Isnin, 25 April 2022

Warden

 RM240 sebulan!


(1) Elaun yang langsung tak masuk akal untuk masakini. Tapi itulah harga sebuah pengorbanan warden asrama sekolah. Seperti langsung tak dipandang orang. 


Sebab itulah ramai guru tak mahu jadi warden asrama. 


(2) Akhirnya ada sekolah amalkan jadual giliran guru untuk jadi warden asrama. Kononnya ini cara paling adil. Alang-alang biar semua guru kena. Pengetua dan PK mungkin ikut giliran juga. Mungkin...


(3) Petang tadi saya diberikan link oleh seorang rakan guru tentang kisah seorang warden asrama yang menyampaikan suara hati beliau sebagai warden asrama. Boleh baca di sini https://bit.ly/3xMVEnA


(4) Dalam bahasa yang mudah, warden adalah 'penjaga' muurid-murid yang tinggal di asrama. Murid-murid ini terpaksa berjauhan dengan ibubapa dan keluarga semata-mata untuk mendapat pendidikan yang lebih baik dan terurus. 


(5) Duduk di asrama makan terjaga, solat terjaga, disiplin terjaga. Waktu belajar terjaga. Dekat pula jarak ke sekolah setiap hari. Saya sendiri telah lalui semua itu. Tujuh tahun lamanya saya tinggal di asrama sekolah harian di Sungai Petani Kedah, dari tingkatan satu hinggalah tingkatan enam atas. Semuanya tentang kehidupan di asrama telah saya lalui. Saya sudah lihat betapa besarnya pengorbanan warden asrama demi masa depan saya. 


(6) Sebab itu saya cukup sedih bila lihat warden asrama hanya di bayar elaun RM240. Maksudnya sehari dibayar hanya RM8. Bertugas 24 jam, termasuk hujung minggu. Maksudnya sejam dibayar  hanya 30 sen untuk jaga nyawa ratusan murid-murid di asrama. Siapa sanggup? 


(7) Tengah malam sedang tidur pun warden dalam keadaan bertugas juga sebenarnya. Tiba-tiba sahaja boleh kena kejut jika ada kecemasan di asrama.


(8) Sebagai penjaga murid-murid, warden asrama adalah tempat murid-murid menumpang kasih dan mendapat perhatian. Murid-murid ni remaja. Mereka sedang membesar dan sentiasa dahagakan kasih sayang dan perhatian. Kalau di asrama, siapa lagi kalau bukan kepada warden. 


(9) Tapi kalau dibayar hanya RM8 sehari tapi kena bertugas 24 jam, kerja pula ada berbagai risiko dan berat  sekali tanggungjawabnya kepada murid-murid, guru mana yang sanggup bertahan lama jadi warden? Guru mana yang sanggup menjaga dan menjadi tempat murid-murid asrama mendapat kasih sayang. 


(10) KPM patut selesaikan isu bayaran elaun warden asrama ini segera. Janganlah RM240 lagi. Bayarlah elaun bersih RM700 sebulan. Kena ingat, warden menjaga keselamatan nyawa dan kebajikan murid-murid. 


(11) Bangla yang bertugas jaga bangunan dan pejabat kosong di malam hari pun di bayar jauh lebih tinggi berbanding warden asrama yang jaga nyawa dan keselamatan murid-murid. 


(12) Persatuan guru pun lantanglah sikit bersuara. Kamu sepatutnya di depan berjuang untuk menjaga kebajikan warden asrama. Bukankah warden itu guru juga? 


(13) Bila warden asrama sejahtera, kebaikannya akan sampai pada murid-murid yang tinggal di asrama juga. Warden sejahtera, murid-murid pun sejahtera.


Selamat bersahur...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan