Khamis, 24 Mac 2016

PSPM

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
PSPM semakin hampir, tekanan semakin tinggi kepada pelajar khususnya dan juga kepada pensyarah secara umumnya. Berbagai aktiviti di buat di dalam dan di luar waktu akademik. Kuliah habis pukul  4, dilajak pula ke pukul 6. Malam pula bersambung, dari 8.30 – 11.00 malam (Bukan semua unit?) . Jadi bila agaknya masa untuk pelajar menghadam semula dan menyiapkan tugasan daripada berbagai pensyarah dari unit yang berbeza? Ada pelajar yang tidur pukul 2-3 pagi dan kemudiaannya esoknya perlu bangun awal untuk ke kuliah dan kelas berikutnya. Bagaimana agaknya minda yang kurang rehat ini, mampu untuk menghadam pula pelajaran berikutnya? Dan berapa lama agaknya mereka mampu bertahan jika keadaan ini berterusan sampai ke PSPM nanti? Kita memang mahukan kecemerlangan kepada semua pelajar kita. Bagaimanapun kita juga harus menerima hakikat bukan semua manusia dilahirkan untuk menjadi doktor dan jurutera. Jika kita mengikut teori Pareto 20:80, hanya 20% saja sebenarnya dari berbagai usaha yang kita buat itu yang menghasilkan 80% kejayaan kepada pelajar kita.

Kita semua juga maklum program Matrikulasi sekarang menghadapi persaingan yang sengit dari program asasi daripada berbagai Universiti dan juga program pra-universiti KPM (Tingkatan 6).  Apakah agaknya komen dan maklumbalas yang akan diberi oleh pelajar kita sekarang kepada adik-adik mereka jika ditanya tentang sistem pembelajaran di program Matrikulasi? Positif? Atau bagaimana? Jika negatif jawapannya,  pasti pelajar yang mempunyai pilihan, tentu tidak akan memilih program matrikulasi lagi. Kita mungkin akan terpaksa menerima pelajar yang tidak mempunyai pilihan selain ke matrikulasi. Dan kesannya akan datang kepada kita juga nanti. Jika Tuan/Puan sudah agak lama di program matrikulasi,  tentu dapat merasakan perbezaan pelajar yang kita terima dulu dan sekarang ini. Kita juga perlu sedar sesuatu pelaksanaan yang berstatus  Program seperti Program Matrikulasi boleh dihentikan oleh KPM pada bila-bila masa jika difikirkan sudah tidak ada keperluan atau tidak lagi relevan dengan keadaan semasa. Jika dihentikan, kita pula akan kemana  nanti? Tentu kita tidak ingin melihat perkara ini berlaku.

Saya menyedari sebagai pelaksana, kita mempunyai berbagai had dan batasan yang tidak boleh kita persoalkan, KPI yang telah diSKTkan dan sebagainya.  Cuma apa yang saya sampaikan ini hanya mewakili rintihan dari pelajar yang tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan rasa dan tekanan yang mereka hadapi. Mungkin kerana pelajar kita masih tinggi rasa hormatnya pada pensyarah yang memutuskan sesuatu perkara. Namun, jika sebenarnya majoriti dari pelajar kita memang ceria dan sedang berbahagia berada dalam ini, maka maafkan saya kerana menyampaikan perkara yang tidak tepat.  Sebagai pendengar, saya teleh selesai tanggungjawab sebagai penyampai. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan