Ada satu perkara yang suka aku kongsikan bersama rakan-rakan. Tentu saja tentang cinta.. cinta yang perlu ada pada perkiraanku selepas aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Kasih yang aku kira perlu aku lempiaskan pada seseorang yang lain selepas ibubapa dan keluarga serta diriku sendiri...
Ya.. cinta pada manusia biasa yang namanya lelaki kerana aku diciptakan sebagai seorang perempuan...
Umur yang semakin berinjak jauh meninggalkan alam remaja dan sekarang di dalam fasa kedewasaan memungkinkan aku berfikir tentang urusan jodoh. Seringkali persoalan itu ditanya kepadaku oleh teman-teman sekuliah dahulu.
"Tak ada buah hati ke?"
"Takkanlah tak ada yang minat dengan perempuan pandai macam kau ni?"
"Kau ni jual mahal sangat kot?"
"Bergayalah sikit, bagi cantik, mesti nanti ada yang terpikat kat kau.."
"Aku sudah, kau bila lagi?"
Aduh... mahu melayan satu-persatu pertanyaan mereka memang tidak terjawab. Paling mudah untuk kukatakan ketika itu,
"Belum jodoh lagi.."
atau aku katakan pada mereka,
"Belum bersedia lagi.. .nanti dah ada calon, akan diberitahu kelak".
Titik.
Berbicara tentang cinta memang tidak akan pernah habis. Semasa di universiti dahulu seringkali aku melihat pasangan yang kononnya sedang 'hangat bercinta' bertengkar atas perkara-perkara yang kecil.
Kadang-kadang aku ketawa sendirian apabila melihat adegan pujuk-memujuk persis lakonan di dalam filem Hindustan yang kutonton di televisyen. Bermacam-macam gaya yang ada apabila si lelaki cuba memujuk si wanita atau si wanita yang cuba memujuk si lelaki. Aku menggeleng-geleng kepala melihat gelagat mereka dalam tawa. Perkara yang padaku tidak wajar dilakukan apatah lagi pasangan itu masih belum punyai ikatan yang sah dan halal di sisi Islam sedangkan si wanita bertudung dan si lelaki bersongkok.
Aku pernah dilamar seorang lelaki pada perkiraanku dapat melengkapi kekurangan yang ada pada diriku. Tentu sahaja aku mencari seorang lelaki yang mudah tersenyum, tegas dalam kelembutan, lucu dan bisa membuatku gembira, dan yang paling penting dia seorang yang sangat menjaga solatnya dan ibadahnya. Cukup padaku itu dan aku telah bertemu dengannya. Tapi, seperti yang kukatakan sebelum ini, cerita ini tentang jodoh...
Arakian, aku dilamar aku menolak dengan lembut atas alasan kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kuliah. Ini amanah yang kupegang sejak mula aku menjejakkan kaki ke menara gading. Aku tidak suka berpacaran kerana pada aku ianya tidak wajar.
Kukatakan pada lelaki itu, sekiranya benar dia menginginkan aku menjadi suri hatinya maka tunggulah sehingga aku dan dia selesai bergraduasi. Kukatakan juga bahawa aku tidak suka keluar berdua-duaan. Sekiranya seorang lelaki itu benar mahu memiliki hatiku maka dia perlu memahami bahawa dia perlu lebih serius untuk mengatur masa depannya berbanding berpeleseran tanpa hala tujuan yang jelas.
Hubungan yang dijalin tanpa ada matlamat yang jelas bukanlah satu perhubungan yang bersungguh-sungguh tetapi hubungan yang terang-terangan berlandaskan nafsu semata-mata.
Sekali lagi kukatakan di sini, ianya soal jodoh. Allah punya perancangan yang lebih menarik untukku, terserah padaku sahaja sama ada mahu mencari hikmah yang tersembunyi atau membiarkan diriku sendiri tertanya-tanya mengapa kesudahannya begini dan begitu...
Lelaki itu tidak sanggup menunggu lantas mengambil keputusan mencari yang lain...
Aku sedikit kecewa namun kubisikkan pada hati agar redha dengan ketentuan Ilahi. Dalam melayari kehidupan dan mehnah, aku belajar pelbagai perkara. Setiap hari aku belajar dan adakalanya mengajarkan sesuatu kepada yang lain. Benar, usia yang semakin bertambah membuatkanku berasa gusar kerana masih tidak dipertemukan jodoh.
Hidupku banyak dihabiskan dengan bekerja sebaik sahaja menamatkan pelajaran di universiti. Rakan-rakan lain ramai yang berlumba-lumba mendirikan rumahtangga dan aku masih lagi sendiri. Agak sunyi tapi kutabahkan hati supaya aku tidak menjadi seorang yang terlalu menurut nafsunya.
Tiba saat rezekiku dilebihkan Allah di mana aku diterima bekerja sebagai salah seorang pegawai psikologi. Tidak perlu aku ceritakan dengan tepat di mana aku ditempatkan. Sejak pertama kali aku menjejakkan kaki di sini, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk mencari pasangan hidup. Niatku hanya mahu bekerja kerana Allah, mencari rezeki untuk keluargaku agar kami dapat hidup dengan lebih selesa.
Sukacita sekali lagi aku maklumkan, bahawa ini semua urusan jodoh. Jodoh yang tertulis kemas di luh mahfuz, Salah satu rahsia agung yang tersembunyi dari pengetahuan hamba-Nya selain urusan umur, rezeki dan maut.
Salah seorang daripada orang bawahanku yang usianya lima tahun lebih tua dariku dan tentunya seorang lelaki benar-benar membuatkan jiwaku bergetar. Entah kenapa, tapi aku takut ianya melalaikan dan bisa menghumban diriku ke lembah kehinaan. Takut untuk terjerumus di dalam zina hati.
Lelaki itu kerapkali mengujiku dengan pelbagai pertanyaan. Tingkahnya yang kadang-kadang membuatku tertanya-tanya kenapa dia perlu bersikap sedemikian denganku dan tidak dengan perempuan-perempuan yang lain di pejabat. Aku positifkan fikiran, mungkin juga kerana aku adalah orang atasannya dan wajar saja dia menghormatiku lebih daripada yang lain. Mungkin.
Satu hari, dengan izin Allah jua ianya terjadi, ketika sedang enak menjamu selera bersama rakan-rakan sepejabat pada waktu malam, satu rahsia tersingkap. Salah seorang rakan pejabatku bertanyakan sama ada aku sudah punya kekasih hati atau belum. Satu soalan yang kukira agak lucu untuk ditanya. Aku senyum dan menggeleng.
Dia kemudian berkata, ada seseorang yang dekat denganku ingin menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan serius. Aku dapat mengagak tapi aku meminta kepastian darinya. Nah! Jelas bahawa lelaki di pejabat yang sama yang kuceritakan sebentar tadi. Tepat telahanku kali ini. Firasatku jarang tersasar apatah lagi jika aku mohon agar Allah membimbingku agar aku tidak menjadi orang yang berprasangka yang tidak baik kepada orang lain.
Hatiku menguntum senyum. Tentu saja rasa suka apabila diri disukai oleh orang lain yang bergelar lelaki. Aku senang sahaja bekerja dengannya. Selalu di dalam doaku di mana aku memohon agar aku dijodohkan dengan seseorang yang baik akhlak dan agamanya, bersederhana dalam segala urusan, dan bonus bagiku sekiranya lelaki itu seorang yang sedap mata memandang...
Lelaki itu juga hingga sekarang masih mengujiku dengan pelbagai pertanyaan. Aku cuma menjawab pertanyaannya sekadar yang kumampu dan hingga saat ini tidak pula dia menyatakan sendiri kepadaku bahawa dia punya 'perasaan' padaku. Aku juga begitu, walaupun setiap kali bertemu jiwaku rasa tenang dan gembira.
Namun cepat-cepat aku sedarkan diri, khuatir kerana dia bukan siapa-siapa denganku malah bukan mahramku yang layak untuk aku fikirkan tentangnya. Aku cuba tidak memandang tepat ke matanya kerana fitrah kewanitaan dan keperempuanan yang malu dan masih menebal dalam diri menjadi perisai iman yang aku takut makin terhakis.
Cuma satu yang ingin kupesan pada rakan-rakan di luar sana yang masih belum punya 'pacar'.
Usah gusar dan khuatir.
Kamu tidak perlu merendahkan martabat diri demi untuk meraih cinta seorang lelaki. Ketahuilah, manisnya dan cantiknya seorang perempuan itu terletak pada taqwanya, hatinya yang sentiasa tunduk malu pada perkara-perkara yang tidak patut.
Aku tidak menyatakan yang aku ini tidak pernah berbuat dosa tapi aku berusaha untuk memperbaiki diri dan cuba mengelakkan diriku daripada tergelincir ke arah itu.
Ingat, jika ada lelaki yang menyatakan dia menyukai kamu, tanyakan kembali apa yang dia mahukan daripadamu. Jika dia sekadar ingin bersuka-suka dan punya pacar persis seperti teman-teman yang lain maka jauhkanlah dirimu daripadanya.
Sekiranya dia benar-benar serius, mahu mengikat tali perkahwinan, punya kedudukan kewangan yang kukuh dan latar belakang keluarga yang menyamankan dan mendamaikan dirimu maka pertimbangkanlah permintaannya untuk menjadikan dirimu itu sebagai suri hidupnya.
Sekadar bercerita tentang jodoh. Sungguh betul, ianya urusan rahsia antara yang tersulit sekali di dalam keterbatasan pengetahuan manusia melainkan dengan izin-Nya.
Harus diingatkan, walaupun ianya urusan Allah, namun kita tidak pula diperintahkan untuk sekadar menanti dan berpeluk tubuh. Proaktif itu perlu. Carilah jodoh dengan cara yang diizinkan dan diredhai Islam atasnya kerana dengan itu moga hubungan kalian nanti juga akan direhai Allah, Insya-Allah.
Sekadar perkongsian rasa dengan rakan-rakanku tentang urusan jodohku yang masih lagi samar. Moga sahaja Allah membantu di dalam urusan yang berkaitan dengannya dan menjauhkan aku daripada melakukan kemaksiatan hati mahupun tingkah perbuatan secara sir (rahsia) mahupun secara jahr (terang-terangan).
Jika benar lelaki itu jodoh yang dikirim Allah untukku meraih cinta yang lebih besar yakni cinta Ilahi maka aku redha.
Aku tidak mahu mengatakan bahawa aku ikhlas menerimanya kerana perkara ikhlas itu milik Allah yang tiada manusia berhak menyatakan bahawa dia ikhlas. Biar Allah sendiri yang menghukumkan tentang itu.
Buat rakan-rakanku yang mungkin sedang mencari jodoh atau telah bertemu jodoh, aku doakan agar kalian memperoleh jodoh sepertimana yang diinginkan olehmu.
Ketahuilah bahawa Allah memberikan apa yang kita perlu dan bukan yang kita suka kerana mungkin saja sesuatu yang kita suka itu akan menjadi satu keburukan suatu hari nanti.
Pasangan kita moga terdiri daripada si dia yang 'melengkapkan' kekurangan yang ada pada diri masing-masing agar kita lebih mudah berjuang meraih cinta-Nya....
Menantikan kalimah cinta daripada insan yang dicinta... moga kami meraih cinta-Nya, amin.
Biodata Penulis
Jalwa Wafa merupakan seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan kini bertugas sebagai Pegawai Psikologi di IPD Batu Gajah, Perak.