Selasa, 19 April 2011

luahan ...

Bakal pensyarah kecewa permohonan ditolak 2 kali
Muhadhir   
Saya adalah seorang guru yang berijazah Sarjana dan telah berkhidmat lebih dari 6 tahun di Sarawak. Baru-baru ini saya telah membuat permohonan untuk menjawat jawatan pensyarah, tetapi dukacita kerana permohonan saya tersebut telah ditolak sebanyak 2 kali.
Permohonan pertama saya kemukakan kepada UiTM Kampus Samarahan, Kuching Sarawak. Setelah melalui temuduga sebanyak dua kali, saya lulus dalam temuduga tersebut tetapi disenaraikan sebagai calon simpanan. Setelah tamat tempoh  menunggu 2 bulan seperti yang dinyatakan di dalam surat (sebagai calon simpanan), saya langsung tidak dihubungi oleh pihak pentadbiran UiTM.
Setelah dihubungi, dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak mendapat jawatan sebagai pensyarah di sana dengan alasan ia telah dimasuki atau diambil oleh calon yang dihantar oleh UiTM Shah Alam!
Persoalan yang timbul ialah, kenapa UiTM Shah Alam mengadakan temuduga di sana dan menghantar calonnya ke UiTM kampus Samarahan Kuching sedangkan saya adalah calon yang telah sedia ada  dan lulus temuduga di sini!
Permohonan kedua ialah di Institut Perguruan Kampus Batu Lintang,Kuching Sarawak. Saya telah mendapat maklumat bahawa ada kekosongan jawatan pensyarah dan mereka telah pun membuat banyak permohonan tambahan pensyarah tetapi masih tidak dipenuhi dan dilayan sewajarnya.
Justeru itu saya memohon jawatan tersebut, tetapi sangat dukacita apabila permohonan saya itu turut gagal!  Alasan permohonan itu ditolak ialah kekurangan guru! Apakah tujuan dan matlamat KPM menggalakkan para guru menaiktaraf atau meningkatkan tahap pendidikan mereka ke peringkat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta Ph.D sedangkan peluang untuk permohonan jawatan pensyarah seperti ini tidak dilayan!
Yang lebih mengecewakan ialah keputusan menolak permohonan saya ini hanya dibuat pada peringkat JPN sahaja! Kenapa permohonan saya itu tidak dihantar dan dirujuk terus kepada KPM atau KPT diPutrajaya? Kenapa JPN negeri tidak menyokong dan meluluskan permohonan saya sedangkan maklumat daripada rakan-rakan guru yang berijazah Sarjana di Semenanjung yang memohon pertukaran jawatan seperti saya dapat dipenuhi dan diluluskan? Kenapa ada sikap DOUBLE STANDARD  dalam hal ini? Adakah ia berkaitan dengan sentimen kenegerian? (kebanyakkan warga Semenanjung di sini di anaktirikan oleh warga Sarawak, mereka lebih mendahulukan anak bangsa sendiri!)
Jika alasan yang diberikan JPN ialah kekurangan guru, adakah tanggungjawab kami para guru untuk mencari dan menyediakan pengganti? Sampai bilakah kami harus menunggu untuk menjawat jawatan pensyarah? Sampai bilakah masalah kekurangan guru di Sarawak ini dapat diatasi? Sudahlah alasan yang sama juga turut diberikan kepada kami apabila kami memohon untuk pulang berkhidmat di Semenanjung! Jadi apakah kesudahan kami di Sarawak ini? Jika beginilah situasinya maka kami pasti akan sentiasa dalam dilema, untuk berpindah balik ke Semenanjung pun tidak dapat dan untuk memohon jawatan pensyarah pun turut tidak diluluskan!
Saya sebagai pegawai kerajaan yang berkhidmat di Sarawak amat mengharapkan pihak KPM dan KPT segera membuat siasatan, pemantauan dan tindakan agar kami semua tidak tertindas dan seterusnya dapat memajukan diri bersesuaian dengan tahap ijazah kami dan ia bertepatan dengan slogan 1MALAYSIA RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN!
MUHADHIR,
Kuching, Sarawak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan