Selasa, 2 April 2013

Rasain



flying hut photo manipulationAssalaamu'alaikum. Pepatah lama ada menyebut, "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Ianya masih relevan sehingga kini dan mungkin untuk selamanya. Begitu juga dengan pepatah"tak kenal maka tak cinta". Kedua-dua pepatah ini berkait rapat dengan tajuk yang akan dibincangkan sekarang.

- Apabila kita tidak mengalami sendiri suatu penyakit yang ditanggung oleh orang lain, maka kita tidak akan faham bagaimana tahap seksa/kesakitan yang ditanggungnya. Kerana itulah adakalanya sensitiviti kita untuk bersimpati terhadap seseorang pesakit mungkin tidak seberapa, kerana kita mungkin fikir ianya hanya sakit yang ringan, sedangkan yang menanggungnya mungkin teramat sakit, dan begitulah sebaliknya.

Kerana itulah, untuk lebih memahami walaupun tidak sepenuhnya, tentang bagaimana perasaan si pesakit, kita perlu bergaul dan mendengar sendiri luahan-luahan pesakit (sama ada secara berdepan atau melalui penulisan dsbnya). 

- Seorang guru agama, yang tidak mempunyai banyak pengalaman bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mungkin tidak memahami perasaan dan pola pemikiran banyak golongan. Jika dari kecilnya hingga saat dia bergelar Guru Agama , hanya bergaul dengan manusia-manusia yang hampir sama dengan kategorinya saja, maka sudah tentu sukar untuk dia memahami perasaan dan pemikiran manusia kategori lain. Itulah yang boleh menimbulkan salah faham dan lemah pendekatan untuk berdakwah atau menarik orang lain untuk minat pada agama.

Kerana itulah Guru Agama seperti Ustaz Azhar Idrus ada keistimewaan dalam memahami pelbagai lapisan masyarakat, kerana mempunyai pengalaman bergaul dari kalangan manusia-manusia yang nakal dan berbuat banyak maksiat, hinggalah kepada kalangan manusia-manusia yang baik dan kuat beriman. Ini bukan nak 'jack' UAI, tetapi sebagai contoh sahaja :D.  Dengan pengalaman-pengalaman tersebut, mudahlah untuk 'tackle' dan dakwah mana-mana golongan pun dengan lebih berhikmah dan lebih memahami perasaan, kehendak dan minat mereka. Kerana seorang manusia yang jahat sekali pun, masih ada ruang untuk dia berubah, jika betul cara 'tackle'nya insyaAllah.

Dan kalau kita perhatikan Sirah Nabi Muhammad S.a.w pun, baginda mempunyai banyak pengalaman dengan pelbagai lapisan masyarakat, dari rakyat bawahan hinggalah kepada pemimpin atasan. Sejak kecil dia dihantar ke kawasan lembah bersama dengan golongan pengembala, kemudian pernah juga merantau untuk berdagang bersama bapa saudaranya Abi Thalib, mempunyai saudara-mara yang berpengaruh dalam kuasa pentadbiran di Mekkah dan bermacam-macam lagi. 

- Begitu juga dalam hal ekonomi. Seseorang yang tidak mengalami sendiri menjadi miskin (dari sudut harta benda), terutamanya setelah dia dewasa atau tua, tidak akan faham perasaan dan susah-payahnya golongan miskin, lebih-lebih lagi golongan miskin yang berada di celah-celah pembangunan pesat dan ramai orang kaya di sekelilingnya. Jika hanya dia mempunyai pengalaman menjadi anak orang miskin sewaktu dia kecil dulu, kemudian berubah menjadi kaya apabila meningkat dewasa (mungkin kerana sudah berpelajaran tinggi), ianya masih tidak sama.

Miskin sewaktu kecil atau kanak-kanak, dari segi psikologinya amat berbeza dengan miskin ketika dewasa dan seterusnya. Ketika kanak-kanak, biasanya pemikiran masih lagi belum matang dan tidak merenung jauh. Kanak-kanak juga masih berada dalam suasana bermain dan belajar di sekolah. Apabila meningkat remaja pula, cita-cita dan impian mula dipasang dan berusaha untuk mencapainya. Dimana semua peringkat usia tadi masih memberikan harapan kepadanya untuk menjadi kaya atau melepaskan diri dari kepompong kemiskinan suatu hari nanti.

Tetapi orang miskin dewasa dan tua, bagaimana lagi untuk menyimpan harapan setelah peluangnya makin tipis, tubuh badannya makin lemah, semangat pun makin kurang dan seumpamanya. Tambah lagi jika dia tinggal di celah-celah ramai orang yang kaya-raya di sekelilingnya. Akan bertambah lah perasaan rendah diri dan serba kurangnya, merasa seperti tersepit dan dihimpit.

Sedangkan ramai juga orang kaya yang sudah kaya dari kecilnya kerana ibubapanya adalah orang kaya. Dan tak kurang juga yang mendapat rezeki melimpah-ruah dalam waktu yang singkat, dan juga mempunyai pekerjaan yang tidak terlalu susah tetapi gaji sangat besar. Orang-orang seperti ini lagi payah nak faham jiwa orang-orang miskin. (walaupun tidak semuanya begitu)

Maka untuk lebih memahami lagi perasaan orang-orang dewasa dan tua yang miskin, cubalah wahai orang-orang kaya, kamu lalui hidup sebagai orang miskin, setahun pun mungkin dah cukup untuk kamu faham. Lagi pun, ada kalangan orang-orang kaya yang menganggap bahawa orang-orang miskin adalah golongan yang malas berusaha, suka mengharapkan subsidi dan meminta sedekah semata. 

- Dalam hal karier/pekerjaan pula, seorang polis mungkin tidak faham jiwa seorang mekanik, seorang kontraktor mungkin tidak faham jiwa seorang nelayan, seorang doktor mungkin tidak faham jiwa seorang petani, dan sebagainya lah, jika masing-masing tidak saling mengenali dan berkongsi rasa.

Dan begitulah seterusnya dalam hal-hal seperti hubungan kasih sayang, perbezaaan agama, bangsa dan budaya, faktor umur, politik, geografi dan lain-lain lagi .......



Kesimpulan

Kerana itulah, maka sebaiknya kita berusaha untuk saling faham-memahami antara satu sama lain. Cuba untuk kenal-mengenali sesama manusia (selagi tidak melanggar batas-batas syara' dan dalam keadaan terkawal), dari usia masih muda.  Yang penting mesti ada hati yang benar-benar ikhlas dan prihatin.   Jika kita sudah dewasa dan tua, dan masih kurang pengalaman mengenai hal ini, mungkin hati kita sudah agak keras untuk memahamkan diri (terutamanya apabila kita merasakan bahawa kita sudah tahu segalanya).

"Hai manusia, sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. " [Surah Al-Hujuraat : ayat 49]

Seorang yang bergelar pemimpin lagi penting untuk memahami lebih banyak jiwa dan perasaan manusia lain, agar rakyatnya mendapat keadilan yang sepatutnya dan tidak tertekan dan dizalimi (akibat salah faham, tidak faham dan buat-buat tak faham).  

Sebagai contoh, jika pemimpin sebuah negara mahukan rakyatnya kurang/tidak mencuri, merompak, meragut, pecah rumah dan seumpamanya, maka selain dari laksanakan Hukum Hudud yang wajib kamu laksanakan, cuba lah ikhtiar agar agihan pendapatan dan harta-benda di dalam negara ini seimbang (balance). Bukannya dengan membiarkan yang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin. Kaji semula sistem pembahagian gaji dan pendapatan bulanan/harian agar jurang perbezaannya tidak terlalu besar.   Jagalah kebajikan rakyat dengan seadil-adilnya. Bacalah kisah-kisah seperti kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai motivasi.

Dan untuk contoh-contoh lain, Lu pikir la sendiri!  ;) 


p/s:  Maaf jika penyampaian tulisan ini lintang pukang. Perlukan kepada pengamatan mendalam dan imaginasi  yang lebih untuk memahaminya :D

Tiada ulasan:

Catat Ulasan