Wednesday, 17 October 2012

nak kena panah petir 12.59 pm?


MESYUARAT TETAP DITERUSKAN KETIKA AZAN SOLAT JUMAAT BERKUMANDANG

27 Sep 2012

SUNGGUH mengecewakan apabila pihak pengurusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan di Putrajaya sanggup mengetepikan kewajipan solat Jumaat semata-mata untuk bermesyuarat pada minggu lalu.

Pengerusi mesyuarat, seorang pegawai atasan kementerian, tetap meneruskan mesyuarat bersama wakil daripada media walaupun azan solat Jumaat sedang berkumandang dengan jelas.

Tiga pegawai kanan kementerian (lelaki Islam) dalam mesyuarat itu juga seolah-olah tiada rasa bersalah apabila pegawai atasan itu memutuskan untuk tidak menghentikan mesyuarat ketika azan kedengaran dari Masjid Sultan Mizan, kira-kira 150 meter sahaja dari bangunan itu.

Lebih menyedihkan, seorang pegawai kanan kementerian itu dalam mesyuarat tersebut (Islam dan bergelar Datuk), sanggup memberi 'sokongan' kepada pegawai atasan itu untuk meneruskan mesyuarat tanpa berhenti untuk solat Jumaat.

Diharap pihak Ketua Setiausaha Negara memandang serius perkara ini supaya individu yang dipilih menerajui pentadbiran atasan sesebuah kementerian tidak memperlekehkan hal agama kerana Islam adalah agama rasmi negara ini apatah lagi jika melibatkan pegawai beragama Islam.

TAKUT DOSA
Kuala Lumpur


AMBIL TINDAKAN PEGAWAI TERUSKAN MESYUARAT KETIKA AZAN JUMAAT BERKUMANDANG

12 Okt 2012

SAYA ingin merujuk kepada surat bertajuk 'Mesyuarat tetap diteruskan ketika azan solat Jumaat berkumandang' oleh Takut Dosa di ruangan ini pada Khamis 27 Septembr lalu.

Memang amat menyedihkan apabila kita sedang sibuk melaungkan slogan kecaman terhadap penghinaan ke atas Rasulullah dilakukan di seluruh dunia, di dalam negara kita sendiri terdapat penjawat awam yang memperlekehkan agama Islam.

Dalam hal berkenaan, pengerusi mesyuarat perlu bertanggungjawab penuh kerana beliau yang menentukan perjalanan sesuatu mesyuarat, apatah lagi beliau seorang pegawai tertinggi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang sepatutnya lebih sensitif dengan hal agama.

Pengabaian solat Jumaat bukan suatu yang boleh dipandang ringan. Jika dirujuk kepada undang-undang Syariah, Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (Akta 559) telah menyatakan bahawa tidak bersolat Jumaat boleh dihukum denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Jika tidak tindakan tegas diambil bagi kes ini, pastinya akan wujud persepsi masyarakat bahawa kerajaan mengambil mudah hal-hal agama Islam dalam pentadbiran organisasi kerajaan, sedangkan kerajaan sudah menggariskan peraturan yang cukup jelas dan serba lengkap dalam aspek perundangan Islam.

Seperti mana yang kerap ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), pegawai atasan perlu sentiasa mengambil berat aspek kebajikan manakala aspek agama adalah sebahagian daripadanya.

Diharap apa yang berlaku tidak berulang dan menjadi iktibar kepada semua penjawat awam seluruh negara.
JUSA PENCEN

Bukit Kiara, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment