Rabu, 25 Mei 2011

4 asas akhlak

4 asas akhlak Imam Ghazali
Oleh Hashim Ahmad

UMAT Islam melakukan penyucian jasmani setiap hari tetapi gagal menyucikan rohani dan jiwa mereka dalam tempoh yang lama. Sebagai mukmin, pembersihan jiwa sangat penting kerana sebagai hamba Allah yang lemah, kita kerap melakukan kesilapan dan maksiat sama ada secara sedar atau tidak.

Melalui pembersihan jiwa, kita dapat menginsafi segala kesilapan yang dilakukan, berazam untuk menjadi mukmin yang lebih baik dan mengamalkan ‘amal makruf dan nahi mungkar’.

Imam Ghazali menyenaraikan empat bahagian yang menjadi asas akhlak mulia. Bahagian itu ialah:

i. Bijaksana. Bagi seorang hamba Allah, ia adalah puncak dalam membezakan perkara baik dan buruk.

ii. Berani. Ia adalah saat apabila seseorang dapat menahan diri daripada terus melakukan sesuatu yang buruk.

iii. Adil. Ia adalah kekuatan dalam jiwa yang dapat mengatasi sifat marah dan apa jua kemahuan syahwat yang ada di dalam diri kemudian membimbing syahwat kepada kebijaksanaan.

iv. Tazkiyah nafs. Ia menahan kemahuan syahwat dengan mendidiknya supaya tunduk dengan petunjuk akal dan petunjuk wahyu.

Justeru, dengan menegakkan empat asas ini, akhlak mahmudah yang lain dapat dimiliki individu Muslim.

Memandangkan betapa besarnya kepentingan tazkiyatun nafs dalam kehidupan, maka timbul persoalan, bagaimana cara membersihkan jiwa? Secara umum ia dapat dilakukan dengan:

i. Jihad dengan tadribat (latihan). Dalam setiap latihan, sertakan dengan jihad dan kesungguhan. Antara cara yang boleh dilakukan sebagai permulaan adalah dengan memaksa diri untuk berubah.

Namun harus diingatkan bahawa proses perubahan ini perlu diniatkan hanya kerana Allah dan bukan bertujuan membanggakan diri. Riya’, ujub dan takbur perlu dijauhi sepenuhnya kerana amalan yang dibayangi dengan unsur ini akan terbatal.

ii. Menempuh jalan yang berlainan dengan kehendak nafsu dan jiwa. Ini antara jihad terbesar bagi seseorang mukmin iaitu jihad melawan nafsu. Manusia dikurniakan akal dan nafsu menjalani kehidupan. Seringkali akal tunduk kepada tuntutan nafsu kerana kurangnya iman dan amal.

Menurut Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin, hati nurani disebut sebagai nafsu. Ia adalah jiwa manusia yang dipenuhi dengan pelbagai sifat berbeza, sesuai dengan perubahan keadaan. Tiga kategori nafsu manusia adalah:

a. Nafsu Mutmainnah. Tiada rasa untuk membuat perkara mungkar dan terpelihara daripada penyakit hati.

b. Nafsu Lawwamah. Ia mempunyai pertentangan antara membuat perkara yang baik dan keji.

c. Nafsu Amarah. Nafsu yang berkehendak melakukan perbuatan keji.

Oleh itu, mengikut jalan yang berlainan dengan tuntutan nafsu ini bermaksud melawan tuntutan nafsu amarah yang sering mengajak manusia ke arah kejahatan.

iii. Jihad dan pengorbanan. Jihad seringkali dikaitkan dengan pengorbanan. Ia umpama dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Pengorbanan di sini lebih dititikberatkan kepada mengorbankan kesenangan dan keseronokan ‘duniawi’ dalam meraih kesejahteraan abadi di akhirat.

iv. Yakin dengan pertolongan Allah. Setiap mukmin perlu meyakini janji Allah adalah benar. Justeru, kita perlu yakin dengan pertolongan Allah. Munajat dan panjatkan doa kepada-Nya dengan penuh azam dan harapan yang diiringi usaha dan tawakal. Banyakkan membaca al-Quran kerana hanya dengan mengingati Allah jiwa menjadi tenang.

v. Dampingi orang soleh. Dengan mendampingi insan ini, kita lebih mudah menerima teguran yang mampu membina sahsiah yang tinggi. Kita dapat menimba ilmu agama daripada pelbagai aspek selain melakukan ibadah dengan lebih sempurna dengan berkat tunjuk ajar mereka.

vi. Menghadiri majlis ilmu. Ia dapat membersihkan jiwa kerana di majlis ilmu terdapat tazkirah dan ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan Muslim.

Selain itu, dijanjikan kepada mereka yang menghadiri majlis ilmu, mereka akan mendapat balasan baik daripada Allah.

Menyedari hakikat ini, dapatlah kita mengambil iktibar apabila kita mandi setiap hari, kita gosok gigi tiga kali sehari, kita cuci muka dengan pelbagai pencuci muka.

Mengapa tidak kita sucikan hati yang menjadi anggota penting dalam menentukan ‘tingkat’ amalan kita. Marilah berdoa semoga hati kita sentiasa dibuka menerima hidayah-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan