Jumaat, 28 Oktober 2011

sains agama

Inilah tahun ke dua saya bersama pelajar-pelajar sains menyusuri kandungan mata pelajaran sains di peringkat sekolah menengah; dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 termasuk mata pelajaran sains tulen. Meneroka dunia sains yang asalnya bagi mereka membosankan dan penuh dengan fakta kompleks yang membebankan. Malah, niat asal mereka hanya sekadar ingin lulus di peperiksaan awam; PMR dan SPM, matrikulasi & STPM

Tidak dapat dinafikan, ada sebab perkara ini terjadi. Pada fikiran saya, sains amat membosankan dan membebankan jika kita pelajari dengan paksaan. Teknik belajar sains yang berkesan bagi saya adalah melalui penerokaan (exploration), penemuan (discovery) dan ujikaji (eksperimen).
Izinkan saya berkongsi pengalaman saya mengajar dan mendidik anak-anak perjuang bangsa dan agama ini. Semoga Allah menjauhi saya dari sifat riak dan takabur serta fitnah.

Anak-anak ini seakan dahaga, haus mencari apakah sebenarnya sains dan mengapa sains perlu di pelajari. Mereka tenggelam dalam dilema yang menghantui. Jawapan ini perlu dicari dan dijelaskan.
Sains mengajar kita bagaimanakah sesuatu kejadian itu terjadi dan apakah teori-teori yang boleh diapplikasikan dalam kehidupan harian. Sains juga menjawap soalan bagaimana dan mengapa sesuatu perkara terjadi.

Saya membawa anak-anak ini meneroka dunai sains dengan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT. Di dalam perbincangan berkenaan organ manusia, saya kaitkan kekuasan dan kasih sayang Allah melalui ciptaan Allah SWT yang sempurna dan kita patut bersyukur kerana menyedari kita adalah ciptaan terhebat dan berada dalam kesempurnaan yang nyata.

Jiwa yang kosong dan terkapai-kapai akan merasa indah seketika mengenal kekuasaan dan kasih sayang Allah SWT yang tidak terkira luasnya.
Sentuhan lembut dan menginsafkan mereka membuatkan mereka ingin lebih lanjut meneroka dunia sains bagi mencari-cari di mana dan “tunjukan saya kehebatan Allah SWT”.
Tidaklah susah bagi mengkaitkan sains dan Allah serta agama Islam. Ini kerana sains itu sendiri sifatnya menerangkan kejadian. Maka, mudah. Sains itu sendiri telah pun menerangkan kejadian ciptaan Allah SWT dan menitikan larutan akhlak ke dalam penerangan. Cuma guru-guru perlu rajin berfikir.

Sistem peredaran darah manusia sangat hebat dan tiada kejuruteraan manusia mampu menghasilkan sebegitu hebat enjin pam dan sistem saluran sebegitu kemas. Kehebatan kejadian ciptaan Allah ini memberikan ruang kepada kita untuk berfikir akan ke Esaan Allah SWT dan memikirkan kebaikan daripadanya.
Saluran darah yang menampung tekanan tinggi, arteri, membawa keluar darah dari jantung untuk dihantarkan kepada seluruh sel badan. Arteri dicipta mempunyai dinding yang tebal dan ruang lubang yang nipis agar dapat menampung tekanan tinggi darah yang baru sahaja dipam. Tekanan pam jantung yang tinggi diperlukan bagi memastikan darah dapat disalurkan ke seluruh badan. Ini kerana jarak panjang salur darah manusia adalah sejauh lebih satu pusingan bumi. Maka, jika tekanan tidak cukup kuat, mungkin ada sel badan yang tidak mendapat oksigen.

Selepas disalurkan oksigen melalui arteri, darah pulang ke jantung dalam tekanan yang lemah melalui vena kava yang nipis dan ruang besar. Mengapa tidak dibawa darah itu terus menggunakan arteri. Di sinilah pengajarannya, Allah mencipta tanpa pembaziran. Meskipun, salur darah yang kuat untuk tekanan tinggi masih boleh juga menampung tekanan lemah, namun Allah tidak membazir. Sekadar cukup memadai bagi saluran yang nipis dan ruang yang besar untuk membawa darah bertekanan rendah.
Begitulah logika teori sains dan keEsaan Allah SWT diterapkan di dalam mata pelajaran sains dan anak-anak ini akan mula berfikir.

Bukanlah sistem pendidikan negara yang mengsekularkan agama Islam sebagai agama gaya hidup manusia. Tetapi penyampaian yang kurang berkesan dan kurang ilmu serta malas untuk berfikir adalah sebab utama kenapa nilai-nilai Islam itu tidak berjaya diterapkan dan dicanang di dalam mata pelajaran sains.
Mengenal Allah melalui sains lebih logika dan lebih mudah.

Ketika motor merempit mereka memecut, ketika itu mereka teringat bahawa kelajuan disebabkan enjin yang menghasilkan daya tolakan pada tayar ke atas jalan raya, ketika itu mereka teringat bahawa Allah yang menjadikan daya itu, daya itu tidak nampak tetapi berkuasa, daya itu tahu pula arah mana patut ditolak, daya itu ada nilainya, jika kemalangan daya menukar menjadi momentum yang digabungkan antara faktor jisim badan dan jisim motor dengan faktor pecutan pergerakan mereka. Mereka insaf, Allah menciptakan momentum supaya kenderaan bergerak, kapal terbang menghasilkan lonjakan, roket angkasa melepasi atmosfera, bola melantun dan pisau memotong daging untuk mereka guna demi kebaikan. Kasih sayang Allah yang tidak terhingga, tidak patut dibalas dengan keburukan dan kemungkaran.

Kesannya, anak-anak didikanku yang tidak memakai tudung dan suka melawan cakap ibu bapa serta tidak solat, kembali kepada agamanya, yakni Islam, serta sangat kagum dengan Allah SWT. Ini kerana, setiap kali mereka memahami bagaimana makhluk dan persekitaran berfungsi serta saling memerlukan, di ketika itulah mereka terbayangkan kekuasaan Allah dan kehebatan ilmu kebijaksanaan Allah.
Guru, fikirlah apa ada pada kandungan pendidikan. Saya pasti, setiap ilmu di dunia boleh dikaitkan dengan kehidupan dan dapat dikaitkan dengan Islam. Kerana Islam itu agama gaya hidup yang menyeluruh. Tentu boleh!

Anak-anak didikanku, teruskan meneroka sains kerana disitu kamu akan ketemu kehebatan agamamu, kebenaran kitab Al-Quran dan kasih sayang Allah SWT. Jika bukan kerana peperiksaan, belajarlah sains untuk mengenal agama Islam, kitab al-Quran dan Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan