Ahad, 3 April 2011

Fractional Reserve Banking (FRB)

Fractional Reserve Banking (FRB) merupakan asas sistem kewangan dunia kini adalah tunjang kepada meluasnya amalan Riba-Kapitalis. Oleh kerana perbankan Islam di Malaysia tertakluk kepada kawalan Bank Negara di bawah Akta Bank Islam 1983, maka adalah Bank Islam juga mengamalkan dasar Riba-Kapitalis ini.

Berikutan berkuburnya perjanjian Bretton Woods pada 1971 apabila Amerika Syarikat membebaskan dollar dari bergantung kepada emas dan menjadikan dollar matawang kertas fiat sepenuhnya, nilainya hanyalah di sokong oleh janji kerajaan federal. Dari penggunaan wang kertas fiat inilah menghasilkan konsep FRB.
Fractional Reserve Banking secara mudahnya adalah pihak bank hanya perlu mengekalkan pecahan kecil sahaja duit penyimpan sebagai rezab, manakala yang selebihnya digandakan dan diberi sebagai pinjaman dan dikenakan lagi bunga (bank islam di istilahkan untung). Sebab inilah agaknya golongan Riba-Kapitalis amat menentang perlaksanaan hukum hudud yang menakutkan pencuri, kerana tanpa pencuri rakyat tidak takut untuk menyimpan di rumah dan bank-bank tidak berpeluang mencetak wang gandaan yang baru! Penciptaan matawang melalui sistem FRB ini sebenarnya mengadakan keadaan kuasa membeli atas angin yang menimbulkan ketidak adilan didalam pemilikan harta benda dan menyebabkan inflasi,seterusnya  kenaikan harga barang akan ditanggung oleh rakyat akibat kesan faedah (interest/riba) yang terbina didalam wang kertas.

Kadar pecahan (FRB) ditentukan oleh bank pusat dan istilahkan sebagai statutory reserve requirement (SRR). Di Malaysia, kadar SRR terbaru yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk perbankan Islam pada 2 April 2011 adalah minimum 2% daripada jumlah simpanan. Keperluan simpanan rezab adalah nisbah simpanan yang mesti disediakan oleh pihak bank bagi keperluan pengeluaran simpanan oleh pelanggan. Di bawah system ini, simpanan wang yang asalnya RM1,000 sebagai contoh, membolehkan pihak bank meningkatkan simpanan kepada kadar maksimum RM50,000 (iaitu RM1,000 bahagi dengan kadar SRR sebanyak 2%). Penciptaan wang baharu ini yang laksanakan melalui kaedah mengadakan pinjaman sebenarnya adalah mainan perakaunan yang tidak perlu melibat duit sebenar. Inilah juga menjadi amalan dalam system perbankan islam yang mengukuhkan lagi kewangan Riba-Kapitalis ini. Ini bermakna bahawa pembiayaan bank Islam didasarkan pada wang pinjaman bank yang mereka tidak miliki samada wang tunai ataupun simpanan emas.

Inilah isu yang amat berat perlu dibincangkan dan di tangani oleh ulamak-ulamak perbankan dalam pembiayaan Islamik (dan juga dalam konsep konvensional) ialah isu yang melibatkan bagaimana duit dihasilkan oleh bank Islam. Ulamak-ulamak perbankan inilah yang menjadi barisan hadapan mempertahan dasar-dasar yang jelas menyeleweng ini, apakah mereka terlalu bijak ataupun jahil dalam asas-asas sistem kewangan. Apakah mereka mendapati habuan yang amat lumayan hingga lupa akan ancaman perang yang Allah isytiharkan terhadap perbuatan riba.

Semua bank Islam menghasilkan wang apabila mereka memberikan pinjaman atau pembiayaan. Sebagai contohnya, apabila bank Islam membiayai sebuah rumah yang berharga RM250,000, ia hanya menghasilkan wang melalui akaun semata-mata. Duit pendeposit tidak akan ditolak apabila RM250,000 itu dibayar oleh pihak bank kepada pembeli ataupun pemaju.

Sudah tentu ini akan mewujudkan inflasi.Kebanyakan inflasi dalam ekonomi disebabkan penghasilan wang secara percuma, berbanding dengan kekurangan bekalan. Inflasi pnghasilan wang baru ini akan mengakibatkan cukai ke atas orang ramai dengan merampas kuasa membeli simpanan mereka. Namun, ulama Syariah hanya mendiamkan diri, tiada berkata apa-apa tentang penghasilan wang ini. Penghasilan wang baru ini sudah tentu seperti mencuri kekayaan negara.

Jika seseorang meminjam RM1,000 pada kadar faedah 10 peratus, orang tersebut perlu memulangkan kembali sebanyak RM1,100. Kadar faedah yang dikenakan sebanyak RM100 dikatakan sebagai riba atau memakan riba yang telah ditetapkan terlebih dahulu, diperolehi tanpa mengambil apa-apa risiko. Tetapi bagaimana jika RM1,000 itu tidak menghasilkan apa-apa? Ia juga bukan menghasilkan kuasa pembeli yang percuma tanpa risiko 'negatif'? Malah, jika 10 kali ganda kadar faedah, bukankah ini dianggap sebagai riba yang hebat?

Oleh itu, menjalankan pembiayaan Islamik ini yang diberikan berbagai-bagai nama seperti Bai’ Bithaman 'Ajil, Bai’ Murabahah, Musharakah Mutanaqisah, dengan wang yang dihasilkan secara percuma oleh sistem bank ini harus dipersoalkan. Kita berharap ulamak perbankan yang bijak pandai itu perlu menjelaskan perihal yang sebenar terhadap system kewangan perbankan Islam yang di amalkan di sini kepada umat Islam atau bersedialah menghadapi perang yang diistiharkan oleh Allah dan Rasul!

Kesan Terhadap Hakmilik dari system FRB

Kesan pemilikan daripada FRB boleh dihuraikan sebagai berikut. Pertimbangkan seorang pengusaha mendekati bank dengan rancangan perniagaan, mencari pinjaman perniagaan untuk membeli tanah, bangunan, mesin dan lain-lain keperluan. Apabila lulus, bank mencipta wang baru melalui FRB dan pinjaman itu diberikan ke pengusaha dengan kadar untung tertentu. Perbankan Islam akan menggunakan  wang baru dibuat untuk membeli aset dan menjualnya kembali kepada pengusaha dengan membuat keuntungan. Implikasi adalah sebagai berikut. Pengusaha itu menggunakan pinjaman wang untuk membeli tanah, bangunan dan mesin yang dia inginkan. Dia sekarang mempunyai aset tersebut. Sekarang persoalannya adalah; Pada awalnya, baik bank maupun pengusaha, tidak memiliki aset. Bahkan bankpun pada awalnya tidak punya mempunyai wang. Tapi pengusaha dan bank menjadi pemilik asset tersebut selepas mencipta wang atas angin, melalui proses FRB. Dari perspektif ekonomi sebenar, setiap pindah milik aset, yang bukan hadiah, atau juga warisan, mestilah di beri pampasan. Jika demikian, siapa yang kemudian membayar untuk pembelian asset tersebut? Perhatikan bahawa pengenalan wang baru telah membolehkan pemilikan aset. Namun sekarang lebih banyak wang ada dalam sistem ekonomi dari sebelumnya. Inilah caranya inflasi dicipta. Akibatnya matawang kertas yang kita pegang ini sekarang sudah kurang kuasa beli kerana inflasi yang dicipta ini. Sudah tentu jumlah kuasa beli sebenar kita akan hilang dalam ekonomi bersamaan dengan nilai aset yang dipindahkan kepada pengusaha dan bank!

Oleh kerana itu inflasi merupakan fenomena kewangan, iaitu akibat pertambahan bekalan wang, secara tidak disedari ia merupakan 'cukai' terhadap ekonomi, cukai tersembunyi samada untuk orang kaya atau miskin. Sesungguhnya ia menepati istilah riba yang sebenarnya iaitu mengambil memakan harta secara bathil. 
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu." (An-Nisaa' 4:29)

Dari perspektif Islam, apakah itu dibenarkan bahawa bank mengambil pemilikan aset seseorang dan meminjamkan kembali kepada seseorang lain untuk tujuan perusahaan atau kegunaan, setiap kali adanya seseorang memerlukan aset tersebut? Misalnya, ketika seseorang perlu rumah,bank mencipta wang baru dan menggunakannya untuk memiliki rumah tersebut dan pinjaman itu kepada diberikan kepada pelanggan dengan dikenakan bunga atau pengambilan untung dalam kes pembiayaan Islam? Ini jelas melanggar prinsip-prinsip pemilikan dalam Islam. Ini adalah sama dengan mencuri, iaitu mengambil pemilikan aset milik orang lain tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka. Ia bahkan dapat disebut sebagai lebih buruk daripada mencuri kerana Dalam kecurian, pencuri mengambil risiko ditangkap dan dihukum. Namun, di bawah system perbankan kecurian dilakukan di dalam undang-undang dan kerananya FRB boleh disebut sebagai ‘pencuri yang di lindungi undang-undang’. Unsur-unsur riba amatlah nyata kerana itu adalah kuasa beli dicipta atas angin, tanpa sebarang pekerjaan atau tidak menanggung sebarang risiko. Jelas amat bertentangan dengan Al-Quran ayat Al Baqarah bahawa umat Islam diperintah untuk tidak memakan harta orang lain dengan tipu-daya.
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Baqarah 2:188)

1 ulasan:

  1. Bole saudara describe details pasal Franctional Reserve? Terima Kasih

    BalasPadam