Jumaat, 3 Disember 2021

Luahan SSP

 

Luahan Guru Sek Seri Puteri

Apabila wabak Covid diuji ke atas kita, hampir semua orang berasa takut dan cemas. Pergi ke mana sahaja, jiwa dihantui Covid-19.  Apabila vaksin Covid-19 ditemui, hampir semua yang sudah mendapat vaksin berasa selamat, gembira, bahagia. Ramai yang lupa siapa Berkuasa. Namun vaksin bukan pencegah. Ia hanya melemahkan symptom dan kesan. Itu masih berguna kepada manusia.  SOP masih perlu dijaga, tapi sesetengah ibu bapa tak faham.  Salahkan sekolah kerana tak benarkan anak balik bercuti.


Mendengar tangisan rakan-rakan guru yang dimaki oleh ibu bapa, mendengar rintihan hati rakan-rakan guru yang diugut oleh ibu bapa, membaca tohmahan ibu bapa terhadap guru-guru, membuatkan saya sangat risau terhadap masa depan anak-anak mereka.


 Manakan tidak, akhlak ibu bapa terhadap guru melambangkan keberkatan ilmu yang diterima oleh anak-anak mereka. Keberkatan ilmu bukan terletak pada bilangan A yang diperolehi, tetapi lebih jauh daripada itu.  Menjadi ‘orang’kah mereka, bahagiakah mereka dengan ‘kejayaan’ yang diperolehi, berbaktikah mereka kelak kepada kedua ibu bapa mereka… Di situlah antara hasil keberkatan ilmu.


Saya jadi tertanya-tanya di manakah letaknya kewarasan dan keimanan orang-orang ini yang terus menuding jari mencari kambing hitam.  Bila terjadi kes Covid di suatu sekolah, ibu bapa terus menyalahkan guru dengan tuduhan tidak menjaga SOP. Guru-guru adalah antara insan-insan yang paling ketat menjaga SOP kerana mereka sedar mereka menggalas tanggung jawab menjaga anak orang di asrama.  Mereka adalah antara insan-insan yang paling susah hati apabila murid tidak dapat belajar. Mereka adalah antara insan-insan yang selalu mengkesampingkan anak sendiri demi kejayaan anak didik di sekolah.  Hanya kerana guru kena Covid-19 tanpa disedarinya, terus guru itu ditohmah tidak menjaga SOP.  Sedangkan sepanjang pemerhatian saya beliaulah yang paling ketat menjaga SOP, kerap menjalani ujian kendiri Covid, untuk memastikan keadaan selamat.  Walaupun secara zahirnya guru ini orang kedua positif covid di sekolah, belum tentu dia yang memulakannya. Semua tahu bahawa wujudnya ‘pembawa’ virus yang tiada symptom.  Wallahu ‘alam.


Jika benar sekali pun dia punca utama; sebagai orang yang beriman, kami berusaha menjaga SOP, ambil vaksin dan buat ujian kendiri, tetapi tidak sesekali kami lupa yang Maha Mengatur ialah Allah.  Berapa ramai di luar sana yang dapat virus Covid-19 sedangkan mereka sangat berhati-hati.  Ada ibu bapa yang tuduh Virus dibawa oleh guru yang tak jaga SOP.  Ada jaminankah jika anda yang jaga SOP tidak membawa virus? 


 Berhentilah menyebarkan fitnah.

Saya rasa kasihan kepada sebahagian ibu bapa yang angkuh dan senang untuk mencemuh guru-guru.   Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berasrama jangan menganggap guru-guru seperti orang gaji, perlu duduk dalam sekolah dan jangan ke mana-mana.  In the first place, suara-suara keangkuhan dan cemuhan ibu bapa ini keluar dari rasa DIRI SENDIRI HEBAT, guru dan pihak sekolah hanya … “lebih rendah dari aku”, “sekolah tak patut buat begitu, kalau aku, aku akan buat begini, begini”, “kenapa buat begitu”  “kenapa buat begini”, “..stupidlah kuarantin di asrama, baik kuarantin di rumah..”.  Hampir begitulah agaknya bunyi-bunyi di kalangan sebahagian ibu bapa. 

 

Tahniah kepada para ibu bapa yang kuat iman dan tawakkal kepada Allah.  Apabila saya meninggalkan anak saya di asrama atau menghadiri apa-apa program, doa saya hanyalah “ Astau di ‘ukumullah” dengan doa dan tawakkal kepada Allah.  (aku tinggalkan anakku dalam jagaan Mu Ya-Allah).  

 

“Aku titipkan kamu kepada Allah, Yang tidak akan mensia-siakan titipan (yang dijaga)Nya.”

Lantaran itu jika apa-apa musibah menimpa, takkan saya menghamburkan kata-kata kesat kepada guru, pengetua atau penganjur program.  Jika itu terjadi, sama seperti saya menghamburkan kata-kata kesat kepada Yang Maha Menjaga.

Memang saya ingin mengetuk pintu hati dan minda para pembaca ke arah satu sudut dari apa yang sedang berlaku.  Banyak lagi sudut lain yang tidak disentuh.  Mungkin di lain kali.

Jika dengan coretan ini, ada yang nak melenting.  Silakanlah. Sudah ada suara di kalangan ibu bapa, nak tukar orang itu dan orang ini… Itulah salah satu tanda keangkuhan.  Saya sekadar mengajak kita sebagai orang Islam untuk menilai dan merenung dalam-dalam sejauh mana iman & akhlak (perbuatan dan hati) menjadi pakaian kita.  


 Terima kasih kepada para ibu bapa yang menjaga lidah dan mengawal perasaan.  Terima kasih kepada ibu. bapa menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kalian; mengenal Qudrat  dan Iradat Tuhan, memahami usaha makhluk.  Semoga anak-anak anda yang juga anak-anak didik kami “lulus” ujian covid ini sama ada positif mahupun negative.  Semoga kita semua dijauhi oleh Allah dari

perkara yg tidak diingini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan