Sudah menjadi resam orang bercinta, cinta itu akan menjadi asyik dan amat memabukkan jika cinta itu berbalas. Begitu juga bentuk cinta ini.
Baginda telah menghulurkan cintanya, maka kitalah perlu menyambutnya.Malangnya kita pada hari ini, tidak mabuk dengan cinta kepada Allah dan cinta kepada nabi tetapi mabuk dengan cinta monyet dan cinta manusia yang fana´.
Kita perlu memuhasabah kembali sejarah yang telah dilalui
semoga generasi akan datang tidak kering dan gersang dengan cinta
kepada Rasul mereka.
Sememangnya kesilapan bermula sejak awal lagi. Ketika kita kecil, kita tidak diajar untuk mencintai baginda. Kita lebih dulu diajar A-B-C sebelum diajar mengenali nabi. Kita lebih dulu diajar 1-2-3 sebelum kita diajar mencintai nabi.
Malah amat mengecewakan perkara ini tidak langsung
mendapat perhatian ibu bapa. Kita boleh lihat, anak-anak kini
dibesarkan dengan watak-watak animasi Pokemon, Doraemon, Superman,Power Rangers dan Mickey Mouse. Astro menjadi pendidik kanak-kanak kini menggantikan peranan ibu bapa yang sepatutnya berperanan.
Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Tepuk dada, tanya iman.. Islam awal-awal lagi telah mengajar bagaimana kita hendak mendidik anak-anak dengan betul. Rasulullah pernah bersabda ;
"Didiklah anak-anak kamu dengan 3 perkara - Cinta kepada nabi, cinta kepada keluarga nabi dan membaca al-Quran kerana orang yang menjadi ahli al-Quran akan berada di bawah naungan Allah bersama para anbiya´dan para sufi ketika hari kiamat di mana pada ketika itu tiada naungan lain kecuali naungan Allah"
Oleh kerana itu, kita semua perlu memupuk cinta ini dalam diri
masing-masing. Sekiranya kita ada anak-anak, ajarkanlah mereka cinta
kepada nabi sebelum mereka mengenali artis ataupun ikon animasi lain.
Sekiranya kita seorang guru, selalulah bercerita kepada murid-murid
mengenai nabi, insyaAllah daripada menceritakan peribadi baginda, orang akan jatuh cinta kepadanya. Walaubagaimanapun, ia perlu sentiasa dihangatkan dan jangan ditinggalkan.
Umpama hubungan suami dan isteri, cinta akan menjadi lebih kuat apabila ia sentiasa dihangatkan dengan pengorbanan dan persefahaman.
Kesan perasaan cinta ini, kita akan membuktikannya dengan amalan kita. Bukti kecintaan yang paling besar ialah mengamalkan sunnahnya.
Bukan sekadar mengamalkan sunnah-sunnah yang kecil seperti bersiwak, memakai serban atau memakai capal seperti capal Rasulullah, akan tetapi juga mengamalkan sunnah yang lebih besar seperti menjadi pewaris anbiya´ iaitu ulama´, membina negara dan berusaha mendaulatkan Islam. Kita juga akan bangkit ketikamana baginda dihina seperti yang berlaku di Denmark
sebelum ini.
Begitu juga kecintaan ini akan menyebabkan kita sentiasa
mengingati baginda dengan berselawat kepadanya. Selawat inilah yang akan menjadi charger cinta kita kepada nabi S.A.W.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan