Ahad, 11 Disember 2016

Maulud

Rahsia tarikh lahir Rasulullah S.A.W. Misteri yang terungkai.

Rasulullah S.A.W. lahir pada sebelum fajar hari Isnin, 12 Rabi'Awal, Tahun Gajah.

1. Sebelum fajar
===========

Kedatangan Rasulullah S.A.W. membawa rahmat. Sebelum fajar bererti kegelapan sudah akan berakhir dan cahaya adalah umpama rahmat Allah yang akan menjelma.

2. Isnin
======

Bahasa Arab bererti dua. Di saat kelahiran baginda, akidah manusia sudah rosak kerana sudah lama ketiadaan Nabi dan Rasul. Hanya dua yang mengenal Tuhan; Zat Tuhan itu sendiri dan baginda Rasulullah S.A.W. Itulah isyarat dari Tuhan disebalik kelahirannya pada hari Isnin. Justeru, keIslaman seseorang hanya sah apabila dia mengakui dan menyebut kedua-duanya.

3. Dua Belas
==========

A. Waktu
------------
Jika dirujuk pada malam, ia adalah kemuncak kegelapan.
Ertinya waktu kelahiran baginda, segala perkara negatif berada di tahap puncaknya.

Jika dirujuk pada siang, ia adalah seterang-terang cahaya matahari. Ertinya kedatangan baginda membawa rahmat daripada Tuhan untuk segala alam, bukan hanya untuk manusia, bahkan binatang, kayu kayan, batu-batan dan seluruh ciptaanNya. Berkat cahaya rahmat itu, seluruh makhluk mendapat  pembelaan dan tidak boleh diperlakukan  sesuka hati.

B. Bulan
------------
Jika dirujuk pada bulan, ia adalah kemuncak bulan dalam setahun. Ertinya baginda adalah penutup dan kemuncak para Rasul. Rasul terdahulu didatangkan untuk sesuatu kelompok dan zaman sedangkan Rasulullah S.A.W. didatangkan untuk semua etnik, berlanjutan hingga zaman berzaman.

C. Bintang (Cygnus Ob2-12)
-----------------
Jika dirujuk pada bintang, ada bintang 12 yang mana ia adalah bintang yang paling terang di antara beribu bintang yang ada. Ertinya kelahiran Rasulullah S.A.W. membawa syariat yang lengkap, petunjuk dan rahmat yang lengkap  dari dunia hingga akhirat. Ajaran yang  dibawanya paling sempurna berbanding  ajaran rasul-rasul sebelumnya.

4. Rabi'Awal
============
Rabi’ daripada bahasa Arab bererti musim bunga. Kedatangan baginda menjadi contoh akhlak yang mulia dan akhlak yang agung adalah umpama bunga yang cantik dan indah  di awal musim bunga.

Rabi' mempunyai awal dan akhir. Rabi'awal bermaksud kebangkitan Islam yg pertama ketika futuh(pembukaan) kota Mekah di zaman Rasulullah S.A.W. dahulu. Rabi'akhir pula bererti janji Allah S.W.T. bahawa Islam akan kembali bangkit di akhir zaman untuk kali kedua dan menjadi empayar semula yang bertaraf ummah(global).

5. Tahun Gajah
============
Dikaitkan dengan Abrahah dan tentera bergajahnya dari Yaman. Sewaktu dia menyerang Ka’bah, dia telah merampas harta benda termasuk kambing-kambing bapa saudara baginda, Abu Thalib dan datuknya Abdul Muthalib. Akhirnya Abdul Muthalib keluar lalu bersemuka dengan Abrahah. Beliau meminta supaya dipulangkan semula kambingnya kerana ia adalah miliknya. Manakala tentang Kaabah, beliau berkata terpulanglah kepada Abrahah kerana Ka’bah itu bukan miliknya tetapi milik Allah. Jadi, di sini, terbuka rahsia bahawa keluarga Rasulullah S.A.W. masih beragama dengan agama Nabi Ibrahim. Ertinya keturunan baginda terpelihara, bersih dan dijaga oleh Allah. Juga menunjukan Rasulullah S.A.W. lahir daripada keturunan yang berani memperkatakan kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan