Bagaimana KPM (Putrajaya) Dapat Mengurangkan ‘Cooked Data’ Dari Sekolah?
Walau pun tidak berada di sekolah, saya tertarik membaca dakwaan sesetengah pihak tentang situasi yang berlaku, apabila KPM (Putrajaya) meminta laporan tentang program / pelaksanaan aktiviti yang berlaku di peringkat nasional.
Dakwaan yang dilontarkan, data-data yang diberikan atau yang sampai kepada KPM (Putrajaya) sebahagiannya adalah data yang telah ‘dibersihkan’ lebih awal, sebelum sampai ke Putrajaya. Perkara ini juga dikatakan menjadi rahsia terbuka, di mana ia diketahui, tetapi tidak ada apa yang dapat dibuat untuk mengubahnya kerana beberapa faktor.
Kesan utama daripada data yang ‘dibersihkan’ lebih awal – Putrajaya tidak mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di sekolah (semasa pelaksanaan). Saya jangka, ini merupakan antara sebab kenapa sesetengah program yang secara ‘zahirnya’ dilihat gagal di peringkat pelaksanaan, tetapi dilaporkan sebagai berjaya oleh Putrajaya. Saya tidak berniat untuk terus membincangkan tentang isu ini kerana hanya sudut negatif saja yang akan dilihat. Sedangkan perkongsian ini tidak bermatlamat menyalah atau menunjukkan kelemahan mana-mana pihak.
Apa yang ingin saya kongsi dan mungkin boleh ditambah baik nanti, adalah cadangan kepada Putrajaya untuk mengatasi dakwaan seperti ini.
1. Gunakan kaedah persampelan – Data dan laporan tidak perlu diminta daripada semua sekolah di seluruh Malaysia. Sebaliknya beberapa buah sekolah dikenalpasti mengikut kategori-kategori maklumat yang ingin di cari. Terdapat ramai pakar kaedah persampelan yang sedang berkhidmat di bawah KPM yang boleh dirujuk.
2. Kaedah pengambilan data – Dengan penggunaan teknologi semasa seperti Google Form dsbnya, data boleh di dapatkan secara langsung daripada guru / pelaksana tanpa membabitkan pihak ketiga. Kaedah ini dapat mengurangkan ‘pembersihan data’ berlaku sebelum sampai ke Putrajaya.
3. Penggunaan soal selidik yang ringkas dan mesra ‘penjawab’ soal selidik – Gunakan soal selidik yang ringkas tetapi cukup untuk memperolehi data yang dikehendaki oleh Putrajaya. Tidak perlu bertanya soalan-soalan tidak relevan yang tidak berkaitan dengan tujuan soal selidik.
4. Soal selidik boleh melibatkan sampel di kalangan ibu-bapa juga, yang mungkin mempunyai sudut pandangan berbeza daripada guru/pelaksana di sekolah. Jika data yang ingin dikumpulkan, bersesuaian dengan ibubapa.
5. Analisis – tidak perlu menggunakan analisis yang ‘boombastic’ untuk pelaporan mudah yang sepatutnya boleh difahami oleh semua ‘stakeholders’ yang terlibat/ terkesan daripada program berkenaan. Daripada ketua paling atas hingga ibubapa yang mempunyai pendidikan asas.
Bagaimanapun sekiranya, Putrajaya masih ‘memerlukan’ laporan yang cantik di peringkat Kebangsaan, kaedah sedia ada boleh digunapakai. Tetapi pada masa yang sama, laporan ‘sebenar’ tetap dibuat untuk kegunaan peringkat dalaman. Laporan ‘sebenar’ akan digunapakai untuk refleksi dan tindakan secara dalaman yang tidak perlu dihebahkan kepada pihak awam.
Melalui kaedah ini, saya yakin beberapa isu berbangkit dapat diselesaikan dengan keputusan yang lebih baik daripada Putrajaya. Dalam era, di mana kita, di war-war kan dengan slogan ‘data driven decision’ sewajarnya data mentah yang dianalisis itu juga perlu daripada sumber yang tepat dan mewakili situasi sebenar. Setuju? Tidak?
Pandangan ini terbuka kepada kritikan, pembetulan fakta dan penambahbaikan.
Disclaimer: Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis tanpa merujuk atau mewakili mana-mana pihak, berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang terbatas.
Banting
6.30 am (19.04.22)