Isnin, 17 Oktober 2011

RM 500

Oleh KERIS ALAM
SMS ringkas yang diterima Arman pagi itu agak meresahkan dan mengocak perashttp://images.collectorbox.multiply.com/image/Sm-axNAcDfKuR8ji6L2XZA/photos/1M/orig/743/RM5006th...jpg?et=sCX6pXTVNemogQvKZS7GSg&nmid=0aannya apabila waktu itu berada di pertengahan Ramadan. Isteri dan anak-anaknya sedang menanti kiriman wang; terasa sayu bila berulang kali dia menatap telefon bimbitnya.

Dia mahu menyudahkan kerjanya sebelum pergi ke bank pada petang itu, dia akan membalas SMS isterinya dengan menjanjikan petang itu juga dia akan mengirimkan wang untuk mereka.


Kawan sepejabatnya, Ravi berjalan melintasi hadapannya seraya menyapa. “Bonus kerajaan sudah masuk. Apa lagi Arman, petang boleh pergi cucuk wang.”
Arman hanya tersenyum. Dia masih terlekat di kerusinya untuk meneruskan kerja dalam keadaan hatinya yang terbuai sayu. Wajah isteri kesayangannya Syairah muncul di hadapan bagaikan tayangan slaid berganti-ganti.
Selama lima tahun dia tinggal berasingan dengan anak-anak dan isterinya yang menetap di kampungnya di Tumpat, Kelantan.

Sehingga kini. Syairah masih meneruskan kerja sampingannya membuat keropok di bangsal Mek Yah di hujung kampung. Buat sementara, Syuib, Sufian dan Siti Aminah tinggal dengan nenek mereka. Anak-anaknya mudah mesra dengan nenek mereka.

Syairah perlu menjaga ibunya kerana ayahnya telah lama tiada.
Keadaan ibunya juga uzur dan memaksa Syairah meminta izin suaminya untuk tinggal di sini sejak lima tahun yang lalu.

Lewat petang itu Syairah menerima SMS suaminya yang bertulis: ‘Sya, abang sudah masukkan duit sebanyak lima ratus ringgit ke akaun Sya. Harap Sya dapat berjimat cermat dengan duit sebanyak itu untuk persiapan raya. Abang sayangkan Sya dan anak-anak kita.’

Arman gontai melangkah keluar dari bank. Berjalan perlahan mengitar bazar Ramadan yang tidak jauh dari bank tempat di mana dia berdiri sekarang. Riuh suasana bazar Ramadan dengan keadaan pengunjung yang bersesak-sesak.
“Berapa harga kuih itu kak?” tanya Arman.

“Dua seringgit, dik,”
jawab penjual kuih itu.
Arman tertelan air liur.
Dia membundarkan mata, “Mahalnya kak?”

“Semua harga barang dah naik dik. Mana boleh jual lagi kuih tiga biji seringgit zaman sekarang ni dik.”

Arman hanya mampu tersenyum, “Tak apa kak. Saya hendak kuih itu seringgit.”
Riuh benar suara-suara penjual juadah di bazar Ramadan sedang berbalas-balas tawaran dengan pembeli. Entah dari mana datangnya duit pembeli. Sedangkan mereka juga seperti dirinya seorang kakitangan kerajaan. Sekali masuk ke bazar Ramadhan pasti tidak kurang tiga puluh ringgit duitnya terbang. Mahu atau tidak mahu, dia mesti membeli juadah untuk berbuka puasa nanti.

Arman memilih untuk tidak berjalan lagi di sekitar bazar memandangkan waktu berbuka sudah hampir tiba. Hanya sebungkus nasi kerabu, sedikit kuih dengan sebungkus air soya sudah cukup membuka seleranya. Anak-anaknya di kampung tentu sedang mengadap makanan yang enak disajikan oleh isterinya. Syairah memang pandai memasak. Beruntungnya Arman, punyai isteri sebegitu.

Azan Maghrib berkumandang.
Dia memilih untuk berbuka puasa di atas lantai pintu masjid, perlahan dia mencapai buah kurma masuk ke dalam mulut.
Alhamdulillah, besar sungguh pahalanya pengurusan masjid kerana menyediakan kurma dan sedikit juadah untuk berbuka kepada para jemaah yang datang berbuka di masjid.

Eh-eh, kata Arman dalam hati.
Masih ramai lagi fakir miskin dan manusia bergelandangan di bumi bertuah ini. Kenapa pemimpin negara membiarkan mereka begitu sahaja? Tangkap dan lepas tanpa dibimbing ke arah mana mereka mahu membina hidup baru.
Ada seorang tua tersenyum ke arah Arman. “Wahai anak muda, ayuh kita mengerjakan solat Maghrib. Jangan termenung saja.”

Seusai solat Maghrib, Arman menapak ke arah deretan rumah kedai yang jauhnya sekitar satu kilometer dari masjid. Mungkin Arman tidak mampu untuk menyewa sebuah rumah. Sewa sebuah bilik di bandar besar seperti Kuala Lumpur ini pun sudah mencecah ke angka dua ratus lima puluh ringgit sebulan.
Biarlah dia berkorban untuk seketika. Masih belum mampu untuk dirinya memiliki rumah sendiri jika gajinya sebagai kerani masih di bawah paras kemiskinan. Hanya seribu ringgit sahaja sebulan. Kenaikan tahunannya berapa saja.

Genap sepuluh hari Arman mengirimkan wang kepada Syairah. Sudah beberapa tahun sejak kebelakangan ini suasana hari raya disambut dalam suasana suram. Mana tidaknya, semua harga barangan di pasaran naik melambung tinggi sehingga harga sehelai baju melayu anaknya mencecah harga enam puluh ringgit. Itu belum masuk harga barang-barang dapur lagi. Syairah kerap kali mengeluh.

Suami bekerja di sektor kerajaan tetapi taraf kehidupan mereka masih dianggap miskin.

Mengapa mereka di atas sana melihat sinis akan keadaan ini? Seperti lama dahulu. Syairah bangga mempunyai bakal suami yang makan gaji dengan kerajaan. Saat bergula manisnya janji pemimpin terus menekan hidup mereka. Entah bila akan berakhir nasib kakitangan kerajaan?

Rela atau tidak. Dia harus mengharungi keadaan dan suasana persiapan hari raya tahun ini dengan berbekalkan jumlah wang kiriman yang sama seperti tahun-tahun yang lepas. Arman seorang suami yang bertanggungjawab. Dia rela mengikat perut di kotaraya asalkan anak-anak dan isterinya tidak terbeban dengan tekanan hidup. Semoga suaminya selamat pulang ke kampung halaman walaupun menumpang lori barang dari Kuala Lumpur.

SMS ringkas yang diterima Syairah pagi itu, dua hari sebelum Syawal tiba telah menggembirakan hatinya.

Berkocak perasaan tidak sabar menatap wajah Arman. Dia sedang menanti kepulangan suami tercinta. Dia mahu menyudahkan kuih kegemaran Arman, kuih tat nenas memang menjadi kegemaran suaminya.

SMS pertama yang diterima bertulis: ‘Abang akan pulang pada malam ini. Abang akan naik bas tambahan. Itu pun hanya duduk di tangga. Sayang jangan lupa gosok kain pelikat abang untuk sembahyang hari raya. Abang sayangkan Sya dan anak-anak kita.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan