Sabtu, 6 Mac 2021

Pingat Hang Tuah

 

Pahlawan Kanak-Kanak 1976


Seorang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Petaling, Musa bin Zainuddin, 10 tahun dari Petaling Jaya, Selangor telah diisytiharkan oleh Majlis Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia sebagai 'Pahlawan Kanak-Kanak 1976'.


DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu iaitu Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra telah berkenan menganugerahkan 'Pingat Hang Tuah' kepada pahlawan kecil itu di satu perhimpunan sempena menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia yang berlangsung di Staduim Negara, Kuala Lumpur. Tema perayaan tahun itu ialah 'Mendekati mereka yang sukar dihampiri'.


Musa ialah anak seorang buruh, menerima Pingat Hang Tuah beserta hadiah wang tunai $350.00 berserta sijil penghargaan oleh pihak Lembaga Letrik Negara (LLN) dan menerima anugerah dari syarikat Guiness Stout.


Musa berjaya menerima Pingat Hang Tuah kerana keberaniannya menyelamatkan ibunya serta tiga orang rakan-rakannya daripada korban kejutan elektrik pada 1 September 1975 kira-kira pukul 2.00 petang.


Kronologi Kejadian:


Kejadian itu berlaku apabila tiga orang kanak-kanak adik beradik iaitu Saharah bt. Abdul Aziz 8 tahun, Azizan 6 tahun dan Azahar 5 tahun telah bermain-main di rumah kosong dengan wayar yang mepunyai arus elektrik. Mereka telah terkena kejutan elektrik daripada wayar tersebut dan kejadian itu telah disaksikan oleh adik kecil Musa yang melaporkan kepadanya.


Musa pun berkejar ke tempat itu dan melihat tiga orang adik beradik tadi sedang terbaring dan tidak menyahut penggilannya. Musa segera memanggil ibunya di rumah yang berhampiran tempat kejadian. Ibunya, Puan Rahmah bt. Harun terus memegang wayar tersebut bila melihat kanak-kanak itu sedang bergelimpangan. Dia juga turut mengalami kejutan elektrik dan Musa segera mengambil sebatang kayu dan memukul wayar itu hingga terputus.


Akhirnya keempat-empat mangsa kejutan elektrik itu dapat diselamatkan setelah dirawat di Hospital Universiti, Petaling Jaya.


Mengikut sejarah, Anugerah Pingat Hang Tuah telah diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian istimewa mereka dan penganugerahan Pingat Hang Tuah telah dijadikan acara tetap sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia bermula 21 Okt 1960.


Bagi tempoh 1960 hingga 1977, seramai 30 orang kanak-kanak telah dianugerahkan Pingat Hang Tuah sebelum ia ditamatkan kerana ia hanya menumpukan kepada kebolehan fizikal. Ia ditukar kepada Tokoh Kanak-Kanak Kebangsaan pada 1982 yang mengambilkira keistimewaan seseorang kanak-kanak secara menyeluruh meliputi kecemerlangan akademik, kegiatan ko-kurikulum, kepimpinan, motivasi diri dan sahsiah.


Dimanakah Musa bin Zainuddin sekarang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan