Dosa ialah balasan buruk kerana melakukan larangan Allah SWT. dan meninggalkan suruhan-Nya Orang yang akil baligh yang melanggar hukum Allah digelar ‘Asi.
Apabila disebut dosa dan pahala, pasti kita semua maklum mengenainya. Sifirnya mudah, buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa. Namun ada juga yang begitu skeptikal dengan dosa dan pahala, maklumlah perkara yang tidak nampak.
Atau tidak terasa apa-apa dengan dosa dan pahala disebabkan dek terlindungnya urusan tersebut dari pandangan mata manusia. Perkara sam’iyyatlah katakan. Alasan mudah, dosa dan pahala bukan manusia yang tentukan! Memang benar, dosa pahala yang natijahnya sama ada neraka atau syurga, bukan manusia penentunya.
Manusia masuk syurga bukan kerana amalannya, tetapi kerana rahmat Allah. Benar sekali. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan pasti ada keseimbangannya. Malam ada siangnya, hidup ada matinya, syurga ada lawannya iaitu neraka. Begitulah juga ada perkara baik dan buruk yang menatijahkan pahala atau dosa.
Contoh yang mudah, api sebagaimana yang kita tahu, sifatnya adalah panas dan membakar. Namun ada pengecualiannya, seperti dalam kisah Nabi Ibrahim yang terselamat sewaktu dibakar oleh Raja Namrud. Sifat api yang panas dan membakar itu, tidak terjadi lantaran diarahkan oleh Allah s.w.t agar ia menjadi sejuk, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 69, yang bermaksud, “Perintah kami (Tuhan): Wahai api, sejuklah kamu dan selamatkan ke atas Ibrahim”. Apapun, fitrah api itu masih kekal panas dan membakar sehinggalah ke hari kiamat.
Begitulah juga dengan dosa dan pahala. Ia perkara yang jelas. Melakukan perkara yang haram dan dibenci Allah itu akan menatijahkan dosa. Melakukan perkara yang disukai Allah pula akan dihadiahi dengan pahala. Pahala membawa ke syurga, dosa membawa ke neraka.
Namun ada pengecualiannya, sebab kita milik Allah dan walaupun berdosa, Allah memberikan peluang untuk hamba-Nya bertaubat selagi nyawa belum sampai di halkum.
Sesungguhnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak akan dapat lari daripada dua perkara tersebut. Segala tindak tanduk kita di dunia ini akan memanifestasikan sama ada pahala atau dosa, sesuai dengan tujuan manusia itu dihidupkan iaitu untuk beribadah kepada PenciptaNya. “Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu.” (Az-Zaariyat:56)
Namun demikian, kehidupan di akhir zaman ini menyaksikan nilai dosa dan pahala seolah-olah menjadi perkara yang dikesampingkan. Perkara dosa dilakukan secara berleluasa tanpa timbul perasaan takut di hati. Sebagai contoh, perbuatan mengumpat telah dimaklumi sebagai satu dosa, namun ia menjadi perkara lumrah. Begitu juga dengan fitnah, zina, rasuah dan bermacam-macam lagi.
Tidak terkecuali pergaulan bebas lelaki wanita. Setiap kali tiba tahun baru, anak-anak muda akan bebas keluar berpasang-pasangan (bukan mahram pastinya) meraikan sambutan malam tahun baru. Berpesta dari tengah malam hingga ke pagi.
Berkumpul seawal sebelum maghrib dan pulang selepas matahari terbit. Solat entah ke mana. Malah menurut pekerja-pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan lepak anak-anak muda ini, kondom-kondom yang telah digunakan bersepah-sepah ditemui mereka sewaktu melakukan kerja pembersihan. Botol-botol minuman keras tidak ketinggalan ditemui. Yang nyata, mereka yang terlibat adalah anak-anak muda Islam.
Mengapa perkara dosa begitu senang diterima? Adakah sebab ia menjadi perkara lazim yang berlaku dalam masyarakat dan seolah-olah diterima pakai, maka ia tidak lagi dianggap sebagai dosa? Atau kita sudah lagi tidak kenal yang mana dikatakan dosa dan pahala?
Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Nawwas bin Sam’an, “Kebaikan adalah peribadi yang terpuji, dosa adalah apa yang bergelut dalam hati sedangkan saudara tidak mahu orang lain mengetahuinya.”
Manakala Wabisah bin Ma’bad pula menyatakan: Saya pernah datang bertemu dengan Rasulullah.
Manakala Wabisah bin Ma’bad pula menyatakan: Saya pernah datang bertemu dengan Rasulullah.
Kemudian Baginda bertanya kepada saya, “Saudara datang ini, hendak bertanya tentang kebaikankah?” Saya menjawab, “Benar”. Lantas baginda berkata, “Tanyalah hati saudara. Sebenarnya kebaikan itu adalah perkara yang apabila saudara melakukannya, jiwa dan hati saudara akan berasa tenang. Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan perkara yang saudara rasakan itu.
Amatlah malang, kalau kita tidak dapat lagi merasakan getaran kerisauan dalam hati sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda s.a.w kerana ia adalah petanda bahawa jiwa kita sebenarnya sudah mati. Titik-titik hitam telah menguasai hati sehingga ia tidak lagi berfungsi dengan baik. Justeru bagaimanakah empunya diri mahu bertanya kepada hati yang menjadi penggerak sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan, jika hati sudah tidak lagi boleh memberi penilaian kudusnya.
“Setiap anak Adam berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah adalah orang yang bertaubat.” (Hadith riwayat Imam Tirmidzi)
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang banyak dosa, tapi banyak bertaubat.”(Hadith riwayat Imam Ahmad)
P/s: Benar sekali tinta alim ulama, jika dosa itu berbau , nescaya kita tak mampu keluar rumah kerana malu busuk tubuh dikesani orang kerana dosa-dosa.. ALhamdulillah Allah telah menutup aib dan dosa hambaNya didunia..
Fikir-fikir dalam diri… ^_^
Fikir-fikir dalam diri… ^_^