ini adalah dari pengeluar antarabangsa seperti Thailand dan US.

Mereka telah lama berada di pasaran Malaysia dan mempunyai kilang pemprosesan di Malaysia. Terdapat juga pengeluar tempatan yang rata-rata bukan beragama Islam.

Apa yang merisaukan saya ialah adakah makanan-makanan ikan ini bebas dari unsur-unsur haram?

Saya ada terbaca di internet tentang bahan-bahan yang haram digunakan untuk mempercepatkan proses tumbesaran ikan seperti penggunaan hormon pembesaran.
Hormon yang digunakan dikhuatiri boleh menyebabkan kanser dan boleh merosakkan sistem tubuh badan dalam jangka masa panjang generasi ke generasi.

Selain itu penggunaan bahan-bahan seperti najis seperti darah dan tulang khinzir juga digunakan sebagai sumber protein dan kalsium dalam makanan ikan.
Bukankah hukumnya haram menggunakan unsur darah dalam diet ternakan kerana pengguna ikan adalah di kalangan pengguna Islam.

Walaupun darah lembu yang disembelih, darah itu tetap najis dijadikan sumber makanan. Bloodmeal atau tepung darah yang digunakan dikhuatiri darah khinzir yang harganya lebih murah jika dibandingkan dengan fishmeal atau tepung ikan.

Kini dilihat ada beberapa produk makanan ikan yang diimport masuk ke Malaysia dari Taiwan, Thailand, Indonesia yang seperti tiada sekatan boleh dibawa masuk dan digunapakai oleh pengguna beragama Islam.

Dimanakah letaknya tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan JAKIM dalam menangani isu halal dan haram ini?

Saya sebagai umah Islam di Malaysia yang menggunakan makanan ikan untuk ternakan ikan rasa terpanggil untuk menyetakan rasa tidak puas hati kerana tiada makanan ikan yang diyakini kesuciannya.

Diharap Kementerian lebih menitikberatkan isu halal haram dalam pertanian dan perternakan di Malaysia. Ramai pengguna tidak tahu tentang penggunaan hormon, darah dan tulang khinzir dalam bahan-bahan membuat makanan ikan dan lain-lain makanan ternakan. Mereka tidak didedahkan dengan masalah yang telah lama berlaku ini.
Diharap tuan pengarang boleh membentangkan isu makanan ternakan ini kerana ramai pengguna kita adalah umat Islam.


PENGGUNA ISLAM

guru tukar

Saya mewakili ribuan guru wanita di seluruh Malaysia ingin meluahkan kekecewaan kami apabila permohonan kami untuk bertukar ke negeri lain atas alasan mengikut suami tidak diluluskan. Malah, apabila rayuan dibuat, kami tidak akan dilayan disamping perlu menerima kritikan dan herdikan pegawai-pegawai dan kaki tangan di Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Ada antara kami yang menghadapi masalah ancaman keselamatan ekoran tinggal bersendirian di rumah sewa. Ada juga antara kami guru-guru wanita mengalami masalah keretakan rumah tangga ekoran perhubungan jarak jauh yang terlalu lama. Sebetulnya, permohonan bagi guru wanita yang ingin bertukar mengikut suami boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja seperti waktu dahulu. 

Ribuan permohonan bagi guru wanita yang ingin mengikut suami tidak diluluskan, walhal begitu banyak kekosongan dan juga keperluan guru di negeri berkenaan. Ramai antara kami terjejas kualiti dan tumpuan kerjanya ekoran emosi yang tidak stabil kerana jauh daripada suami malahan ada yang berjauhan dengan anak-anak. Sesungguhnya pihak yang berkenaan perlu peka dan ingat bahawa tempat seorang isteri itu di sisi suami.

Abih modal





Dan yang ini, di atas topi setiap anggota polis digunakan oleh anggota Islam dan bukan Islam ada tertera kalimat "ALLAH" & "MUHAMMAD". Kenapa tak dilarang penggunakan kalimah itu?

UMNO BN sudah kehabisan modal dan isu sebenarnya.






Mantan Mufti Perlis Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin melontarkan satu persoalan yang mencuit minda dan menggoncang jiwa untuk dirungkai secara realiti tetapi berhemah dan berilmiah.

bani Nadhir

Banu Nadhir merupakan salah satu kabilah terbesar dari ras (bangsa) Yahudi yang tinggal berjiran dengan bangsa Arab (Aus dan Khazraj) di kota Madinah. Setelah kedatangan Baginda SAW, mereka telah memeterai perjanjian dengan orang Islam sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian keamanan dan kerjasama yang disebut "Piagam Madinah" - Mithaaq al Madinah. Namun, tabiat khianat yang berakar umbi dalam jiwa Yahudi, mendorong mereka untuk melanggar perjanjian tersebut.

Sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah, sudah ada tiga kabilah besar bangsa Yahudi yang menetap di sana. Mereka adalah Bani Qainuqa', Bani Nadhir, dan Bani Quraizhah. Masing-masing kabilah ini mempunyai sekutu daripada kalangan penduduk asli Madinah. Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir bersekutu dengan Khazraj, sedangkan Bani Quraizhah menjadi sekutu Aus.

Setiap kali terjadi peperangan di antara mereka dengan sekutu masing-masing, orang-orang Yahudi mengancam kaum musyrikin (Aus dan Khazraj) ketika itu dengan mengatakan, "Sudah tiba masanya kedatangan Nabi kami. Dan kami akan memerangi kalian seperti memerangi 'Ad dan Iram."

Namun, tatkala Rasulullah SAW telah muncul daripada kalangan Quraisy, berimanlah Aus dan Khazraj, sementara orang-orang Yahudi justeru kafir kepada Baginda. Lalu turunlah firman Allah Taala:

"Dan setelah datang kepada mereka al-Quran daripada Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, namun setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka ingkar kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang yang ingkar itu." (Surah al-Baqarah: ayat 89)


Rencana Keji Banu Nadhir Terhadap Rasulullah

Selepas peristiwa sedih yang menimpa umat Islam di Uhud, Banu Nadhir menjadi semakin angkuh dan berani membuat perancangan untuk menentang Rasulullah SAW secara diam-diam. Pemimpin Bani Nadhir, Ka'ab bin Asyraf keluar ke Makkah bersama-sama dengan 40 orang pengikutnya menemui Abu Sufian (yang menjadi pemimpin Makkah selepas kematian Abu Jahl). Pemergian mereka adalah bagi menyatakan kesediannya membantu Abu Sufian dalam memerangi Rasulullah SAW.

Penentangan Bani Nadhir semakin ketara ketika Rasulullah SAW dan beberapa orang sahabat pergi ke perkampungan mereka untuk membincangkan urusan diyat (tebusan) dua orang Bani Kilab yang dibunuh secara tidak sengaja oleh 'Amr bin Umayyah Ad-Dhamri di dalam peristiwa Bi'ru Ma'unah. Lalu orang-orang Bani Nadhir pun berkata,  "Kami akan bantu, wahai Abal Qasim (gelaran kepada Rasulullah), Duduklah di sini kami akan selesaikan keperluanmu!"

Baginda bersandar ke dinding rumah kaum itu. Tiba-tiba Banu Nadhir melakukan komplot jahat untuk membunuh Baginda dengan cara melontarkan batu dari atas rumah ke arah Baginda. 'Amru bin Jahash merupakan pemain utama komplot ini yang akan menjatuhkan batu ke atas kepala Rasulullah, dan Baginda SAW mengetahuinya melalui perantaraan Jibril. Lantas Baginda bingkas bangun dengan segera seolah-olah mempunyai sesuatu keperluan.

Tindakan Rasulullah itu menimbulkan tanda tanya kepada para sahabat, dan kemudian Bagindapun menceritakan rencana keji orang-orang Yahudi Bani Nadhir ke atasnya apabila sampai di Madinah. Kemudian Baginda mengutuskan Muhammad bin Maslamah kepada Bani Nadhir dan memberitahu, "Keluarlah dari negara kami. Jangan kamu tinggal di sini selama kamu membelot kami."

Melalui perutusan Muhammad bin Maslamah, Baginda SAW memberi tempoh 10 hari kepada Bani Nadhir untuk keluar dari kampung tersebut. Lantaran itu Bani Nadhir bersiap-siap untuk keluar dari kampung mereka ekoran amaran Rasulullah. Namun Abdullah bin Ubai, ketua golongan munafik mengutuskan utusannya, melarang Bani Nadhir keluar dan berjanji untuk menghantar 2,000 orang daripada kaumnya untuk mempertahankan mereka, "Janganlah kalian keluar. Kerana saat ini aku akan membantu kamu 2,000 pasukan yang bertahan bersama di benteng kalian ini. Mereka bersedia mati membela kalian termasuklah Bani Quraizhah serta para sekutu kalian dari Ghathafan tentu akan membela kalian."

Dan turunlah ayat Allah yang mendedahkan pembelaan Abdullah bin Ubai, si munafik kepada Bani Nadhir:

"Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir daripada kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: “Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!” Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta." (Surah al-Hasyr: ayat 11)


Justeru itu, kaum Yahudi mengubah fikiran daripada keluar meninggalkan kampung halaman kepada berkubu di dalamnya atas arahan Huyai bin Akhtab setelah percaya saranan Abdullah bin Ubai yang kononnya mahu membantu mereka. Huyai bin Akhtab menghantar utusan kepada Rasulullah SAW menyatakan, "Kami tidak akan keluar daripada kampung halaman kami. Buatlah apa yang kamu mahu."

Oleh sebab kedegilan itu, Baginda SAW bersama sahabatnya keluar memerangi mereka. Panji-panji Baginda telah dibawa oleh Ali bin Abi Talib dan apabila Banu Nadhir melihat tentera Rasulullah, mereka merejam anak panah dan batu ke arah tentera Islam. Bantuan yang dijanjikan kepada mereka oleh ketua munafik tidak sampai. Baginda SAW mengepung mereka, namun mereka tetap bertahan. Baginda terpaksa menebang pokok-pokok kurma mereka yang menjadi "rakan setia" kepada Banu Nadhir. Setelah itu, baharulah ketakutan menyeringai Banu Nadhir dan berkata, "Kami akan keluar dari negeri kamu..."

"Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik." (Surah al-Hasyr: ayat 5)


Baginda SAW mengenakan syarat kepada mereka agar keluar tanpa membawa senjata. Mereka hanya dibenarkan keluar bersama harta mereka yang mampu dibawa oleh seekor unta. Baginda juga menjamin darah mereka akan terpelihara, tidak akan ditumpahkan walau setitik dengan syarat mereka tidak memulakan persengketaan dengan umat Islam.

Apabila Bani Nadhir mendengar syarat yang dikenakan Rasulullah itu, mereka mengambil segala benda yang boleh dibawa dan meruntuhkan rumah-rumah mereka agar orang Islam tidak dapat menggunakannya. Mereka berangkat keluar, sebahagian mereka berhenti menetap di Khaibar, 100 batu dari Madinah. Sementara sebahagian yang lain berhenti menetap di Jarsh, selatan Syam.

Menginsafi Kehinaan Bani Nadhir Dalam Surah al-Hasyr

Surah al-Hasyr telah diturunkan berkenaan pengusiran Bani Nadhir. Antaranya firman Allah Taala:

"Dia-lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (daripada azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkan-Nya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah mereka dengan tangan mereka sendiri sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya."

"Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Dia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak."

"(Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amat-lah berat azab seksa-Nya." (Surah al-Hasyr: ayat 2-4)

Imam Bukhari dalam Sahih-nya (Kitab al-Maghazi wa Tafsir al-Quran) bahawa Sa'id bin Jubair berkata, "Aku berkata kepada Ibnu Abbas tentang Surah al-Hasyr." Kata beliau, "Ia juga dikenal Surat An-Nadhir."

Selasa, 8 Januari 2013

Taktik

‎5 Taktikal Perang Terbaik Sepanjang Zaman: 

1. Pertempuran menawan Kota Constantinople - Perang ini diketuai oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, seorang anak muda berjiwa singa. Kapal-kapal tentera Islam sukar untuk memasuki Tanduk Emas yang terdapat rantai besi memagarinya. Mengejutkan, Sultan Muhammad Al-Fateh memutuskan untuk menarik kapal di daratan mengatasi perangkap tentera Rom.

2. Pertempuran Gaugamela - Alexander The Great dengan askar sebanyak 47 000 harus bertempur dengan 250 ribu hingga 1 juta askar. Menjangkakan Alexander akan menyerang secara mengejut pada waktu malam, Darius memaksa askarnya untuk berjaga dan Alexander pula tahu Darius akan berlaku sebegitu kerana skarnya yang kecil menyuruh askarnya untuk berehat.

Keesokan harinya, barulah Alexander menyerang. Beliau seboleh-bolehnya mahu menarik tentera Darius sebelakang mungkin untuk mewujudkan ruang kosong dalam tentera Darius bagi serangan askarnya. Barisan sayap Darius telah ditarik oleh Alexander sehingga membuatkan barisan tengah askar Darius terdedah dengan serangan.

3. Pertempuran Chi Bi - Pertempuran ini berlaku ketika zaman lewat Han, di mana Wu dan Shu bergabung askar dengan jumlah tentera mereka hanyalah 50 000 askar untuk bertempur dengan 800 000 askar Wei.

Huang Gai, panglima tentera Wu telah mengetuai sebilangan kapal menghampiri armada kapal Wei, dan ketika kapal tersebut sedang bergerak laju, Huang Gai telah membakar kapal-kapal tersebut lalu terjun ke dalam bot kecil yang telah tersedia dan melarikan diri daripada pertempuran.

Askar Wei yang tidak bersedia terpaksa menerima akibat apabila kapal mereka telah dilanggar oleh kapal yang tidak berpenghuni, penuh dengan api yang marak.

4. Pertempuran Marathon - Miltiades mengetuai askar Yunani untuk menghadapi serangan Parsi. Membentuk formasi yang agak unik, beliau telah menguatkan bahagian sayap kiri dan kanan askarnya tetapi sengaja melemahkan bahagian tengah tenteranya.

Ketika tentera Parsi sedang sibuk menyerang, bahagian sayap Yunani berjaya mengekang kemaraan Parsi, tetapi tengah telah berundur ke belakang membuatkan tentera Parsi telah masuk ke dalam perangkap. Ini membuatkan tentera Pari telah berpusu-pusu masuk ke bahagian tengah Yunani dan membuatkan mereka terkepung oleh sayap kanan dan kiri Yunani.

5. Pertempuran Salsu - Perperangan ini melibatkan Kerajaan Goguryeo melawan Dinasti Sui China. Kerajaan Goguryeo ialah sebuah dinasti Korea.

Ketika pertempuran ini, askar Korea yang hanya berjumlah 10 000 orang harus bertempur dengan bala askar China yang berjumlah 300 000 orang.

Panglima tentera Korea, Eulji Mundeok bijak bermain taktikal dengan menggunakan empangan yang terdpaat di atas bukit. Ketika bala tentera China menghampiri mereka, air bah daripada atas empangan telah dilepaskan dan menyapu habis tentera China.