Sunday, 7 October 2012

Zakat vs Riba



Merujuk kepada jadual di bawah, jelas anda boleh melihat dengan mata kasar bahawa harta anda berkurang dengan zakat tetapi bertambah dengan riba'. Usah tertipu dengan dunia yang sememangnya menipu. Satu anologi yang saya ingin tekankan di sini, riba' ialah ibarat 'virus' dalam harta kita, manakala zakat ibarat 'benih' dalam harta kita. 'Virus' itulah yang memakan harta anda dan 'benih' itulah yang mengembangkan harta anda.
"Allah akan menyusutkan harta riba' dan Allah akan mengembangkan harta sedekah dan zakat dan sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang terus kekal dalam kekufuran dan berdosa."
(Surah Al-Baqarah, ayat 276)
Ternyata ayat-ayat Al Quran benar dan terbukti kebenarannya. Mari kita selidiki apa maklumat berharga yang Allah mahu sampaikan kepada hamba-hambaNya menerusi ayat 276, Surah Al-Baqarah itu. Lihat pada ayat di atas; ada dua subjek utama yang menjadi fokus ayat iaitu yang pertama riba' dan kedua zakat. Kedua-dua subjek ini sangat berbeza kerana zakat itu akan mengembangkan harta kepada semua orang untuk dimanfaatkan oleh orang lain manakala riba' itu ialah mengumpulkan harta untuk diloba oleh sebahagian individu yang mana manfaat harta itu hanya dinikmati oleh mereka. Jadi kita lihat, riba' itu tidak selari dengan zakat lalu ada yang bertanya "Ustazah, kalau macam itu, boleh ke kita bersihkan harta riba' itu dengan keluarkan zakat?" maka jawapannya tentu tidak. Tidak akan bercampur yang hak dengan yang batil.
Allah telah memilih kalimah "يمحق" yang membawa maksud hilang atau susut. Bukanlah maksud kerana riba' harta seseorang akan hilang dengan serta merta. Tetapi harta itu akan hilang secara perlahan-lahan tanpa disedari mereka. Situasi ini boleh kita lihat di sekeliling kita. Apabila sesetengah individu terlibat dengan riba', pada mulanya dia nampak kaya, hebat, bergaya - tetapi lama kelamaan Allah akan menimpakan dia musibah sedikit demi sedikit sehingga dia menderita jiwa atau fizikalnya.
Kalimah "يربى" pula membawa maksund untung, bertambah dan berganda. Sesungguhnya yakinlah bahawa dengan menunaikan zakat itu akan menambahkan harta kita dan yang pasti pahala kita akan sentiasa digandakan oleh Allah. Mari kita lihat sekiranya kira mengeluarkan zakat sebanyak RM8 melalui pembayaran pada badan yang menguruskan zakat, contohnya, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan MAIWP, maka agihan akan dilakukan kepada 8 golongan asnaf yang memerlukan, maka setiap asnaf akan menerima RM1 daripada wang zakat kita.
Bayangkan betapa ramai individu yang boleh kita bantu dengan membayar zakat. Maka adakah Allah akan mensia-siakan amalan hambanya? Sudah tentu tidak. Oleh itu, rasailah sendiri dengan membayar zakat, pahala akan bertambah dan harta kita juga akan bertambah.

No comments:

Post a Comment