Selasa, 11 Jun 2019

Insan

Berdasarkan hakikat ini jelas lah bahawa di antara keistimewaan insan itu ialah keupayaan memiliki ilmu dan hikmah (kebijaksanaan). Sementara jenis ilmu yang paling utama ialah ilmu tentang Allah, Sifat dan Af'alNya. Dengan ilmu sempurnalah kejadian insan dan pada kesempurnaannya terdapat kebahagiaannya dan kelayakannya untuk berada dekat dengan hadrat Jalal dan Kamal Nya.

Jasad fizikal adalah kenderaan bagi roh sementara roh pula adalah wadah bagi ilmu. Ilmu lah yang menjadi tujuan insan dijadikan dan keistimewaannya. Sepertimana kuda dan keldai berkongsi kelebihan yang sama iaitu keupayaan memikul bebanan, namun kuda memiliki keistimewaan tersendiri berbanding keldai iaitu keupayaan melompat, berlari dan memiliki rupa paras yang lebih indah. Oleh itu kuda diciptakan semata-mata kerana keistimewaan ini, namun jika ia tiada memilikinya maka martabat kuda jatuh ke bawah sehingga ke martabat keldai.

Begitu juga halnya dengan insan, ia menyertai keldai dan kuda dalam beberapa ciri dan menyalahi keduanya dalam beberapa perkara yang merupakan keistimewaannya. Keistimewaan tersebut adalah sebahagian dari sifat malaikat yang hampir dengan Allah. Justeru itu martabat insan itu berada di antara haiwan dan malaikat, dari segi ia adalah makhluk yang mengambil gizi dan memiliki zuriat maka ia seperti tumbuh-tumbuhan. Dari sudut kemampuannya untuk merasai dan bergerak ia adalah seperti haiwan.

Seterusnya dari segi rupa paras dan postur tubuhnya maka ia seolah ukiran yang terpahat pada dinding, sungguhpun begitu, keistimewaan insan ialah kemampuannya untuk mengenali segala sesuatu. Barang siapa yang menggunakan seluruh anggota tubuh dan potensinya untuk mendorongnya mendapatkan ilmu dan beramal dengannya maka dia menyerupai sifat para malaikat, maka layak lah dia bersama dengan mereka dan digelar Malaikat dan Rabbani (orang Tuhan).

Firman Allah SWT menceritakan perihal wanita-wanita di zaman Nabi Yusuf a.s.
( مَا هَـٰذَا بَشَرًا إِنۡ هَـٰذَاۤ إِلَّا مَلَكࣱ كَرِیمࣱ)
Ini bukan manusia biasa ini adalah malaikat yang mulia...
[Surat Yusuf 31]

Sebaliknya barang siapa yang menumpukan seluruh perhatiannya kepada kelazatan fizikal, makan seperti makannya haiwan ternakan maka martabatnya telah jatuh ke martabat binatang. Jika hanya memikirkan untuk memenuhkan tembolok jadilah ia seperti lembu, atau bebas menurut nafsu serakah seperti babi atau yang sentiasa menyalak sama ada diberi makan atau tidak seperti anjing atau kucing jantan atau sentiasa berdendam seperti unta atau yang sentiasa bersifat angkuh dan sombong seperti singa atau buas seperti musang atau makhluk yang menghimpunkan kesemua sifat-sifat tersebut iaitu syaitan.

Tiada anggota badan dan pancaindera yang ada pada insan melainkan dapat digunakan untuk sampai kepada makrifatuLLah...

Ihya' Ulumiddin..

Isnin, 10 Jun 2019

Bertunang

Bertunang dan berkahwin ni nampak indah tapi realitinya hanya yang melalui je tahu. Siapa yang rancang nak bertunang tu, korang tengok ujian dan cabaran yang selalu orang bertunang hadap. Ikut dan hayati baik baik , yang mana buruk jadikan tauladan dan yang mana baik ambil sebagai  pedoman 🌸

Situasi 1: DIUJI DENGAN MASALAH KEWANGAN
godaan: gunalah duit sikit untuk melabur. lepas dua tiga bulan dapat duit lebih, boleh guna tampung majlis. kahwin banyak pakai duit. kurang siket jer sekarang. nanti dapatlah ganti lebih

NOTA PENTING : pastikan duit kahwin sedia yang disimpan tidak diusik bagi perkara sampingan. jika ada duit lebih boleh guna. tapi kalau duit tu memang cukup cukup untuk keperluan kahwin. ada baiknya utamakan yang penting, bincang dengan pasangan untuk buat keputusan. ada satu kes, menyesal sendiri sebab guna duit hantaran untuk join business, at last, duit tak dapat. wedding kena tangguh

Situasi 2. KEHADIRAN TETAMU TAK DIUNDANG(ex)
godaan: saya sayang awak lagi. kalau saya masuk meminang awak? saya tunggu awak. saya snggup tunggu awak sampai awak cerai and etc

PERINGATAN PENTING : kenapa dia jadi ex? sebab dia adalah EXperienced! lepas dan mulakan! hargai yang lebih menghargai. kalau dulu bukan percinta yang baik. sudah masanya membuktikan kita boleh jadi percinta yang terbaik! Lepaskan..mulakan kisah baru yang boleh menjadi cerita paling indah untuk anak cucu. insyaallah.

Situasi 3: DIUJI DENGAN SIKAP
godaan: tiba tiba tunang menjadi terlalu sensitif,baran,kurang sabar

NOTA PENTING, bila niat nak kahwin. sememangnya meletakkan kita dalam satu tahap yang stress. sebab banyak benda nak kena fikir, settle. ditambah dengan rasa commitment (feeling feeling husband, wife), maka jadi care terlebih lebih. benda simple jadi complicated.syaitan duk tambah dos nak kasi batal benda baik. makin meletuplah! sabar..masa ni masing masing kena main peranan. takkan settle benda dalam keadaan marah. ajak solat hajat, mengaji. amik wudhuk. bila dua dua dah tenang. bincang tanpa melibatkan emosi. yang penting. ingat niat asal! nikah kerana Allah. tengok masalah. bincang penyelasaian. jangn fokus pada punca sahaja. rendahkan ego dan belajar menerima dan mendengar. insyaallah akan jd lebih baik dr sebelum gaduh.

Situasi 4: DIUJI DENGAN RAGU RAGU
godaan: kau nak kahwin dengan dia? tapi kenapa?. tak rasa ke muda lagi? banyak lagi cita cita nak capai? bersedia ke nak jadi wife ni? dan etc

yang ni semua orang alami. nikah sebab nak redha Allah. kalau nak mengejar dunia, sampai bila kita akan berhenti mengejar? mungkin kita mati ketika berlari mengejarnya. stop fikir negatif! tak ada orang bersedia. yang penting cuba bersedia. cari ilmu (baca buku, ceramah dan sebgainya). soal boleh ke tak jadi wife or menantu. itulah pengalaman. baiki dr kesilapan. contoh, masak tak sedap, lepas ni baiki masakan. kita takkan terus jd perfect. tapi kita boleh berusaha kan? ubah mindset!

godaan II: betul ke aku nak kahwin dengan dia ni. kalau nak kata (kaya or handsome or baik or….) si A tu macam lebih lagi baik dari tunang aku ni
*istigfar. kembali dengan niat asal. nikah kerana apa? jodoh ni kan walaupun kita nampak jelas jelas kekurangan, kelemahan dia, kita tak boleh rasa benci. walaupun muka dia mungkin penuh jerawat dan sebagainya. kita rasa tenang tengok. bila gaduh, tetap rasa nak bersama. doa pada Allah supaya semakin kuat cinta pada dia, kuat lagi cinta pada Allah

Situasi 5. TEKANAN KELUARGA & KELUARGA BAKAL SUAMI

Godaan : Apabila sudah mengenali keluarga bakal pasangan, menetapkan wang hantaran, dan sebagainya, mungkin ada terdetik rasa tidak senang terhadap keputusan mereka.

Walau apa pun, kita janganlah terlalu cepat menilai seseorang sedangkan kita belum mengenali mereka sepenuhnya.
keluarga, terasa hati dalam keluarga , mula rasa betul ke mertua akan suka aku, betul ke ipar duai akan berkenan dekat aku, hal ni semuanya dari syaitan yang senantiasa menghantui kita untuk membatalkan niat yang baik ..

Situasi 6.MULA TAWAR HATI

Setelah bermacam-macam ujian datang menimpa, sesetengah daripada mereka mula tawar hati dan tidak berminat lagi untuk meneruskan tempoh pertunangan.

Selidik dahulu punca tawar hati dan cubalah selesaikan selagi boleh.

Situasi 7.EMOSI TIDAK STABIL

Ada sesetengahnya yang tidak senang duduk apabila sudah mengikat tali pertunangan. Kadang-kadang sedih, marah, terlalu gembira, dan ada yang asyik teringatkan tunangnya sedangkan ada yang telah lama mengenali hati budi masing-masing.

Semasa berkawan, mungkin anda tidak merasai betapa seriusnya hubungan ini, dan bagaimana komitednya anda terhadap perkahwinan yang bakal berlaku. Maka, mungkin sebab ini menjadikan anda resah dan gelisah.

Situaso 8. TAKUT SALAH BUAT KEPUTUSAN

Godaan: Antara fobia dan dugaan semasa bertunang, ada yang mula menampakkan ‘perangai’ sebenar. Jadi, anda mula berasa ragu-ragu terhadap pilihan anda.

Menurut Suzana Ghazali, seorang Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie, Undang-Undang Kekeluargaan Islam menetapkan bahawa seseorang individu boleh mendapatkan gantirugi sekiranya sesuatu pertunangan diputuskan oleh pihak yang satu lagi tanpa sebab yang kukuh.

Maka, anda berhak menerima semula sebarang bentuk pemberian anda kepada si dia, lebih-lebih lagi jika anda telah membelanjakan wang yang banyak untuk majlis perkahwinan yang bakal diadakan.

Situasi 9. CEMBURU BUTA

Oh ya, kadang-kadang ada juga yang tiba-tiba menjadi terlalu cemburu dan asyik mahu mengawal pergerakan tunang mereka. Ini adalah dugaan semasa bertunang yang biasa terjadi.

Sedangkan, lelaki ini belum lagi berhak dipatuhi oleh wanita tersebut sebelum melafazkan akad nikah. Begitu juga seorang wanita yang tidak berhak meminta sebarang bentuk tanggungan daripada pihak lelaki.

Namun, sebagai seorang Islam, kita wajib menjaga pergaulan kita walau di mana kita berada, sama ada sudah bertunang ataupun belum

Situasi 10.KESIBUKAN PERSIAPAN PERKAHWINAN

Sibuknya menjelang majlis pernikahan! Pada saat-saat akhir, tak mustahil ianya tidak berjalan seperti yang dirancang. Namun, semua ini adalah di luar kawalan kita.

Dugaan semasa bertunang antaranya boleh berlaku kesilapan teknikal dalam sebutharga, perubahan tempat majlis, baju nikah tak muat atau tersilap jahit, dan banyak lagi

p/s: just share niat baik, nak jadi halal. Bukan senang ,banyak dugaan yang terpaksa ditempuh sebelum ikatan halal yang sah.
nak kahwin kan. apa apa pun, setiap kali ujian. cari Allah! ujian tu tanda kita perlu lebih kuat dengan tuhan. semoga perkongsian ni bermaafat. semoga Allah redha.Sebenarnya, sebagai orang Islam, kita perlu percaya bahawa semua dugaan semasa bertunang yang datang ini adalah daripada Allah, sebagai ujian kepada hambaNya.

Oleh itu, walau apa pun dugaan semasa bertunang yang terjadi, kita harus sentiasa redha dan meminta pertolongan daripada Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya, Allah lebih mengetahui akan sesuatu yang tidak kita ketahui.

Di samping itu, berusahalah mendekatkan diri dengan Allah sebelum kita menjejakkan kaki dalam alam rumah tangga, sebagai persediaan menjadi ketua dan pembimbing kepada institusi kekeluargaan yang bakal didirikan.

Seperti dalam surah Al-Imran ayat 54:

“Dan Mereka Merancang, Allah juga merancang, Dan ALLAH sebaik-baik Perancang”

📸: Kau Dan Aku
#mc
Fb cempedak chese

Ahad, 9 Jun 2019

SPBYDA

Sama macam warisan capal nabi yang diletak di kepala sebagai lambang junjung kini dihina oleh Melayu jahil dan dipanggil bidaah, syirik dan capaliyyun.

Padahal "Capal Nabi s.a.w. di junjung" ni sudah lama diamalkan oleh kesultanan Melayu Islam sejak beratus tahun lamanya.

Sebab tu raja kita digelar "Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda."

Duli tu Habuk, Maha Mulia tu Allah, maksudnya Sultan ni Habuk (di bawah naungan) Allah.

Paduka pula maksudnya Capal, baginda pula merujuk kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang membawa maksud para sultan menjunjung capal baginda atau para sultan berada di makam bawah capal baginda nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Jadi ulama Melayu dulu dah tetapkan cara sembah hormat raja mengikut tertib ini:

-Allah ku junjung paling tinggi dan sultan hanya habuk-Nya sahaja.
-Rasulullah raja paling tinggi dan para sultan bernaung di bawah capalnya sahaja.
-Para Sultan yang dijunjung perintahnya (bukan orangnya), kerana perintah mentaati perintah sultan itu datangnya dari nabi pemilik paduka dan juga junjungan tertinggi iaitu lah Allah.

Sebab tu bila Sultan bertitah, rakyat pipit kena jawab "menjunjung perintah Tuanku". Sebab yang kita junjung tu Allah dan Rasul yang perintah kita taat perintah Sultan Islam. Memang betul Sultan manusia biasa, tapi mereka ada mandat dari Allah dan Rasul yang diamanahkan untuk jaga urusan umat Islam.

Jadi Sultan adalah "penyeri" kepada Capal Nabi. Capal nabi tu jadi junjungan para Sultan dan juga rakyatnya. Maka berbanggalah menjadi golongan "Capaliyyun" kerana kita bernaung di bawah capal baginda nabi.

Punyalah hebat Warisan Melayu kita yang bersulamkan Islam. Sayangnya lebih ramai bangsat dari bangsa.

Memang benar,

"Berdebat dengan orang bodoh hanya akan menjadikan orang bodoh menjadi dua."

Bangsa yang paling hina  ialah bangsa yang tidak tahu sejarahnya sendiri.

Jumaat, 7 Jun 2019

Poligami

Bini tua bini muda,
Mana kan sama bini no tiga,
Mari bermaafan sesama kita,
Di pagi Aidilfitri yang mulia.

Jangan ditolak rezeki yg datang,
Apatah lagi rezeki berkahwin lagi,
Hari raya bakal menjelang,
Puasa ditinggal wajarlah ganti.

Anak dara seindah rupa,
Hebat lagi kuasa jandanya,
Kalau tuan tidak puasa,
Jangan nak bermegah berhari raya.

Berpoligami banyak risikonya,
Tambahkan ilmu didada seadanya,
Jangan hanya bersalam saja,
Duit raya dan angpau turutlah serta.

Gadis bertudung indah ditenung,
Jika berkenan jumpalah ibu bapanya,
Bila memandu pulang ke kampung,
Berhati-hatilah di jalan raya.

Berkahwin 4 memanglah hebat,
Silap langkah boleh kena lipat,
Nak hantar kad raya dah tak sempat,
Pakai whatsapp pun kira ok sbb nak cepat.

Wahai kawan2 gagah perkasa,
Sudilah membantu wanita yg dah berusia,
Maaf andai terkasar bahasa,
Saya ucapkan Selamat Hari Raya !!

Andai kata Di sepanjang Persahabatan Kita, ada terkasar bahasa, segala makan minum, umpat2 blkg, harap dihalal & dimaafkan..😂😂😃😃😍😍

SELAMAT HARI RAYA
AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN

Sabtu, 1 Jun 2019

Minda melayu

*Tragedi pemikiran Melayu.* 

Oleh: PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ

KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.

Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggung jawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

*Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.*

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.

Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.