Khamis, 4 Januari 2024

Gula progula

 Bab gula dalam enjin.



Aku tak rasa benda ni terjadi di dalam kilang, kerana aku rasa tak ada sesiapa pun dalam kilang yang berani letak gula dalam enjin.


Kenapa tak berani?


Apabila kereta dipasang di dalam sesebuah kilang, kereta tersebut akan mempunyai satu dokumen yang digelar “Traveller”. Traveller ini merupakan satu dokumen yang mempunyai segala-gala kerja atau “job” yang telah dijalankan kepada kereta tersebut. Ada juga yang guna nama “Job Card” untuk traveller.


Setiap pekerja yang bekerja pada kereta tersebut mestilah akan chop atau tandatangan di dalam traveller tersebut, tak kiralah “job” kecil atau besar, semuanya bertanda. Segala proses pembaikan pun akan di-chop oleh setiap pekerja berkaitan (setiap pekerja ada chop sendiri).


Kemudiannya traveller tersebut perlu disimpan di dalam stor selama beberapa tahun, tak salah aku untuk kilang kereta yang aku pernah kerja dahulu, traveller untuk setiap kereta mestilah disimpan selama 15 tahun.


Setiap “job” perlu dicop oleh pekerja. Jadinya jika diorang nak buat sabotaj letak gula, sudah tentu diorang tak berani. Kemudiannya di dalam kilang, andai ada yang cuba untuk buat sabotaj, sudah tentulah diorang tak berani kerana “job owner” atau pemilik kerja tersebut akan memastikan tiada sesiapa pun yang akan sabotaj kerja dia.


Andaikan dia merupakan seorang yang ditugaskan untuk mengisi minyak enjin, sudah tentu dia akan memastikan tiada siapa pun yang akan sabotaj kerja dia dengan meletakkan benda asing di dalam minyak enjin.


Di dalam “line production” ada banyak stesen, stesen-stesen tersebut dibuat untuk pemasangan komponen tertentu. Contohnya di stesen 1 untuk pemasangan “rubber gromet” dan lapisan “insulation”, stesen 2 untuk pemasangan “wiring”, stesen ketiga mungkin untuk pemasangan tempat duduk.


Setiap stesen biasanya akan ada lebih dari dua orang pekerja. Andai ada yang berniat untuk buat apa-apa sabotaj, memang tak lepaslah. Banyak mata yang memerhati. 


Kemudiannya di setiap “line production” akan ada QC atau QA. Kemudiannya akan ada QA atau QC yang sentiasa berlegar-legar, contohnya QC atau QA yang ditugaskan untuk periksa nilai tork pada skru, bolt dan nut.


Itu belum kira pekerja dari Logistik dan Kejuruteraan yang juga sentiasa berlegar-legar di dalam “line production”.


Diorang pun akan memastikan segala-galanya di dalam keadaan yang baik, kerana chop mereka pun ada di dalam traveller sebagai pemeriksa stesen tertentu. 


Jika ada “defect” tertentu, diorang tetap akan ditanya dan jika diorang didapati tidak “observe” dengan tempat “defect” tersebut, sudah tentu diorang akan disembur oleh ketua diorang. 


Tengok nasiblah, jika ketua diorang ada makan petai sebelum kejadian, memang meluncur masuklah bau petai campur bau mulut ketua ke dalam lubang hidung QA dan QC tersebut. Nak tutup hidung takut pula ketua terasa, jadinya hidu sajalah bau petai tersebut. Kalau masa tu ketua tersebut ada buat “intermittent fasting”, lagilah power baunya.


Kerja kilang kereta ni bukan main-main, memang agak tertekan bekerja di dalam kereta. Ada beribu-ribu benda nak kena jaga. 


Ketua yang sembur air liur kepada anak buah itu pun sudah tentu dah kena sembur juga dengan ketua jawatan lagi tinggi 🤣🤣🤣.


Kebiasaannya di dalam kilang kereta, kena pula kilang kereta ala kilang Jepun, memang susahlah untuk buat sabotaj, kerana pekerja sentiasa diperhatikan. Aku rasa mesti kat “line production” tersebut ada satu tingkap besar dari pejabat pengurusan pengeluaran kereta, kemudiannya pejabat pengurusan tersebut lebih tinggi dari “line production”, boleh nampak semua pekerja. Itu belum cerita kilang yang ada CCTV, lagilah ketat kawalannya.


Apabila kereta sudah sampai ke pengedar, di dalam pusat pengedaran kereta atau “dealer” akan ada proses Pre Delivery Inspection (PDI). Masa PDI ini segala-galanya akan diperiksa lagi sekali. Minyak enjin, minyak transmisi dan benda-benda yang boleh dicapai oleh pemeriksa akan diperiksa lagi sekali, termasuklah bahagian luaran dan dalaman kereta.


Di sini pun biasanya kereta yang betul-betul baik sahaja akan dilepaskan kepada pelanggan. Jika kereta kurang baik, proses pembaikan akan dijalankan terus, dan segala “defect” akan “diserahkan” kepada kilang jika sah “defect” tersebut datang dari kilang.


Pemilik kereta bergula pula, mestilah seronok dengan kereta baru, dan sudah tentulah kereta tersebut akan dijaga dengan baik sekali. Kalau “parking” kat mana-mana, mesti kejap-kejap tengok, kejap-kejap tengok, kemudian kejap-kejap tekan “remote” kunci untuk memastikan kereta dikunci. 


Jadinya sudah tentulah gula tidak akan terlepas masuk ke dalam enjin. Orang nak buat sabotaj pun tak lepas.


Oleh itu, untuk kes enjin bergula yang sedang viral sekarang ini, bagi pendapat aku, seeloknya pemilik kereta dan pengilang tersebut buat repot kepada PDRM. Elok PDRM jalankan siasatan.


Mungkin pemilik disabotaj, mungkin juga pengilang pun disabotaj. Ada banyak kemungkinan.


Aku tak sabar nak tunggu PDRM siasat kes ini. Aku rasa jika PDRM campur tangan, mesti akan dapat punya dari mana datangnya gula tersebut, dan kenapa gula tersebut boleh bertapak di dalam enjin tersebut. PDRM bukan calang-calang.


Rakyat Malaysia dan gula berpisah tiada.

Tekan Minyak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan