Rabu, 16 November 2016

Zakaria

Bengkak mata saya masih tak surut sejak menangis dari siang tadi. Suami berkali pesan agar saya redha dengan takdir Allah ini

12 November 2016. Tarikh ini akan menjadi ingatan buat saya dan warga sekolah. Kehilangan seorang pemimpin yang dihormati dan disegani dalam kalangan kami.

Tn Hj Zakaria bin Omar, GPK Pentadbiran yang sentiasa meneladani kepimpinan Rasulullah SAW. Mendekati setiap daripada kami dari akar umbi tanpa ada rasa pilih kasih atau berat sebelah. Pertama kali melihatnya pasti sesiapa pun sedar betapa beliau amat mesra dan mudah dibawa berbincang.

Sejujurnya saya rasa kehilangan yang besar kerana pasti sukar untuk lupakan sapaannya setiap hari. "Eh kakak kau sekarang masih di ipg?", "Eh anak sedara kau yang tu belajar kat mana"?, "Kau dah habis belajar? Nanti bila nak sambung lagi?", "Buat jelah.. Jangan pening-pening kepala" dan banyak lagi dialog yang tak mungkin saya akan lupa.

Beliau tiada galang ganti. Pemimpin yang berusaha untuk kenal dan ingat setiap nama kami. Boleh sebut nama kami satu persatu. Ingat sejarah perkhidmatan kami. Tahu kebolehan kami. Dan selalu tidak mahu susahkan kami.

Gambar yang saya upload ini saya ambil ketika Tn Haji sedang mengangkat fail-fail PBPPP kami. Memang Tn Hj ada ingatkan kami semua untuk alihkan fail-fail tersebut, tapi kerana kekangan masa, kami belum sempat mengalihkannya. Tn Hj tidak marah, tidak mengulang-ulang arahannya. Dilihat fail masih tidak bergerak, tanpa memikirkan statusnya, terus diangkat sedikit demi sedikit fail-fail tersebut. Kebetulan saya sedang melintasi kawasan itu ketika ke kelas.

"Haji! Buat apa ni?"
"Tak de orang angkat, aku angkat jelah..." jawabnya selamba dan lembut.

Saya berasa amat malu mendengar jawapan Tn Hj. Saya mengejar Tn Hj sambil berseloroh ingin menangkap gambarnya. Tn Hj ketawa. Dan waktu itu terlintas di hati saya, "Haji tak berapa sihat, kalau aku tak tolong mesti aku menyesal..". Dan kebetulan ada beberapa guru lain yang turut lalu dan terus membantu sama.

Itu bukanlah kali pertama beliau melakukan sedemikian. Angkat kerusi, kemas dewan, angkat fail, sapu bilik mesyuarat, dan bermacam lagi yang sepatutnya boleh diarahkan sahaja kepada kami telah dilakukan beliau dengan rela dan ikhlas tanpa sekali pun beliau pernah mengungkit. Allahu...

Pemimpin yang sangat berpegang teguh dengan tali agama Allah. Sentiasa solat di awal waktu, berjemaah dengan anak-anak murid dan guru, mengusahakan surau dibesarkan untuk keselesaan semua dan sentiasa berpesan kepada kami bahawa rezeki itu datang daripada Allah dalam pelbagai bentuk; kesihatan, ilmu yang bermanfaat, dan keberkatan hidup.

Beliau amat jarang tidak memudahkan hidup orang lain. Sentiasa mempermudahkan sesuatu. Sentiasa ada solusi ketika bertemu dengannya di saat masalah dirasakan membebani bahu.

Dan Allah telah mempermudahkan urusan pemergiannya. Radang pankreas hanyalah asbab untuk Allah mengambil hamba-Nya yang dicintai ini. Hari Khamis terakhir masih sempat bergurau senda dengan kami. Hari Jumaat kami dikhabarkan oleh isterinya yang Tn Hj dimasukkan ke HDW dan Hari Sabtu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sungguh cepat dan sukar untuk kami terima pada awalnya apatah lagi buat isteri dan anak-anak beliau.

Apabila jenazah tiba di rumah, ratusan manusia sudah bersedia untuk melihatnya buat kali terakhir. Kami guru-guru di bawah pimpinannya pasti mahu melihat wajah terakhir yang sentiasa memberikan senyuman kepada kami. Sejak jenazahnya tiba, bau harum mula dihidu. Kami bergilir untuk menatap wajahnya. Subhanallah. Tn Haji seperti sedang tidur. Wajahnya sangat tenang. Setenang wajah yang selalu kami pandang.

Dan bukan saya seorang sahaja yang menangisi pemergian beliau, tapi sebahagian besar daripada kami. Esakan sentiasa kedengaran dan masing-masing menyelami perasaan sendiri.

Selepas saat terakhir wajahnya dibuka, beliau disolatkan di masjid berhampiran dan kemudian disegerakan untuk urusan pengkebumian. Saya menyusuli van jenazah kerana ingin melihat Tn Hj hingga kali terakhir.

Hujan renyai awalnya. Bila jenazah tiba, hujan gerimis tadi berhenti. A

nak lelaki beliau sudah menanti untuk mengangkat jasad ayahnya buat kali terakhir. Diusap tubuh ayahnya dengan lembut. Diangkat dengan berhati-hati dan alhamdulillah jasad Tn Hj dipermudahkan untuk masuk ke liang lahad. Cuaca yang sekejap terik bertukar redup. Allahu.. Betapa mudah perjalanan beliau ke alam baqa'. Semudah urusan yang beliau selalu berikan kepada kami. Benarlah jika kita sering memudahkan urusan insan lain, Allah akan mempermudahkan urusan kita jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak.

Tuan PPD kami juga ada, setia memayungi di sisi kubur Tn Hj sehingga akhir bacaan talkin. Sayu dan hiba mendengar kalimah 'Man Robbuka' dari Imam. Melihat anaknya menitis air mata, sedikit terusik hati dan tah berapa kali mengalir juga air mata kami di situ. Namun kami perlu redha dan mendoakan agar Tn Hj ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman. Semoga segala ilmu dan kebaikan yang beliau taburkan selama ini menjadi pencen kubur buatnya di sana. Amin.
.
.
.

Tn Hj Zakaria bin Omar,
Pemimpin dan guru yang disayangi dan dihormati kami,
Kehilangannya dirasai,
Kehilangannya ditangisi,
Semoga syurga buatnya nanti.

Al-Fatihah.
.
.
Arwah merupakan GPK Pentadbiran di SMK Sultan Ibrahim, Kulai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan