Sabtu, 6 Januari 2024

Renungan

 IMPAK PALATAO SEJARAH

Sejak beberapa tahun ini memang muncul ramai palatao dalam pelbagai bidang. Selain dari bidang agama, bidang sejarah juga antara yang sering muncul palatao.


Berkenaan perkataan palatao, saya tiada definisi tepat. Pertama kali dengar beberapa tahun lepas dari lidah Abu Ubaidah (bukan H4M45). Rupanya beretomologikan kalimah Kepala + Tau = Palatao. 


Mungkin definisi peribadi saya tentang makna palatao ialah, orang tak tahu yang buat² tahu apa yang dikatakan atau orang yang memandai-mandai ulas isu yang dia sendiri tidak tahu.


Jika definisi saya ini tepat, maka perbuatan ini ialah perbuatan yang sebenarnya menipu, berdusta dan berbohong. Hal ini jelas dari dalil,


كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya. [Riwayat Muslim]


MUSIBAH PALATAO

Muncul nama-nama seperti Auni, Rofa dan Solehah yang menggunakan gelar mereka tapi membicarakan hal yang bukan bidang mereka. Menyelewengkan ilmu dengan karut marut yang melampau.


Lalu kata Dr Solehah "tak percaya so what?" sedangkan memberikan bukti atas dakwaan sendiri ialah wajib apatah lagi ketika memberikan pandangan yang syaz! 


Sedangkan kaedah mahsyur dalam bidang adab al-bahth wa al-munazarah menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

“Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti."


PINTU AJARAN KUFUR

Cukuplah kitab rujukan sejarah lama kita telah diolah dengan kaitkan sejarah kita dengan Zulkarnain , Nabi Sulaiman, Nabi Isa dan Nabi Khidir. Perkaitan ini telahpun diolah tanpa disiplin akademik  oleh orang terdahulu.


Namun hari ini bidang akademik telah dicabuli oleh orang yang memegang 'title' prof dan doktor.  Juga mengkaitkan sirah kita dengan para anbiya dan para sahabat TANPA bukti.


Dengan sesuka hatinya mencipta kisah para nabi dan para sahabat tanpa sebarang bukti dari hadith mahupun catatan ulama sirah. Ini ialah pintu kepada ajaran sesat.


Hal ini sebagaimana Yahudi juga mengolah palatao cerita tentang nabi² kita dan buat ikut tekak mereka. Lalu muncul lah agama Yahudi dari kaum Bani Israel. Juga munculnya Nasrani yang mengolah cerita kononnya Nabi Isa dibunuh. Lalu muncul ajaran baharu. Dua ajaran ini muncul tak lain tak bukan kerana rahib² mereka bebas mengolah kisah nabi² tanpa perlu dibuktikan dari mana-mana rekod agama. Walau dari bible sekalipun!


Syiah juga menggunakan teknik palatao ketika mengolah cerita para sahabat ramai yang kafir selepas Rasulullah wafat. Palatao nya juga tanpa perlu apa² sanad hadith. Berhujahkan "tak percaya, so what" pun boleh dah muncul ajaran baru.


UBAH SEJARAH, SENTUH FIQH

Bayangkan ketika kita sebut Melayu ialah darah Ahlul Bayt daripada rentetan rekaan cerita mereka ni. Mungkin kita anggap alah reka sejarah je takde impak pun.


Sedangkan impaknya ialah, orang Melayu ialah kaum yang haram dapat zakat kerana diharamkan zakat ke atas Ahlul Bayt.


Jika kita terima teori Melayu dari Qeturah sedangkan tiada hadith sahih dan ayat Al-Quran sebut tentang itu, maka kaum lain juga berhak untuk 'claim' benda yang sama.


Jika teori Melayu-Qeturah diterima kerana ada dalam Bible, adakah kita iktiraf 'tsiqah' intipatinya? jangan lupa yang dalam itu juga lah yang kata Isa anak tuhan.


Jika para sahabat ada ramai sampai di Kedah, pastilah ramai 'tabien' dan 'tabi tabien' di Kedah yang patutnya layak dijadikan rujukan. Namun hakikatnya tiada.


'TIMELINE' MERAPU

Ketika dia sebut Uthmaniyah suruh Dato Bahaman mesyuarat atas Gunung Jerai pada 1948. Uthmaniyah pun dah takde sejak 1923. 1948 tu Turki dah ada perdana menteri ke-8 dah. Jelas 'timeline' palatao ni pun memang ke laut.


Saidina Uthman pernah sampai ke Kedah? Nabi Adam turun di Gunung Jerai? Besi yang Zulkarnain guna untuk tutup Yakjuj Makjuj ambil dari Kedah? Kapal Tariq bin Ziyad pun kayunya dari Kedah. Pedang nabi pun tempa di Kedah? Semuanya tiada dalil dan bukti pun.


Malah patutnya kita persoal kenapa banyak² tokoh dahulu ada kaitan dengan Kedah sahaja? Hatta Pulau Pinang dan Perlis pun tak pernah dapat kredit yang sama walaupun dahulunya mereka satu negeri. Sebab ini semua palatao.


KESIMPULAN

Palatao dalam sejarah juga bakal memusibahkan agama ini. Apatah lagi yang dikaitkan ialah para anbiya dan para sahabat. Kita tak perlu dimuliakan dengan kisah² palatao ini.


KU NUKIL

Wahai bangsa keris

Cukuplah lok mu menjadi saksi

Perkasa genggam luka terhiris

Zaman berzaman masih  berpaksi


Wahai bangsa jawi

Persuratan mu bermula tak henti

Syair gurindam dondang senawi

Budi bahasa segala terbukti


Wahai bangsa tanjak

Kemas terikat berloket suasa

Ditala meriam pun tak berganjak

Hanya takut Yang Maha Kuasa


Jangan lah lagi rekayasa

Silam zaman saatnya masa

Terhormat sudah seluruh bangsa

Tak perlu tambah perisa rasa

Cukup sembah Yang Maha Esa

Mulia hendak-Nya sekalian wangsa


Taufiq Tuah

Value, Waghih

03.01.24 | 21.06.45

Tiada ulasan:

Catat Ulasan