Isnin, 25 Julai 2011

Jelaskan punca pelajar matrikulasi tercicir.

 Utusan Malaysia 25 Julai 2011 - SAYA ingin merujuk luahan Ibu Prihatin (Pasir Gudang, Johor) yang disiarkan di ruangan ini pada 18 Julai 2011 lalu.

Anak saudara saya yang mempunyai Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.09 juga mengalami nasib yang sama tidak mendapat tempat di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Rayuan telah pun dibuat walaupun hasilnya nanti masih tidak menjanjikan harapan.

Apabila diajukan soalan ini kepada pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu pun tweet Menteri bertanggungjawab, jawapannya seolah-olah skrip standard yang telah dirancang iaitu 'Pelajar mungkin salah memilih kursus yang beliau tidak layak'. 

Soalan saya di sini ialah: 

- Mana mungkin para pelajar memilih kursus yang mereka tidak layak kerana borang panduan Unit Pusat Universiti (UPU) telah menyenaraikan universiti-universiti dan kursus-kursus yang pelajar boleh memohon diasingkan mengikut kategori aliran masing-masing (Sains, Akaun dan sebagainya). Kalau pun ada kesalahan, bukankah itu bermakna pihak UPU yang tidak mengemaskini senarai universiti dan kursus yang pelajar layak memohon?

- Pelajar-pelajar juga diberi opsyen 'Adakah anda akan menerima selain daripada lapan kursus yang dipilih di atas'. Saya yakin semua pelajar akan menjawab 'Ya'. Kenapakah mereka ini tidak diberi peluang memasuki universiti dalam kursus-kursus yang KPT fikirkan layak mengikut budi bicara kementerian?

- Apakah sebenarnya kelayakan masuk universiti kerana pelajar yang mendapat CGPA 3.00 ke atas pun tidak mendapat tempat? Para ibu bapa di luar sana seperti Ibu Prihatin sudah semestinya mahukan ketelusan dan penjelasan kementerian berhubung perkara ini.

- Adakah satu jaminan bahawa setiap pelajar Matrikulasi yang membuat rayuan akan mendapat tempat yang dijanjikan nanti? Saya tidak kisah kalau pelajar tersebut gagal (sememangnya tidak layak), malah jauh sekali mendapat keputusan sekadar 'cukup makan'. Tetapi pelajar-pelajar terpinggir ini ialah pelajar-pelajar cemerlang dan bertungkus lumus selama dua semester di Pusat Matrikulasi.

Saya sudah mulai ragu kenapa kementerian membuat pengambilan pelajar matrikulasi yang begitu ramai sebelum ini, malah pada kemasukan akan datang ini juga.

Apa gunanya mengambil ramai pelajar matrikulasi sekiranya selepas tamat pengajian tempat mereka tidak terjamin di universiti? 

Adalah lebih baik mereka ini menerima tawaran Diploma sekiranya mereka tahu kesudahan mereka begini. Kerajaan telah membelanjakan duit yang banyak membina Pusat Matrikulasi di seluruh negara dan malah memberi pembiayaan penuh kepada pelajar-pelajarnya sepanjang mereka menuntut ilmu di sana.

Bukankah satu pembaziran jika mereka ini dipinggirkan di hujung jalan?

Sikap kementerian yang berdiam diri juga amat mendukacitakan kerana tidak tampil memberi penerangan dan penjelasan sepatutnya kepada pelajar-pelajar terpinggir ini khususnya dan ibu bapa mereka amnya. 

Namun begitu, saya masih mempunyai kepercayaan tinggi terhadap kementerian memandangkan saya juga merupakan produk Pusat Matrikulasi. 

Saya yakin kementerian akan mengambil langkah segera dan efektif untuk menyelamatkan pelajar-pelajar matrikulasi yang terpinggir ini.

PEDANG BERTUAH

Kuala Lumpur.

Sumber: http://www.utusan.com.my"
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan