Surat Irfan Khairi kepada Info Wealth & ibu bapa yang ada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan besar nanti...
UPSR..PMR..SPM..STPM..
Bacalah...
Info Wealth, sedikit luahan…
Irfan Khairi
to me
13 hours ago..
Info Wealth,
Ketika menulis ini, saya sedang berada dalam penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur, ke New Delhi, India untuk memenuhi jemputan memberi ceramah keusahawanan di Aligarh Muslim University, sebuah Universiti terbaik di India.
Sering kali ke luar negara atas jemputan, isteri dan anak-anak tidak dapat turut sama oleh kerana belum cuti sekolah. Tambah lagi, anak perempuan saya yang kedua, Kasih, bakal menduduki peperiksaan UPSR beberapa hari sahaja lagi.
Alhamdulillah sering mendapat jemputan memberi talk mengenai keusahawanan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di institusi pendidikan serata dunia sejak beberapa tahun yang lalu.
Bercakap tentang peperiksaan dan juga pendidikan, ketika musim peperiksaan ini, rata-rata pastinya ibu bapa inginkan anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan sekiranya ada rezeki ingin pendidikan sehingga ke menara gading Universiti.
Adakalanya juga, keinginan untuk mendapat keputusan yang cemerlang untuk anak-anak mengakibatkan tekanan yang amat sangat dirasai ibu bapa. Tekanan tersebut pula dipindahkan kepada anak-anak untuk mendapat keputusan yang cemerlang.
Kertas peperiksaan tidak menunjukkan bakat sebenar anak-anak kita. Sememangya kita inginkan yang terbaik untuk anak-anak kita tetapi sekiranya kita telah berikan yang terbaik, dan tentunya doakan yang terbaik untuk anak-anak, apa sahaja keputusan peperiksaan yang dapat semestinya di redhai.
Adakalanya, anak kita tidak secerdik anak orang lain. Jangan dibandingkan oleh kerana rezeki anak kita mungkin di tempat yang lain oleh kerana Allah swt adalah perancang yang terbaik. Dan jika anak kita lebih cerdik dari orang lain, jangan pula berasa sombong dan membanding-bandingkan oleh kerana rezeki pada masa hadapan tiada siapa yang tahu.
Di dunia ini, bukan sahaja doktor, peguam, pakar ekonomi, sahaja yang berjaya. Artis, ahli sukan, usahawan dan banyak lagi bidang juga turut boleh berjaya yang tidak memerlukan keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau segulung ijazah.
Rata-rata jika dibandingkan usahawan-usahawan yang berjaya serata dunia, ramai antara mereka bukanlah merupakan pelajar cemerlang di sekolah.
Info Wealth, teringat saya satu kartun di mana seorang hakim mengumpulkan haiwan-haiwan dari hutan, termasuk gajah, harimau, monyet, burung, ikan, ayam, kambing dan banyak lagi dan mengumumkan satu ujian untuk mencari haiwan yang paling hebat sekali di hutan.
Ujian pun di umumkan oleh hakim: “Haiwan yang boleh panjat pokok ini paling pantas akan digelar haiwan paling hebat sekali!” sambil menunjukkan pokok berhampiran.
Haiwan-haiwan lain terpingga-pingga. Sang monyet senyum sahaja!
Walaupun hanya sekadar kartun lawak jenaka, tetapi ia memberi mesej yang sangat penting dalam sistem pendidikan kita. Jangan dihakimi seseorang itu pada hanya satu ujian. Apatah lagi ujian tersebut tidak mencerminkan kebolehan, bakat dan potensi sebenar seseorang itu.
Setiap insan mempunyai kebolehan, bakat dan potensi masing-masing. Soalnya adalah untuk kita gilapkan kebolehan tersebut, asahkan bakat yang ada dan cungkilkan potensi diri untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Tidak dinafikan bahawa pendidikan itu penting. Tetapi apa yang lebih penting lagi adalah ILMU. Pentingnya ILMU sehingga disebutkan dalam Al-Quran lebih dari 700 kali. Ilmu itu ada pelbagai dan tiada hadnya. Dan seperti mana yang disebutkan, tidak semua jenis ilmu dicerminkan melalui kertas peperiksaan.
Teringat saya ketika menduduki UPSR satu masa yang lama dulu, saya tidak mendapat 5A. Tidak juga 4A atau 3A. Cuma mendapat 1A (Bahasa Inggeris) dan gagal 1F (Bahasa Malaysia). Gagal dalam Bahasa Malaysia namun, Alhamdulillah kini menulis untuk bacaan anda dan telah menerbitkan 7 buah buku!
Peperiksaan terakhir sekolah menengah SPM juga tidak lari dengan kegagalan, kali ini F9 dalam mata pelajaran Prinsip Aka
un. Gagal dalam Prinsip Akaun namun, Alhamdulillah bergelar usahawan dan berjaya mencapai keuntungan perniagaan RM1,000,000 tujuh tahun selepas SPM- dan kini juga menyampaikan ilmu perniagaan di universiti-universiti antarabangsa!
Buat ibu bapa yang anak-anak bakal menduduki apa sahaja peperiksaan UPSR, PT3, SPM ataupun peperiksaan di Universiti, ucapan dan doa selamat berjaya. Buat anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan, wish you all the best! Bagi ibu bapa dan juga anak-anak, sekiranya telah ikhtiar yang terbaik, redha dengan apa sahaja keputusan oleh kerana masa hadapan adalah sangat cerah bagi mereka yang mengejarnya tidak kira apa sahaja bidang yang diminati!
Semoga Berjaya!
Irfan Khairi
MH190: Kuala Lumpur-New Delhi
-- Bagus dan benar sekali ucapannya...kadang2 kita terlalu nenilai anak2 melalui keputusan peperiksaan bukan melalui potensi sebenar mereka! ALLAHUKBAR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan