Selasa, 26 Julai 2022

Homo sapiens

 MANUSIA: DARI MANA ASAL USUL KITA?


Cnp dengan izin dari ayah ku

psyarah kimi-A! teman di UMT


Kita semua sebagai “manusia moden” atau dari spesis Homo sapiens [Latin: Homo=manusia; sapiens = bijaksana] yang boleh membaca FB ini tentu tertanya-tanya dari mana asal usul kita. Adakah kita dari planet lain seperti Marikh (Mars) atau dari Bulan atau dari sistem bintang yang lain (bukan dari sistem solar) atau datang dari galaksi lain iaitu luar dari Galaksi Bima Sakti (Milky Way)..atau kita memang dijadikan di sini, di Bumi bertuah ini?


Yez..memang semua dapat menjawab dengan betul.Syabas! Yez..kita memang berasal dari Bumi ini..dihasilkan oleh Sang Pencipta menggunakan bahan-bahan mentah yang semuanya wujud di Bumi ini.


Pokok menggunakan segala bahan mentah yang ada di Bumi untuk menghasilkan bunga, buah, daun dan pelbagai sumber makanan yg tersedia untuk haiwan memakannya. Kita, manusia pula memakan segalanya..tumbuhan dan juga haiwan yang memakan tumbuhan tadi. Jadi, manusia memang berasal dari Bumi ini – di sinilah tanah tumpah darah kita manusia..bukan dari Marikh atau planet lain dalam sistem solar (Matahari) atau bukan dari ruang interstellar (ruang yang wujud di antara bintang-bintang). Selesai satu kes!


Soalan seterusnya adalah dari mana asal hidupan seperti tumbuhan, haiwan, bakteria dan virus pulok?


Mengikut teori evolusi, hidupan semuanya bermula dari benda-benda tidak hidup (abiotic) atau ringkasnya dari bahan-bahan kimia seperti asid amino (yang membentuk protein), nukleobes bersama gula ribos membentuk RNA (Ribonucleic acid) dan asid lemak/lipid yang membentuk lapisan luar atau membrane yang mengelilingi semua asid amino dan RNA tadi untuk membentuk satu sel primitive atau protosel.


Evolusi seterusnya membentuk sel hidupan yang lebih moden dan mempunyai DNA dan membrane yang lebih maju dari posfolipid. Dari satu sel menjadi dua sel..jutaan sel dan seterusnya membentuk haiwan atau tumbuhan yang lebih kompleks seperti yang kita lihat pada hari ini. Pada masa ini kita percaya Bumi mempunyai 8.7 juta spesies haiwan dan tumbuhan. Fuuhh..hebatkan Sang Pencipta!


Makhluk yg akhirnya menjadi seperti manusia dipercayai telah berevolusi sejak berjuta tahun dahulu dan berkembang pesat selepas tamatnya zaman dinosaur kira-kira 65 juta tahun dahulu iaitu pada penghujung Cretaceous Period.


Disebabkan manusia merupakan sejenis haiwan mamalia, maka kita dipercayai berasal dari haiwan yg dinamakan morganucodontids (Foto disertakan), seperti tikus yg hidup bersama dinosaur 210 juta tahun dahulu..ha ha..dan akhirnya berubah menjadi monyet, beruk, orang utan dan chimpanzi.


Evolusi seterusnya membentuk makluk yang boleh berdiri tegak, berjalan menggunakan dua kaki dan tangan bebas untuk memegang peralatan (tools). Pada masa tersebut, panjang anggota tangan  masih lagi melebihi panjang anggota kaki – seperti chimp la gitu. Tapi kita yang dipanggil manusia moden ini mempunyai panjang anggota tangan kurang dari panjang anggota kaki..cuba sukat tengok! Ha ha..Betoi tak?


Jadi makhluk tersebut yang wujud mulai 6 juta tahun dahulu yang diberikan pelbagai nama seperti Australopithecus dan Ardipithecus dipercayai adalah asal usul manusia yang sebelum itu berevolusi kepada Homo habilis, Homo erectus, Homo neanderthalensis, Homo denisova dan pelbagai lagi nama diberikan. Bukti kewujudan mereka adalah melalui fosil yang ditemui – bukan omong-omong kosong.


Satu perkara yang ramai orang keliru adalah istilah “human” dalam Bahasa Inggeris tu..jika kita translate ke Bahasa Melayunya dia jadi “Manusia”.  Sebabnya dalam sains jika makhluk yang wujud dari genus “Homo” itu dari Bahasa Latin yg dipanggil “Human being” dalam B Inggerisnya. Tetapi bagi kita “Manusia” adalah bermaksud “Manusia Moden” iaitu dari spesis “Homo sapiens” – seperti kita sekarang inilah. 


Untuk mendapatkan gelaran Homo tu dia mestilah boleh berdiri tegak di atas dua kaki (bipedal) dan mempunyai saiz ruang otak melebihi 600 cm padu (cm^3) serta gigi yg lebih kecil. Panjang anggota kaki perlu melebihi anggota tangan. 


Untuk makluman, manusia moden punyai purata saiz otak 1,350 cm padu iaitu kira-kira 2.2% dari berat badan kita. Manakala Ardipithecus yg hidup 5.6 – 5.8 juta tahun dahulu punyai saiz otak = 300 hingga 350 cm padu sahaja. Begitu juga Australopithecus yg hidup lebih kurang 3 juta tahun dahulu punyai saiz otak antara 400 hingga 550 cm padu sahaja. Sebab itu mereka berdua tidak dikelaskan dalam genus Homo..sbb saiz otak mereka kecil kurang dari 600 cm padu..hu hu.


Jika dilihat makhluk dalam genus Homo seperti Homo habilis (2.3 – 1.5 juta tahun dahulu), saiz otaknya 610 cm padu; Homo erectus (100,000 hingga 1.6 juta tahun dahulu), saiz otaknya 1,050 cm padu; Homo ergaster (1.5 – 1.9 juta tahun dahulu), saiz otaknya 860 cm padu; Homo heidelbergensis (300,000 – 600,000 tahun dahulu), saiz otaknya 1250 cm padu; dan yg paling terkini dan hampir dgn kita adalah Homo neanderthalensis yg hidup 28,000 – 300,000 tahun dahulu punyai saiz otak yg lebih besar dari manusia moden iaitu 1,500 cm padu. Manusia moden punyai purata saiz otak 1,350 cm padu!


Homo juga mesti mempunyai tangan yang bebas untuk menghasilkan dan menggunakan peralatan (tools).


SOALAN: Adakah makhluk homo yang awal itu boleh bercakap ayahku?


Setelah melakukan pelbagai pembacaan hasil penyelidikan lepas-lepas oleh saintis terkenal, ayahku percaya kesimpulannya mereka tidak boleh menggunakan Bahasa atau bercakap dengan baik seperti kita manusia moden. Buktinya? Didapati ruang lelangit (dalam mulut) fosil makhluk tersebut tu rata (flat) tidak melengkung seperti kita. 


Mereka mungkin boleh berbunyi “Huk Huk” gitu jer..tak boleh pun nak sebut “Nak Makan atau nak merempit dengan motor atau nak pi tengok movie Mat Kilau”..ha ha. Sehingga makhluk terakhir yang kita panggil “Neanderthals” pun masih flat lelangitnya walaupun punyai gene “FOXP2” dalam kromosom 7 – yang mempunyai peranan dalam pengucapan dan berbahasa.


Makhluk Neanderthals ini dipercayai telah berkahwin (tak perlu goncang tangan Tok Kadhi/Pak Imam pun) dengan kebanyakan manusia moden di Eropah sana..dan ada juga genenya kat penduduk Asia kita. 


Yang peliknya makhluk Neanderthals dan Denisovan ini pupus beberapa puluhan ribu tahun selepas wujudnya Manusia Moden. Kenapa?


Kenapa mereka pupus? Persoalan yg sering bermain difikiran saintis. 


Kemungkinan pertama mereka ini memang nak pupus pun..hanya tunggu masa jer Sang Pencipta nak pupuskan mereka ini. Nak ganti dengan manusia moden pulok. Kita la tuh!


Kemungkinan kedua: Mereka pupus sebab hasil perkahwinan campur dgn manusia moden. Banyak juga kajian ayahku dapati menunjukkan bahawa makluk tersebut kurang subur..maksudnya sukar nak dapat zuriat..terutamanya bila mereka berkahwin dengan manusia moden. Banyak kajian yg menunjukkan bahawa manusia moden skrg pun dah mula memadam gene yg berasal dari Neanderthals – sebabnya dia menyebabkan manusia moden jadi sukar nak dapat zuriat..jadi secara natural selection..kita akan padamkannya.


Kemungkinan ketiga: Saintis berpendapat bahawa Homo neanderthalensis ini sepatutnya mereka tak boleh kahwin dan dapat zuriat pun dengan spesis kita Homo sapiens. Sepatutnya berlainan spesis tak boleh dapat zuriat..contohnya LEMBU tak boleh kawin dengan KAMBING dan dapat anak LEMBING..ha ha. Tapi itu yg peliknya..depa boleh dapat zuriat juga tetapi ramai jadi mandul agaknya selepas itu..itu yg pupus tuh.


Kemungkinan keempat: Disebabkan makhluk lelaki depa dulu ni suka huk huk kat sana dapat anak sorang..huk huk kat sini dapat anak sorang lagi..jadi mereka pupus sebab manusia moden yg datang dari Afrika ni mungin membawa pelbagai penyakit yg depa ni tak tahan..kena wabak dan pupus..agaknya macam Covid ni la kot atau penyakit kelamin lain..hu hu.


Teori Evolusi yang dibawa oleh Charles Darwin melalui bukunya “On the origin of species” yg diterbitkan pada tahun 1859. Terserah kepada kita samada nak percaya atau tidak..tiada paksaan. Kita boleh mempercayai Teori Evolusi dengan syarat bahawa setiap evolusi yg berlaku itu semuanya atas kehendak Allah, Sang Pencipta. Selesai kes Evolusi.


SOALAN: Mengikut Al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa manusia dijadikan dari tanah. Kemudian ditiupkan roh untuk menjadi manusia yang akan menjadi Khalifah di muka Bumi ini. Apa pandangan ayahku?


Ayahku ni bukan la seorang ustaz untuk menjawab secara terperinci dari segi agama..takut nanti tersasar dan boleh memesongkan aqidah pulok.


Bagi ayahku, Allah SWT boleh buat apa sahaja atas hajat atau kehendakNya..Allah memang Maha dalam segala hal. Allah boleh mencipta manusia moden dari tanah atau berdasarkan segala bahan mentah dari tanah pong..tiada masalah. Kun fayakun! 


Dan ayahku dapati Bahasa Arab dalam Al-Quran juga menggunakan pelbagai istilah seperti Tanah (turab), Tanah Liat (Thin), Tanah Hitam yang diperap (hama’in masnun), Tanah Liat kering (shalshal) seperti tembikar(fakh-khar) yg digunakan Allah SWT untuk ciptakan manusia. Ada pendapat yg mengatakan bahawa itu adalah langkah-langkah diambil untuk menghasilkan seorang manusia moden. 


Maksudnya apabila tanah dicampur air kemudiannya menjadi tanah liat..tanah liat apabila diperap lama menjadi hitam dan berbau..tanah liat tadi jika dibiarkan maka menjadi tanah liat kering seperti tembikar yg tidak dibakar. Dibentukkan jasad manusia dan akhirnya Allah meniupkan rohnya untuk menjadi seorang Manusia Moden yang dipanggil Adam. Wallahu a’lam. Hanya Allah yg Maha Mengetahui ciptaannya.


Kajian terhadap meteorit juga terutama kondrit berkarbon (carbonaceous chondrites) menunjukkan bahawa komponen-komponen atau bahan-bahan mentah untuk membentuk hidupan seperti asid amino (bahan asas dalam membentuk protein), gula ribose & nucleobases (seperti Adenin, Guanine, Thymine/Uracil, Cytosine – yg membentuk RNA dan kemudiannya DNA) serta  asid lemak (Fatty acid)/lipid telah pun wujud sejak berbillion tahun dahulu lagi bersama kejadian Bumi dan Sistem Solar. 


Bahan-bahan tersebut juga iaitu seperti asid amino dan nucleobases tersebut juga boleh dihasilkan di dalam makmal seperti yg ditunjukkan oleh Eksperimen Miller-Urey Tahun 1953 dulu. Mereka menggunakan spark elektrik untuk menggantikan Petir dari alam semulajadi. Pada asalnya mereka juga tidak sedar yg eksperimen mereka itu berjaya disebabkan adanya mangkin/catalyst dari bekas kaca yg mereka gunakan iaitu kaca borosilikat – dimana silika bertindak sebagai mangkin mencepatkan proses sintesis tersebut. Tanah mempunyai kandungan silikat yg tinggi. Adeih!


SOALAN: Jika bahan-bahan asas yg membentuk hidupan itu seperti asid amino atau gula ribose ditemui dalam meteorit – bagaimana mereka pastikan bahawa itu bukan bahan-bahan yg berasal dari Bumi?


Sebenarnya hidupan di Bumi memang telah melakukan pemilihan yg tepat. Boleh dikatakan semua asid amino yg terbentuk di angkasa lepas iaitu semasa pembentukan sistem solar kita 4.6 billion tahun dahulu  atau yg kita hasilkan di dalam makmal semuanya adalah merupakan rasemik iaitu campuran L- dan D-enantiomer (bagi molekul kiral). Jika asid amino itu dari protein hidupan di Bumi, boleh dikatakan semuanya adalah L-enantiomer…kecuali Glycine – sebab ia bukan molekul kiral.


Begitu juga dengan gula ribose..jika dari angkasa lepas, ia merupakan campuran D dan L..sedangkan RNA hidupan di Bumi adalah gula D-ribose. Hebat kan!


Satu lagi panduan yang saintis gunakan adalah nisbah isotop C-12 kepada C-13. Jika ianya disintesis oleh hidupan di Bumi..kandungan C-13 berkurang sebab proses fotosintesis lebih gemar menggunakan karbon dioksida CO2  isotop C-12 berbanding dengan C-13. Ini dipengaruhi oleh kadar peresapan gas CO2 melalui stomata..dimana seperti yg kita ketahui kadar resapan gas adalah berkadar songsang kepada punca kuasa dua berat molekulnya (Hukum Graham-Kimia Fizik nih). Jadi CO2 dari isotop C-12 lebih cepat memasuki stomata pada daun tumbuhan…maka ia dipilih. Bye bye untuk CO2 dari C-13..he he!


Jika bahan organic dari tumbuhan atau haiwan di Bumi, nisbah C-12/C-13 adalah sekitar 88-93 berbanding dari bahan dalam meteorit yg mempunyai nisbah yg lebih rendah..mungkin sekitar 40 atau lebih rendah. Ini disebabkan oleh perubahan karbon kepada nitrogen di luar sana.


Jadinya, pada pandangan ayahku, Allah menjadikan manusia serta segala hidupan lain menggunakan bahan mentah dari tanah di Bumi – sebab tanah mempunyai kandungan silika/silikat yg tinggi serta pelbagai mineral yg diperlukan oleh hidupan, selain dari air, asid amino, nucleobases, gula ribos dan lipid – yg saintis percaya dihantar oleh meteorit/asteroid atau komet ke Bumi selepas Bumi telah menjadi sejuk – sesuai untuk kehidupan.


Pada pandangan ayahku juga, Allah boleh saja memilih mana-mana makhluk primitive seperti Neanderthal atau Denisovan (yg pupus sejak 40,000 tahun dahulu) atau mana-mana individu atas pilihanNya dan ditiupkan rohnya untuk menjadi manusia moden yg kita panggil Adam. Wallahu a’lam. Kemudian Allah menjadikan pasangan hidup Adam yg kita panggil Hawa. Sebenarnya ayahku tidak menemui istilah “Hawa” digunakan dalam Al-Quran.


Al-Quran juga tidak pernah menyebut bahawa sudah ada “makhluk primitive seperti manusia” atau pun tidak sebelum penciptaan Adam. Tidak pernah dinyatakan! Jadi, pada pandangan ayahku adalah tidak salah untuk kita mempercayai bahawa telah wujud “makhluk primitive yg hampir menyerupai manusia” di Bumi bertuah ini sebelum penciptaan Adam – manusia moden. Al-Quran juga tidak menyatakan bahawa Nabi Adam pernah bertemu atau tidak dgn makhluk seperti manusia tersebut.


Kejadian dan rahsia roh itu sendiri pun kita tidak tahu..itu semua rahsia Allah. Mungkin juga makhluk primitif tersebut tidak mempunyai “roh insani” seperti kita manusia moden..mungkin juga mereka mempunyai “roh haiwani”..pun kita tak tahu. Sebab itu mereka tidak boleh bercakap seperti kita. Wallahu a’lam.


Tapi yang ayahku pastinya anak cucu atau keturunan Nabi Adam memang “manusia moden” yg bijak..berakal..ada jiwa..ada rohani..sangat bijak dengan IQ purata 100. Mungkin juga roh insani (walaupun non-material) tadi berupaya menukarkan komponen-komponen dalam DNA (material) kita menjadikan kita lebih berakal, memahami perkara abstrak, boleh merancang, boleh bercakap dgn pelbagai bahasa dan dialek, lebih bersahsiah dan mempunyai kemampuan untuk mentadbir, menguruskan dan menjaga alam ini sebaiknya termasuk semua makhluk yang ada di dalamnya – seperti yg dikehendaki oleh Allah SWT menjadikan manusia sebagai “Khalifah” di muka Bumi ini.


Itulah tanggungjawab yg diberikan kepada kita manusia moden tetapi tidak diberikan kepada makhluk-makhluk yg awal daripada kita. Wallahu a’lam.


SOALAN: Ada tak dari kajian Sains tentang bila Adam dan Hawa yang merupakan asal usul kita wujud?


Yez my dear. Memang ada! Tapi hasilnya masih belum tepat lagi – mungkin ada beberapa perkara yg masih boleh diperbaiki.


Seperti yang kita ketahui, manusia mempunyai 23 pasang kromosom dimana 22 pasang dipanggil autosom dan sepasang lagi yg baki dinamakan kromosom seks/jantina. 


Manusia perempuan akan mempunyai kromosom jantina “XX”, manakala lelaki akan punyai kromosom jantina “XY”. DNA juga ada 2 jenis: satu dinamakan DNA nukleas dan satu lagi dinamakan DNA mitokondria (MtDNA). Kromosom Y akan diturunkan oleh Adam kepada anak lelakinya..kemudian kepada cucu lelakinya..kemudian kepada cicit..piut..miut..piat lelaki..semua lelaki akan membawa kromosom Y dari Adam tadi. Tetapi Y akan terputus warisannya jika si ayah tiada mempunyai anak lelaki – jadi putus benih la my dear..adeih.


Manakala MtDNA pulok akan diturunkan oleh ibu kepada anak lelaki dan anak pompuannya. Anak pompuannya akan turunkan kepada cucu lelaki dan cucu pompuannya..pastu cucu pompuan akan terus turunkan kpd cicit lelaki dan cicit pompuannya. Cicit pompuan akan turunkan kepada piut lelaki dan pompuannya..begitulah seterusnya.


Jadi hasil kajian saintis terhadap genetic menggunakan Gene Y dan MtDNA terhadap manusia moden adalah diringkaskan seperti berikut:


Hasil kajian Kromosom-Y, Adam nenek moyang kita adalah wujud sejak 125,000 – 156,000 tahun dahulu.


Hasil kajian MtDNA pulok memberikan Hawa wujud sejak 99,000 – 148,000 tahun dahulu.


Jadi pada pandangan ayahku terdapat pertindihan yg nyata iaitu 125,000 hingga 148,000 tahun dahulu. Itulah jangkaan umur Nabi Adam dan Hawa dari kajian genetic. Wallahu a’lam. Tapi ayahku percaya dalam 10-20 tahun akan datang, nilai perkiraan akan menjadi lebih tepat dan kita akan tahu bila sebenarnya Manusia Moden seperti kita ini wujud. Yang pastinya semua hominid/hominin sebelum kita pupus sejak 40,000 tahun dahulu hasil interaksi dengan kita Manusia Moden. Kemungkinan sebab kepupusan mereka sudah ayahku nyatakan di atas tadi. Wallahu a’lam.


Ayahku juga selalu terfikir kenapa saudara kita “Orang Asal” yang berada di Semenanjung seperti Negrito, Senoi dan Melayu-Asli (Proto-Malay) ramai diantara mereka masih tidak mahu menerima kemajuan sedangkan DNA mereka hampir sama dengan DNA kita Orang Melayu atau penghuni Benua Sunda (Sundaland) ini – adakah pengalaman pahit sejarah dalam kehidupan mereka sebelum ini menyebabkan mereka bersikap demikian? Pada pandangan ayahku, mereka tidak akan mencari kemajuan..kita sebagai Khalifah yg perlu membawakan kemajuan itu kepada mereka! Wallahu a’lam.


SOALAN: Adakah kita boleh mempercayai Evolusi sedangkan kita tidak dapat menemui fosil segala transisi yang berlaku seperti bagaimana Chimp bertukar kepada Homo sapiens?


Sebenarnya, masa dan ruang adalah kekangan kita..tetapi sekarang kita telah banyak menemui fosil yg menyokong Teori Evolusi tersebut.


Analoginya begini: Jika kita tinggal di Sanglang Perlis hari ini Julai 25 Tahun 2022. Kita buka tingkap umah kita..keriuuk..keriuuk..(seram sikek la)..tunggu 5-6 jam tapi takde pulok nampak zirafah melintas..akhirnya kita laporkan..”Zirafah tidak wujud sebenarnya”..Tetapi jika rumah kita di Tanzania, Kenya atau Uganda sudah pasti berpuluh ekor melintas kat umah kita! Itu dipanggil tersalah tempat. 


Kemudian pagi esoknya kita buka tingkap lagi..tunggu 5-6 jam lagi sampai terlelap..dan akhirnya kita laporkan “Harimau tidak wujud” sbb kita tak nampak juga Pak Belang melintas di situ. Tapi jika kita buka tingkap tu 200 tahun dahulu kat Sanglang..mungkin kita dah jadi salah satu menu breakfast Pak Belang dah kan..emm..itu dipanggil tersalah masa.


Satu lagi analogi yg ayahku nak berikan adalah jika kita ditanya, bilakah kita menjadi remaja..jika kita berjaya mengambil setiap saat foto kita sejak dari lahir hingga berusia 66 tahun? Boleh tak kita tentukan di saat mana kita mula menjadi remaja (bila saat n dan n+1 tuh)…sudah pasti kita tak dapat tentukan di saat mana kita berubahkan. Begitulah evolusi, ia berlaku secara sangat perlahan tanpa kita sedari..itulah evolusi! Selesai!


Samada kita nak mempercayai Teori Evolusi atau tidak, terserah kepada kita. Yang pentingnya kita perlu sematkan di hati kita bahawa setiap apa perubahan yang berlaku – dari makhluk satu sel kepada banyak sel..kepada haiwan/tumbuhan..makhluk chimp..Australopithecus, Ardipithecus, homo habilis, homo erectus, Neanderthals atau Denisovan atau pelbagai hominid lagi atau pun Manusia moden – semuanya atas kehendak Sang Pencipta yang Maha Bijaksana iaitu Allah SWT. Dialah perancang segalanya. Kita manusia membuat penyelidikan adalah untuk mencari kebenaran. Tetapi apa yg manusia temui bukan semestinya kebenaran yg mutlak tetapi semuanya relative. Setiap penemuan baru adalah lebih menghampiri kepada kebenaran. Insyaallah.


Pada pandangan ayahku, adalah tidak wajar kita menggunakan Al-Quran untuk menyokong sesuatu penemuan Sains. Sebabnya, penemuan Sains tidak pernah lengkap dan kekal. Apa yang ada di dalam Al-Quran sentiasa benar – kadang-kadang kita tersalah faham apa yg dimaksudkan. Wallahu a’lam.


Ayahku rasa cukup dulu buat masa ini..nanti ramai yang tumbang pulok musim-musim demam ILI nih. Ayahku pun lama tertangguh nak menulis artikel ini sebab kena dugaan ILI ni – demam dan batuk. Tapi, alhamdulillah, berkat doa semua..ayahku dah beransur pulih – dah tak demam lagi dan batuk pun sekali sahaja jer..dan dah boleh menulis ni..he he. Terima kasih semua.


Ayahku doakan semua rakan FB ayahku serta keluarga sentiasa dalam rahmat Allah.


Terima kasih kerna sentiasa menyokong penulisan Ayahku yg tak sepertinya ini.


Pohon maaf jika apa yg ayahku tulis ini bertentangan dengan pendapat masing-masing. Apa yg ayahku tulis adalah berdasarkan fahaman ayahku sebagai seorang ahli Sains.


#ayahkumenulis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan