Bagi keluarga miskin, sebahagian besar daripada pendapatan mereka (mungkin 60 peratus) digunakan untuk menampung keperluan makanan ini. Misalnya jika pendapatan isi rumah sebuah keluarga dengan empat anggota keluarga adalah RM500 sebulan, RM300 daripadanya digunakan untuk membeli makanan.
Namun semakin tinggi perolehan rakyat, semakin kuranglah peratusan pendapatan mereka digunakan untuk membeli makanan. Misalnya sebuah keluarga yang terdiri daripada suami isteri dan dua anak dengan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan, jika mereka memperuntukan RM1,000 sekalipun untuk membeli makanan, itu hanya 10 peratus daripada pendapatan mereka.
Berdasarkan hujah ini, orang miskin perlu berhati-hati dalam perbelanjaan mereka hatta dalam membeli makanan sekalipun.
Misalnya jika RM300 sudah diperuntukkan untuk membeli makanan, sedikit kenaikan dalam harga barangan keperluan akan menjejaskan kehidupan rumah tangga mereka.
Jika berlaku peningkatan lima peratus dalam kenaikan harga barang, mereka sudah ‘menggelupur’. Ini kerana RM15 terpaksa ‘dikorek’ daripada baki wang RM200; jadi bertambah sukarlah mereka hendak menjelaskan bayaran lain seperti sewa rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak dan tambang pengangkutan.
Keluarga yang berpendapatan RM10,000 tadi tentunya tidak banyak terasa kenaikan barangan sebanyak lima peratus itu. Jika itu berlaku, pertambahan perbelanjaan makanan mereka hanya meningkat kepada RM1,050 sahaja. Pertambahan belanja makanan sebanyak RM50 tidak mendatangkan kesan apa-apa kepada mereka, jadi mereka tidak terasa apa-apa.
Orang berketurunan kaya dan berdarjat yang tidak pernah terbabit secara terus membeli barangan keperluan seperti gula kopi, asam belacan dan ikan ayam (tidak pernah ke pasar), sebaliknya hanya tahu menikmati makanan lazat dihidangkan di atas meja berkilat oleh pembantu, lagilah tidak tahu akan kesan kenaikan harga barangan.
Jika ditanya sekilogram harga beras pun mereka tidak tahu, apatah lagi barangan seperti ikan ‘koman’ makanan rakyat marhaen seperti cencaru, kembong dan gelama yang harganya sentiasa turun naik di pasaran. Mungkin mereka pun tidak tahu harga ‘ikan makanan orang kaya’ seperti parang dan tenggiri yang sudah melambung lebih RM20 sekilogram.
Antara kumpulan orang yang paling arif tentang harga barangan keperluan adalah suri rumah. Biasanya si suami akan me nyerahkan perbelanjaan dapur kepada si isteri; katakan RM300 sebulan seperti contoh dinyatakan. Daripada RM300 itu; puratanya mereka hanya mampu berbelanja RM10 setiap hari. Apa yang dapat dibeli dengan RM10? Kasihan, pening suri rumah tadi memikirkan hal ini.
Harga ikan kembong paling murah pun sudah RM8 sekilogram; udang usah cakaplah sudah mencecah RM16 sekilogram; manakala sekilogram daging tempatan RM18 manakala ayam RM15-RM20 seekor!
Itu baru lauk-pauk, bagaimana bahan asas seperti beras, tepung, gula, kopi, asam garam dan minyak yang biasanya dibeli sekali untuk keperluan sebulan? Kalau keluarga yang ada bayi, bagaimana keperluannya seperti susu yang bukan murah; setin saja yang berjenama sudah mencecah RM50! Kemudian lampin pakai buang dan jika anak dihantar kepada pengasuh, kosnya sudah ratusan ringgit.
Inilah masalah yang dihadapi kebanyakan rakyat di negara ini. Harga barangan keperluan yang mahal inilah yang perlu pemerintah fikirkan, bukan seronok mempublisitikan makanan murah, sarapan boleh didapati dengan harga RM2 manakala makan tengah hari RM4 melalui Menu 1-Malaysia.
Malah dipublisitikan PM dapat merasai makanan tengah hari dengan lauk dua ketul ayam, daging goreng, sayuran tauge dan popadum dengan harga RM3. Jika dengan RM3 PM boleh makan ayam dan daging, dengan belanja RM10 sehari seorang suri rumah pula hanya mampu menyediakan juadah nasi berlaukan ikan kembong dan sayur goreng untuk keluarganya. Itupun bersyukurlah kerana ada yang makan nasi berlaukan sayur lombong malah ada yang makan cuma sekali sehari!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan