Kata guruku~•
Talqin buat Akademia.
1. Di sini terbujur kaku. Terbujur kaku tubuh bukan sahaja seorang hamba Allah, tetapi seorang VK3. Bukan DS atau DM mahupun DG. Bukan calang staf. Staf VK3.
*Kata guruku, 'Sulong, Ulung atau Polong?'
2. Di batu nisannya tercacah, Tan Sri Datuk Seri Ir Dr Ts Hj Sipolan bin Sipolan. VK3. Degree di Yuesem, Master di Hahvet, DPhil di Oxport. Chartered Engineer juga. Pingat-pingat kebesaran sekali. Bertaburan. Kelihatan batu nisannya hebat, penuh tulisan, bersaiz lebih besar dari biasa. Cop namanya dulu juga begitu.
*Kata guruku, 'Tidak semua benda yang besar adalah bagus.'
3. Di sisi kubur diletakkan pangkat darjatnya.
Di sebelah kanan, dicacah jawatan-jawatan akademiknya, dari seorang Bagero hingga ke Ketua Bagero. Kemudian menjadi ahli lembaga dan akhirnya menjawat jawatan besar di Kementerian. Cukup berpengalaman, begitu lama dalam 'Pengurusan Tertinggi'.
*Kata guruku, 'Lebih tinggi kedudukan, lebih sakit bila jatuh.'
4. Di sebelah kiri, dicacah pula anugerah-anugerah yang dimenangi, Perkhidmatan Cemerlang, Saintis Muda, Anugerah Kebangsaan, berserta profil Scopus dirinya, dengan jumlah sitasi melebihi 5k dan H-indeks 35.
*Kata guruku, 'Nombor semata-mata yang membutakan mereka yang berhati pendidik. Angka ialah candu kepada mereka yang inginkan perhatian.'
5. Hanya keluarga terdekat sahaja hadir. Isteri menangis meratapi pemergian ahli akademik ulung. Tiada wakil universiti. Tidak ada wakil dari Kementerian. Kawan-kawan kebanyakkannya ahli akademik. Mereka sangat sibuk menulis. Tiada masa untuk ziarah. Tak dapat CPD menziarahi orang ni...
*Kata guruku, 'Tulislah kamu, sebelum kamu dituliskan. Tetapi kau akan ditulis lebih, oleh penulis yang benar (di atas bahu kiri dan kanan), terutamanya bila kau menulis sesuatu yang dangkal.'
6. Ada empat muka asing. Bekas pelajar. Yang pertama Gagal PhD. Ditinggalkan begitu sahaja. Datang untuk memaafkan Profesor VK3. Bukan salahmu Prof VK3. Sudah tersurat. Tesis tugas saya. Penerbitan, kita bersama.
*Kata guruku, 'Jika akademia akhir zaman adalah pengusaha sawah, maka kebanyakkan sawah itu dibajak oleh pelajar dan dibaja oleh staf sokongan.'
7. Yang kedua, pelajar Master. Lulus, dua kali viva. Tesis langsung tak dilihat. Penerbitan sahaja yang dikehendaki. Yang ketiga dan keempat, dua orang pelajar Sarjana Muda. Seorang mengulang kursus yang diajar Prof VK3 dan terpaksa 'extend'. Seorang lagi ialah pelajar di bawah Penasihatan Akademik Prof VK3. Tak pernah sebelum ini jumpa.
*Kata guruku, 'Kejarlah KPI dunia, KPI akhirat berciciran.'
8. Profesor VK3 terlalu hebat untuk ditalkinkan cara biasa. Talkin beliau ialah bacaan 3 Abstrak utama beliau, yang telah diterbitkan sebagai penulis utama dalam jurnal-jurnal yang berimpak faktor tinggi.
*Kata guruku, 'Tiada yang lebih abstrak dari suasana yang sunyi kerana perbuatan yang keji.'
9. Bunga mawar juga tiada. Hanya digantikan dengan kertas tercarik (shredded paper). Sebelum dicarik, kertas-kertas itu sebelumnya dicetakkan di atasnya jurnal-jurnal tulisan si VK3 (kononnya). Kertasnya berwarna warni, 80g dan berbau air wangi, bagi menampakkan lagi gah dan kualiti.
*Kata guruku, 'Ilmu, yang semata-mata ditumpahkan ke atas kertas, dengan tujuan mengkastakan pencari ilmu, keberkatannya sesuai seperti kertas tercarik.'
10. Semua bergerak meninggalkan kubur. Si VK3 tinggal di liang lahad, keseorangan. Harta beliau kini bukanlah jurnal-jurnal yang diterbitkan dan H-indeks; hanya bernilai adalah ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan anak yang soleh. Kesemuanya kau abaikan kerana kau hanya mengejar nombor dan berbangga kepada nombor yang kau perolehi.
*Kata guruku, 'Tulisanmu, tanpa jiwa, tidak akan menziarahimu masa sakit. Kajangmu yang dangkal tidak akan menyentuh hati insan untuk mengenalimu mahupun mendalami apa yang kau tuliskan. Hasil tanpa hati, kertas-kertasmu itu tidak akan berbual denganmu mahupun dengan sesiapa.'
"Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagaikan bunga kembang tak jadi."
(Usman Awang, 'Guru oh Guru).
-PakDin
21 Zulhijjah 1441 @ 1917 (Menunggu Maghrib)
(Akademia tahun lalu. Tahun ini belum tentu.)
#SimpanDiSini
#selfreminder
#cutnpastefbkakzu