Isnin, 14 Ogos 2017

Skor A

Bila exam dah dekat sangat..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ada mak ayah yang tanya saya, boleh tak anak dia dapat A kalau hantar tuisyen sekarang? ( tinggal sebulan dua je lagi nak exam besar)

Begini lah.. Saya jawab sebagai ibu dan guru.

Pertama:
Kita kena kenal anak kita.

Kalau anak kita dari kecil, perkembangannya lambat setahun atau dua tahun dari anak-anak orang lain, atau dalam istilahnya tidak ikut 'milestones' yang sepatutnya, jadi kita kena terima hakikat yang anak kita mungkin 'tidak dapat sama laju' seperti anak orang lain. Terutamanya kalau anak kita mempunyai 'masalah' lain yang mungkin kita sedari.

Kalau anak kita, dalam tempoh 'persediaan' untuk ke arah peperiksaan ini, ada terlibat dengan 'kemalangan' dan 'kecederaan' atau 'penyakit' yang lambat sembuh, kita kena terima hakikat yang anak kita mungkin banyak tertinggal berbanding anak orang lain.

Kalau anak kita, tiba-tiba terpaksa mengharungi 'masalah keluarga' di saat mereka inginkan sokongan dan harapan, besar kemungkinan mereka 'hilang' fokus dengan peperiksaan. Contohnya, bertukar sekolah, ibubapa bercerai, ahli keluarga meninggal, ayah kahwin lain, kes buli, kes dera, kes terabai..

Semua ini serba 'sebanyak' akan menjatuhkan prestasi dan kejayaan anak-anak. Jadi, mak ayah kenalah rasional bila meletakkan harapan pada anak dan cikgu.

Kedua:
Kita kena 'lihat' usaha kita (mak ayah)

Kalau kita sudah dapat kenalpasti masalah anak kita sejak awal, dan kita banyak usaha untuk memulihkan anak kita, kita kena dapat UKUR tahap usaha kita adalah sepadan dengan tahap peningkatan anak kita. Dan mesti mencapai tahap yang kita inginkan. Kalau tidak sepadan,mak ayah kena belajar terima hakikat!

Bukan semua anak dilahirkan untuk peroleh 'A' dalam hidup. Tetapi tepat untuk dilahirkan cemerlang dalam lingkup hidupnya.

Sedaya upaya lah kita mak ayah menjaga 'kesihatan' anak kita apabila anak kita bertarung dengan musim peperiksaan. Kesihatan ini bermaksud dari segi fizikal dan mental. Sekiranya kita mak ayah tidak mampu lari dari takdir yang 'menyakitkan', berlapang dadalah untuk menerima hakikat prestasi anak kita juga turut sama terjejas.

Kenalpasti bagaimana kita melayan 'kerenah' anak kita. Kalau kita jenis memanjakan, jenis memenangkan anak, atau jenis tak suka paksa-paksa, jadi kena terima hakikat anak yang C tidak boleh bertukar menjadi A dengan sekelip mata.

Ketiga:
Kita kena SEDAR usaha anak kita.

Kalau kita sudah banyak berusaha, tetapi anak kita jenis buat tak tahu, jenis 'tak makan saman', jenis 'ketegaq' atau jenis 'pahat dengan penukul', terimalah hakikat A dalam exam bukan target utama kita. Target kita adalah A pada akhlak dahulu, kemudian baru boleh bincang untuk dapat A dalam pelajaran.

Kalau kita sedar anak kita usahanya sudah banyak, tetapi tetap ditakuk itu juga, bertabahlah. Mungkin bukan A untuk kali ini, tetapi A untuk masa akan datang. Kuatkan semangat juang anak supaya tidak menyalahkan takdir dan tidak sesekali menyalahkan Tuhan.

Setelah mengambilkira ketiga-tiga faktor di atas, sekiranya ibubapa berhajat menghantar anak tuisyen di akhir-akhir waktu begini semata-mata untuk memastikan anak mendapat 'straight A' dalam peperiksaan, waima 'one to one' sekalipun, 24/7, hanya ada satu lagi yang boleh saya katakan..

Keempat:
Keajaiban.

1. Boleh dapat A kalau kena 'soalan target'.
2. Boleh dapat A kalau dapat 'soalan bocor'.
3. Kun Fa Ya Kun.. InsyaAllah. Tiada yang mustahil pada kejadian Allah.

==============================
RENUNGAN

~ Sebagai cikgu sekolah menengah, saya lihat ramai budak yang A masa UPSR , 'kantoi' bila naik sekolah menengah. Sehingga saya terfikir, macamanalah budak-budak ni boleh dapat A masa UPSR dahulu... Sesungguhnya 'keajaiban' itu tidak mustahil.

Dan betapa bahagianya saya melihat ramai murid yang dapat B dan C boleh bersaing dengan jayanya dan lebih cepat pemahamannya di sekolah menengah. Biarpun ketika UPSR, tidak peroleh 5A atau 6A.

Ya, apa yang saya lihat adalah mereka ini sifatnya pejuang. Mereka yakin ada sinar di hadapan. Semangat mereka jujur dan tulus. Dorongan dan doa ibubapa sentiasa konsisten. Akhlak juga semakin baik. Murid begini lah yang saya yakin boleh dapat A dalam hidupnya. Kalau bukan sekarang, mesti akan dapat pada masa akan datang!

Jadi, untuk menjawab soalan cepu emas ibu ayah yang mengharapkan A di saat-saat akhir, adalah suatu yang sukar. Itu kerja Tuhan. Pada saya A bukan segala. Peningkatan itu yang saya mahu ukur dan lihat.

Cuma saya berharap, tolonglah jangan hantar anak tuisyen hanya apabila masa sudah 'suntuk'. Hantarlah awal-awal! Kita boleh 'screaning', kita boleh 'baiki'.

Sebaiknya dari tahun 4 untuk UPSR, tingkatan 1 untuk PT3 dan tingkatan 4 untuk SPM.

Lagi baik, upahlah tutor peribadi yang berkelayakan. Senang mahu fokus pada kelemahan anak. Kita bukan mahu hantar tuisyen untuk belajar macam di sekolah, kita mahu hantar anak tuisyen untuk fokus membantu membaiki kelemahan dan melonjak kejayaan..

Kalau target nak A, cikgu kat sekolah pun semuanya harapkan A. Lagi banyak usaha dan kerja mereka dalam memastikan anak kita dapat A.

Jadi, fikir-fikirkan, kenapa dan apa sebenarnya yang kita mahu untuk anak-anak kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan