Ahad, 20 Ogos 2017

Adab

Aku ini budak nakal sejak kecil lagi. Rakan sekelas aku sejak sekolah rendah, menengah dan sampailah zaman kat maktab tahu lah hal ini. Nakal sungguh!

Tapi aku masih ingat satu peristiwa. Waktu itu aku ditahun 3 kalau tak silap. Masa tu bersekolah di Sk Kamil (1) Pasir Puteh, Kelantan.

Abah datang ke sekolah. Berjumpa dengan guru kelas aku dan berpesan,

" Kalu anok ambo ni tak dengar kato, buas, cikgu buat lah lagu mano pun. Perlu pulah, cikgu pulah. Perlu rotan, cikgu rotan."

Aku menunduk malu. Segan dan hormat pada guru. Risau guru ceritakan segala kelakuan nakal aku pun ya juga. Serba tak kena masa tu.

Cikgu kelas aku tersenyum lantas menjawab,

" Molek la gitu. Mudah sayo ambik tindakan nanti. Asal tak patah riuk jah kan?"

" Kalu patoh gak bowok gi spital. Payoh apo gak?" Balas ayah aku.

Kemudian mereka berdua gelak terbahak-bahak. Kelakar bagi mereka, menggerunkan bagi aku. Gila tak gerun, bapak sendiri bagi lesen cikgu belasah anak sampai patah riuk. Aku dah la budak nakal.

Namun, walau lesen sebesar alam telah ayah aku bagi kat guru-guruku, belum pernah aku masuk hospital sebab dibelasah guru. Paling kuat kena penampar, kena tarik sideburn, kena pulas perut, kena pulas tetek, kena sebat dengan rotan sampai berbirat-birat.

Itu semua biasalah. Proses memanusiakan manusia. Dah memang aku nakal. Nakal sungguh!

Balik rumah tak pernah nak mengadu. Gila kau nak mengadu. Kena tambah lagi rotan kat rumah. Cari minyak gamat, sapu sendiri dalam bilik sudahlah. Kata lelaki. Kena kuatlah hadapi semuanya. Lagipun, semua hukuman yang aku dapat tu memang berpunca dari kenakalan aku.

Dari kecil memang aku dah diterapkan dengan tanggungjawab. Kau buat, kau tanggung. Tak payah nak mengadu domba.

Simple.

Zaman sekarang ni memang aku pelik betul. Anak-anak menjadi tuan. Ibubapa dan guru pula jadi hamba. Segala apa yang tuan suruh, semua kena patuh. Tuan luka sedikit, satu alam bergegar. Siapa punya angkara, cepat-cepat dicari dan diambil tindakan.

Kita melahirkan tuan. Satu fakta yang menyedihkan.

Isu kecil diperbesar-besarkan. Tarik hidung pun sampai kena laporan polis. Dunia apa yang aku hidup sekarang? Ketuanan apakah yang melanda anak-anak sekarang?

Langsung tak boleh sentuh. Langsung tak boleh marah. Aku ingin cadangkan kat ibubapa jenis macam ni,

"SEKOLAHKAN SAJA ANAK ANDA DI RUMAH!"

Settle masalah.

Kau jadilah hamba anak-anak sendiri. Cikgu-cikgu dah meluat nak jaga dan didik anak-anak kau yang jenis kurang ajar. Ada beratus ribu lagi murid lain yang sudi diajar dan penuh hormat pada guru.

Keberkatan ilmu yang dibawa guru tidak lagi dipandang tinggi zaman ini. Tak apa lah. Tak apa. Yang tidak lagi menjunjung keberkatan ilmu, tak payah lah hantar anak ke sekolah.

Kami guru di sekolah bukan hamba. Kami guru di sekolah bukan orang gaji.

Murid buat salah kami mesti didik. Kami tak boleh biarkan mereka terus hanyut jadi sampah masyarakat. Kerana kami GURU!

Dan dah banyak kali aku tulis. Kami guru bukan malaikat. Kami juga ada salah dan silap.

Datanglah dengan penuh hormat. Tegurlah dengan beradab. Sebagaimana teguran yang layak seorang guru terima.

Dan ingatlah...

MURID bukan TUAN, GURU bukan HAMBA.

#MFS
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan