Selasa, 17 Mei 2011

Petrokimi-'A'!----------->>Kesan kepada manusia dan alam sekitar


Media Taiwan melaporkan sebuah syarikat Petrokimia Taiwan, Kuo Kuang Petrochemical akan membina kilangnya di Malaysia atau lebih tepat lagi Negeri Johor setelah Presiden Taiwan, Ma Ying Jeou menolak permohonan mereka untuk membina kilang di Negara tersebut. Laporan tersebut turut mendakwa bahawa kilang ini akan dibina di sekitar daerah Pontian atau Pasir Gudang.
Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mustapa Mohamad berkata Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) masih lagi belum menerima permohonan rasmi daripada syarikat tersebut. Namun begitu, berdasarkan kepada laporan Central News Agency, Taiwan, Timbalan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata Malaysia mengalu-alukan Syarikat Kuo Kuang Petrochemical Technology untuk melaburkan di Negara ini dan membina loji minyak dan naphtha cracking. Beliau turut dipetik sebagai berkata Kerajaan bersedia menawarkan persekitaran yang kondusif dan memenuhi kehendak industri petrokimia.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Daerah Pontian turut dilaporkan menyambut baik cadangan pelaburan ini walaupun belum menerima permohonan rasmi sehingga kini. Premier Taiwan, Wu Den Yih dalam satu kenyataan pada 23 April yang lepas turut mendedahkan bahawa beliau tidak menolak sebarang kemungkinan industri ini akan dipindahkan ke Malaysia.
Kesan terhadap manusia dan alam sekitar
Sebelum kita membuat keputusan untuk menyokong atau membantah pelaburan syarikat Kuo Kuang Petrochemical ini, kita seharusnya membangkitkan persoalan mengenai mengapakah Kerajaan Taiwan sendiri menolak rancangan pembinaan kilang petrokimia ini di Negara mereka?
Hal ini adalah kerana, kilang petrokimia ini akan melepaskan toksik berbahaya seperti Toxic Dioxin, Sulfida dan pelbagai lagi toksik kimia yang mengancam alam sekitar dan kesihatan manusia. Industri Petrokimia ini melibatkan penggunaan sumber tenaga, air dan pelepasan gas nitrogen dioksida yang sangat tinggi.  Operasi kilang Kuo Kuang Petrochemical ini  mengakibatkan tahap pencemaran udara yang tinggi di Taiwan.
Profesor Zhuang Bing Jie dari Jabatan Kejuruteraan Alam Sekitar, National Chung Hsing University, Taiwan mendedahkan bahawa penilaian risiko penyakit kanser semakin buruk ekoran dari pembukaan operasi kilang petrokimia. Hasil kajian beliau mendedahkan seramai 339 hingga 565 orang mati ekoran dari masalah jantung, kanser paru-paru dan juga peningkatan di dalam penyakit  berkaitan pernafasan.
Indeks Pencemaran Udara mencatatkan bacaan PM2.5 zarah – zarah halus dilepaskan ke atmosfera sekitar Taiwan. PM2.5 ini kebiasaannya mengandungi  Polycyclic Aromatic Hydrocarbon (PAH), Polychlorinated biphenyls (PCB), logam-logam berat, bahan radioaktif, sulfur dan nitrogen dioksida yang boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit. Menurut Prof. Zhuang Bing Jie, indeks pencemaran PM2.5 ini boleh mengurangkan umur rakyat sebanyak 23 hari. 
Jenis Bahan Kimia
Risiko Kesihatan
Polycyclic Aromatic Hydrocarbon
Pelbagai jenis kanser
Polychlorinated Biphenyls (PCB)
Ruam, kerosakan daya imunisasi, kanser hati, penuaan, pertukaran jantina
Kadmium
Penyakit tulang, osteoporosis
Merkuri
Kerosakan sistem saraf, pertumbuhan terencat, kehilangan ingatan
Uranium, Radium
Kerosakan ginjal, anemia, kanser
Sulfur dan Nitrogen Dioksida
Penyakit bronchitis, asma
Pestisid
Mutasi DNA, penyakit barah, kerosakan imunisasi
 Dunia turut telah mencatatkan kejadian-kejadian yang meragut nyawa manusia dan juga menjejaskan kesihatan ekoran dari industri petrokimia ini.
 Hampir 10,000 orang yang mati disebabkan oleh kebocoran gas toksik daripada tapak petrokimia di Bhopal, India pada 3 Disember 1984.
Letupan petrokimia mengeluarkan bahan toksik ke dalam Sungai Songhua, Harbin di China pada 13 November 2005, dengan melepaskan 100 tan benzene, nitrobenzene dan bahan toksik lain. Pencemaran ini mempengaruhi kawasan sebanyak 80 km sepanjang sungai. Kira-kira 10,000 penduduk Jilin telah diminta berpindah dari kawasan tersebut.
Di Kaoshiong, Taiwan, sebanyak 171 kes penyakit leukemia telah didapati menjangkiti penduduk-penduduk yang tinggal dalam lingkungan 3 km dari kilang penapisan petroleum antara tahun 1997 dan 2003. Kejadian kelahiran bayi kurang matang menjadi kelaziman pada ibu-ibu yang tinggal berdekatan tapak penapisan minyak.
Letupan kilang petrokimia di Texas, USA pada 24 Mac 2005 telah membawa maut kepada sekurang-kurangnya 14 orang dan terdapat 70 orang yang mengalami kecederaan.
Letupan di kilang pembuatan ethylene Sasol di Secunda, Afrika Selatan telah membawa maut kepada 6 orang pada 1 September 2004.
Letupan kilang petrokimia di Gresik, Indonesia telah mencederakan berpuluh puluh orang.
Kesan pencemaran terhadap alam sekitar cukup membimbangkan oleh kerana bahan-bahan toksik ini boleh merencatkan pertumbuhan dan pembiakan sepsis hidupan laut yang sejurusnya menjejaskan rezeki golongan nelayan.
Di Sungai Mutiara, China, PCBs daripada penapisan minyak menyebabkan kesan yang buruk kepada kesihatan dan jelas mengurangkan populasi kupang hijau (Perna viridis), tiram (Crassostrea rivularis) dan udang (Penaus orientalis).
  • Di Tarragona, Sepanyol, paras kadmium, plumbum, vanadium dan naftalena adalah tinggi dalam tanah di mana ia akan mempengaruhi industri pertanian.
  • Di Lanzhou, China, kajian mendapati kodok yang didedahkan kepada bahan pencemar petrokimia akan mengalami kerosakan genetik.
  • Di Turkey, kajian mendapati bahawa industri penapisan petroleum mencemarkan Sungai-sungai Kizilirmark dan menyebabkan peroksidaan pada otot dan tisu hati dalam ikan.
Penutup
Projek pelaburan berkaitan petrokimia  ini boleh membawa peluang perniagaan yang sangat besar, pemindahan teknologi dan juga peluang pekerjaan yang banyak, namun begitu, kita turut membayar harga yang sangat mahal apabila alam sekitar, perairan dan kesihatan terjejas ekoran daripada perlepasan gas dan sisa toksik yang berbahaya. Kerajaan Taiwan sendiri menolak permohonan syarikat Kuo Kuang Petrochemical untuk membuka kilangnya di Taiwan atas alasan berbahaya kepada alam sekitar dan manusia namun, dua Pihak Berkuasa Tempatan di Johor ini sanggup menerima dengan tangan yang terbuka. Persoalannya apakah kaedah Penilaian Awal Kesan Persekitaran (PEIA) yang digunapakai di Negara ini lebih rendah piawaiannya berbanding Taiwan sehingga membolehkan Pihak Berkuasa Malaysia menerima projek ini dengan berlapang dada?
Penduduk di sekitar Tanjung Bin, Pontian juga pernah menghantar memorandum bantahan kepada YAB Perdana Menteri berhubung isu pembinaan kilang petrokimia di kawasan mereka pada 10 Ogos 2009 namun, dengan pendedahan yang dilakukan oleh media – media Taiwan beberapa minggu yang lepas mengesahkan bahawa pihak Kerajaan sememangnya berminat untuk meneruskan projek petrokimia berbahaya ini tanpa mengambil peduli kemaslahatan rakyat.
Kerajaan seharusnya menolak sebarang rancangan pelaburan yang jelas boleh mendatangkan bahaya kepada alam sekitar, menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan yang lebih teruk lagi mengancam kesihatan rakyat.
Er Teck Hwa,
Ahli Parlimen Bakri
17 Mei 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan