Sabtu, 13 April 2013

Kemaafan isteri


Maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.
Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh  Rasulullah SAW:  “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.
Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)
Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa…  sehingga dengan itu aku  tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, ”Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”
Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi.
Sepatutnya, aku tidak terkesan dengan wajah mu yang mencuka dan layanan mu yang selamba. Tapi entah kenapa, pada hari itu aku menjadi sangat perasa. Mungkin kerana ujian dan cabaran yang begitu berat ketika pulang dari bermusafir. Keletihan, cabaran dan masalah ada kalanya menggugat juga ketenangan kita. Lalu aku rasakan segala-galanya itu hanya aku yang mengalami tanpa ku sedari kau juga sedang diuji. Apa kurangnya ujian dalam rumah dibandingkan ujian di luar rumah. Mungkin tidak dari segi fizikal, namun mental dan emosi mu tentu sahaja teruji.
Belum, belum… aku belum mampu menjadi suami seperti Sayidina Umar RA, yang mampu menghadapi kerenah isteri dengan senyuman. Yang mampu berdiam diri menghadapi leteran isteri. Bukan kerana takut isteri. Bukankah Sayidina Umar adalah insan penuh keberanian sehingga digeruni oleh para syaitan? Namun, begitulah tarbiah Umar kepada isterinya. Leteran dihadapi dengan kesamaran. Api kemarahan akan padam apabila disiram dengan salju kemaafan. Akan kurenungi kembali nasihat Sayidina Umar kepada seorang suami yang sering menghadapi kerenah isterinya dengan meluahkan suara hatinya sendiri ketika berdepan dengan situasi yang sama: “Hai saudara ku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteri ku pada ku; dia seorang tukang masak makanan ku dan pencuci pakaian ku, dan yang menyusu anak ku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hati ku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”
Ya, itulah peribadi Sayidina Umar yang sesungguhnya telah dididik oleh Rasulullah SAW. Pernah suatu masa Sayidina Umar masuk menemui  Nabi Muhammad yang ketika itu Nabi sedang berbaring.  Nabi telah menyendiri di biliknya dan sebelum itu telah tersebar khabar angin bahawa baginda telah menceraikan isteri-isterinya. Sayidina Umar : Ya Rasulullah, adakah kamu telah ceraikan isteri-isteri kamu?
Sayidina Nabi mengangkat kepalanya dan berkata : Tidak
Sayidina Umar : “Allahu akbar Allahu akbar. Tuan boleh lihat sendiri betapa wanita-wanita kita tidak sesekali berani mengungkit dan membalas apa kita cakap. Sekarang mereka mula telah terkesan dengan perempuan kaum ansar yang suka mengungkit dan membalas cakap suami mereka.”

Suatu hari saya marah isteri saya dan dia berkata : “Apa yang peliknya jika saya mengungkit dan membalas cakap awak sedangkan isteri-isteri Nabi pun melakukannya terhadap Nabi.
Sayidina Umar : Agak malanglah sesiapa di kalangan mereka itu yang melakukan sedemikian. Adakah kamu boleh tenang dengan kemurkaan Allah kerana membuat kemarahan Baginda. Habislah kalau begitu.

Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata sayidina Umar.
Sayidina Umar : “Ya Rasulullah, suatu ketika saya jumpa Hafsah dan berkata kepadanya : Janganlah kamu terpedaya dengan perasaan kamu apabila melihat mereka lebih comel dan disukai oleh Nabi.”
Nabi tersenyum sekali lagi. Sayidina Umar : “Adakah Tuan sudah merasa lega dan terhibur?”
Nabi berkata : “Ya.”

Semakin ku renung semakin terasa bersalah. Sungguh aku telah bersalah ketika ku tolak rayuan mu untuk dimaafkan tempoh hari.  Aku terlupa akan firman Allah ini: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada mu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Al- Fushshilat : 34
Teringat aku ‘mauizah’ yang pernah ku terima dalam usrah suatu ketika dulu:“Jika tidak ada orang yang melakukan kesalahan kepada kita, mana mungkin kita mendapat pahala sabar? Jika tidak ada orang yang bersalah dengan kita, kita akan rugi… kerana tidak berpeluang mendapat pahala memaafkan. Sedangkan sabar dan memaafkan itu sangat besar pahala serta nilainya di sisi Allah.”
Begitu pesan para murabbi yang telah sama-sama kita dengar berulang kali. Ya, aku suami yang pelupa. Lupa akan pahala sabar. Alpa akan kelebihan memaafkan. Sedangkan telah lama Allah mengingatkan melalui firmanNya:”Orang yang sabar akan mendapat pahala tanpa hisab.” Allah jua telah mengingatkan:”. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS. Az-Zumar: 10)
Sebagai suami aku seharusnya berjiwa murabbi. Seorang murabbi seharus nya lebih banyak memuji daripada mengeji, memujuk daripada mengutuk, mengajak berbanding membentak, melapangkan daripada menyusahkan… sayangnya, aku tidak sebegitu. Kekadang aku terlalu cepat menghukum. Sedangkan telah berkali-kali diperingatkan oleh orang yang bijaksana, “sesiapa yang cepat menghukum tidak akan sempat memberi kasih sayang!”
Lalu, di akhir lembaran ini sekali lagi… ku ulangi ayat pertama dalam surat ini, “maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan