Sabtu, 6 Mac 2021

Derma masjid

MEMBELI UBAT DEMAM ANAK DI KEDAI RUNCIT

Penulis: Abd Ghani Haron


Suatu pagi saya menunggu giliran untuk membayar barang yang dibeli di kedai runcit sambil berbual dengan seorang kenalan yang kebetulan nak beli barang juga.

Seorang ibu pertengahan umur mendukung anak kecil yang merengek dan yang mengekornya anak lelaki yang mungkin 5 tahun. Dia bertanya taukeh, “Ah Huat, ubat demam budak kecik yang minum punya ada dak?” Ah Huat membalas, “Kak, ubat demam minum punya tarak juai sini, biji punya ada. Kak pi klinik la. Kesian budak tu”. Wanita itu menjawab, “Tak cukup duit nak pi klinik.”


Saya cepat mencelah, “Kenapa kak tak pi hospital”. Dibalasnya, “Cikgu, hospital kena tunggu lama, susah bawa anak kecik. Lagi pula kena ambik teksi, mahai. Klinik satu Malaysia pun jauh, lagi pun hari ni cuti. Saya tak cukup duit, dua tiga hari lagi baru nak dapat duit kebajikan masyarakat untuk anak yatim dan ibu tunggal”. Anak yatim rupanya. Kesal saya berkata begitu padanya. Matanya mula berair, cepat dia beralih muka untuk melindungi kesedihannya. Mungkin dah semalaman anak ini demam, merengek dalam dokongan. Kepalanya panas bila saya menyentuhnya. Dia mencari ubat demam bentuk sirap untuk mudah anak kecil itu minum.


Ketika dia nak melangkah pergi dengan wajah penuh risau, kenalan saya berkata, “Cikgu, ini bagi pada saya untuk selesaikan. Saya bawa depa pi klinik.” Saya bersyukur dan minta diperiksa abangnya sekali. Mereka berjalan menuju ke sebuah klinik berhampiran. Saya menghantar mereka dengan pandangan sedih dan bersyukur. Sedih melihat ibu tunggal berhempas-pulas nak mengubat anak, bersyukur kerana Allah pertemukan dengan seorang yang lembut hatinya, ringan tangannya dan pemurah. Ya Allah.


Kita selalu lihat orang memberi bantuan makanan dan pakaian pada anak yatim, tetapi banyak orang lupa aspek yang lebih berat pada seorang ibu tunggal ialah bila anaknya sakit, di manakah wang yang dia nak dapatkan untuk membiayai ubat dan rawatan. Akhirnya, dengan apa yang ada, berikhtiarlah mereka, seperti ibu ini. Berbanding kita yang anak baru nak demam, sudah risau, terus dibawa ke klinik tanpa fikir hal belanja. Kerisauan bila anak sakit melebihi yang lain.


Semasa saya menjadi setiausaha masjid dulu, saya kutip data anak yatim dan miskin dalam qariah, dan daftarkan. Senarai mereka saya beri kepada satu klinik di pekan dan tiap keluarga diberi satu kad pengenalan. Bila ahli keluarga mereka sakit, mereka hanya perlu pergi ke klinik ini, mendapat rawatan dan ubat, tidak perlu bayar. Di penghujung bulan saya kunjungi klinik untuk membuat bayaran rawatan seluruh keluarga yang terdaftar yang mendapat rawatan. Duit yang diguna adalah dari wang disumbangkan ke tabung kebajikan anak yatin dan miskin dibawah AJK masjid. Akhirnya klinik berkenaan sendiri tidak mahu menuntut bayaran kerana katanya dia pun nak membantu anak yatim dan miskin yang telah diiktiraf oleh masjid.


Program begini amat membantu yatim dan miskin. Hilanglah kebimbangan mereka bila mereka sakit kerana ada jaminan untuk mendapatkan rawatan. Anak qariah mendapat faedah dengan menyumbang kepada tabung ini dan dengan itu mereka secara tidak sedar telah membantu yatim dan miskin. Seluruh qariah juga telah secara tidak langsung melaksana tanggungjawab membantu yatim dan miskin kerana tabung kebajikan ini juga membantu aspek bahan makanan, pendidikan disamping sakit demam.


Apa saya ajak anda fikir ialah jika anda boleh mencadang program sebegini kepada masjid atau surau iaitu mewujudkan tabung kebajikan anak yatim dan miskin. Mungkin mana-mana NGO boleh mengumpul dana dan mewujud program sebegini. Bahkan apa kata jika keluarga yang berpendapatan selesa mengambil beberapa keluarga yatim atau miskin sebagai keluarga angkat yang dibantu aspek makanan, kesihatan atau pendidikan. Ingatlah yatim disebut 23 kali dalam Quran menunjukkan perlunya diberi perhatian sedangkan ada perkara Allah sebut sekali dua sahaja tetapi kita gigih memperjuangkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan