Ahad, 17 Julai 2016

PhD

BUKANLAH sesuatu yang boleh dibanggakan apabila Malaysia dikatakan mempunyai berpuluh universiti awam dan swasta tetapi pada keseluruhannya diperlekehkan sebagai kurang bermutu. Sukar untuk saya menerima bahawa Vietnam menawarkan mutu universiti yang lebih baik daripada Malaysia.

Saya kurang pasti jumlah universiti di Vietnam tetapi jumlah penduduknya yang hampir 100 juta pasti memerlukan dua kali ganda jumlah universiti di Malaysia.

Keperluan ini bertambah-tambah lagi memandangkan negara-negara komunis lebih menekankan kepada pendidikan. Maka logiknya negara-negara komunis atau pasca komunis mempunyai banyak universiti. Dari universitilah elit mereka dalam pemerintahan, tentera, sains dan teknologi, seni serta sukan didapati. Di kalangan universiti yang pengantarnya bahasa Inggeris, universiti-universiti di Hong Kong dan Singapura kerap ditarafkan sebagai berkualiti di sebelah sini dunia.

Sejarah penubuhannya yang berlaku dalam zaman pemerintahan kolonial British mungkin menjadi satu faktor.

Bagaimanapun, baik realiti atau persepsi, universiti-universiti Malaysia tentunya menghadapi satu cabaran.

Sebagai satu fakta, Universiti Malaya asalnya ialah di Singapura. Ia berpecah dua pada 1959, apabila kampus baharu dibuka di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Versi di Singapura kini dipanggil Universiti Nasional Singapura.

Baik suka atau tidak, kalangan alumni UM, KL, berkerut kening apabila dilantangkan perbezaan kualiti dalam persepsi antara keduanya. Persepsi keseluruhan bahawa Malaysia mempunyai IPT yang relatif kurang berkualiti di sebelah sini dunia tidak boleh ditolongi oleh apa yang berlaku.

Ramai individu dikatakan mendapat PhD dan memanggil diri mereka doktor, tanpa diketahui bagaimana mereka mendapat kelulusan begitu.

Urutan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah adalah norma pembelajaran universiti. Dari ketiga-tiga tahap urutan itu, pastinya PhD dianggap paling sukar didapati.

Ambil saja sebuah universiti di England dan AS: katalah Universiti Bristol dan Universiti Ohio. Kedua-duanya bukan top ten di negara masing-masing seperti Cambridge, Oxford dan London; atau Harvard, Yale dan Cornell.

Meskipun bertaraf universiti pertengahan, Bristol dan Ohio mewajibkan seseorang calon PhD melalui proses course work, tinggal di kampus untuk sekian waktu, di samping melalui rutin menghadapi profesor pengendali yang mengesani kemajuan penyiapan tesis.

Untuk itu semua, bukan suatu yang senang bagi sesiapa yang sibuk dengan tugas, baik dalam politik atau dunia profesional, untuk melaluinya. Ini mengingatkan saya kepada seorang penjawat politik tinggi, kini sudah menjadi mantan.

Selepas menerima pelantikan jawatan, beliau dikatakan mempunyai PhD, justeru dipanggil doktor X. Beliau dikatakan mendapat PhD di sebuah universiti di AS, yang namanya disempenakan dengan kota di mana kampusnya terletak.

Sebagai ilustrasi, kita namakannya Universiti San Pedro. Memang ada kota kecil
bernama begitu, tetapi ia tidak mempunyai universiti. Lagi pula mereka yang mengenali penjawat itu tahu beliau tidak pernah pergi ke universiti yang bernama begitu, malah penggunaan bahasa Inggerisnya amat terbatas.

Seorang lagi mengakui beliau juga sudah mendapat PhD. Beliau berbangga pula bahawa beliau sedang menyiapkan dua PhD lagi.

Apabila kata-kata begitu datangnya daripada penjawat politik tinggi dari parti pemerintah, ia disifatkan sebagai lelucon oleh orang Indonesia. “Aku gelak, hang tau,” kata orang utara, geli hati.

Sudah lama soal PhD palsu atau yang diada-adakan diperkatakan; bagi penerimanya, ia semata-mata untuk mendapat gelaran doktor. Tidak kurang ramainya pegawai tinggi kerajaan ‘disapukan’ dari gelaran doktor palsu, termasuk yang
berjawatan Datuk Bandar dan Timbalan Ketua Setiausaha. Oleh itu, demi mengentalkan reputasi universiti-universiti kita, segala gelaran yang dikaitkan dengan akademik dan profesionalisme patut diper'aturan’kan secara
strinjen, agar ia tidak menjadi bahan ketawa.

Apabila sesuatu menjadi bahan ketawa, maka kredibilitinya akan terjejas dengan teruk. Tidak ada siapa yang wajar bersikap serius terhadap si tolol di kampung.

Segalanya menjadi bahan cemekan. Analogi ini tidak seharusnya timbul apabila kualiti pembelajaran di IPT kita diperkatakan di peringkat internasional.

Tentu ada caranya dalam etika dan undang-undang untuk menulenkan segala PhD – sebagai satu pertolongan untuk IPT kita mencari jalan pulang ke arah kecemerlangan.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan