Isnin, 21 Julai 2014

barah rahim

Waktu berbuka.
Isteri mencedukkan nasi ke pinggan suaminya.
Masing-masing tidak bersuara. Diam membisu seribu bahasa.
Memang begitu. Dah tiga bulan suasananya begitu.
Dingin. Tegang.
Hari itu, nampaknya lebih dingin dari biasanya. Hujan renyai-renyai menambahkan kedinginan. Dingin dalam dua hati.
Suami: "Hari ni, hari last kita berbuka puasa sama-sama."
Isteri: "Sebab?"
Suami: "Hari ini, abang lepaskan kamu dengan talak satu."
Isterinya itu terus kelu. Baru saja dijamahnya tamar tidak sampai suku gigitan.
Suami: "Dah tiga tahun kita kahwin. Awak faham dengan jelas, kita masih tak ada anak. Abang dah bosan. Bosan menanti. Awak asyik sakit perut, senggugut kuat, masalah dalam peranakan dan macam-macam lagi. Sampai bila nak berubat? Abang dah give up.
Abang tak nak poligami. Jadi, ini adalah keputusan terbaik untuk kita berdua."
Si isteri yang sudah jadi bekas isteri dalam sekali lafaz hanya terkedu. Menitiskan air mata.
Isteri: "Abang, terima kasih atas segalanya. Terima kasih sudi sayang saya selama tiga tahun bersama. Jaga saya dengan baik. Maafkan saya tak mampu bahagiakan abang dengan zuriat....maafkan saya, tak sempat pun nak salam tangan abang buat kali terakhir sebagai isteri yang sah.."
Tak mampu dihabiskan kata-kata.
Diganti dengan deraian air mata.
Keesokan hari, mantan isteri dihantar pulang ke rumah keluarganya.
Bekas mertuanya menanti dengan tenang. Tidak marah sedikit pun. Dibiarkan saja bekas suami anaknya itu berlalu pergi dari penglihatannya.
Ayah: "Jangan sedih. Ayah masih ada. Seandainya semua lelaki dalam dunia ini tak dapat jaga kamu, ayah tetap akan bela kamu sampai ke akhir nyawa. Meski kamu sakit pedih, cacat cela, buruk hodoh sekalipun, ayah tidak akan merasa jijik sedikit atau terbeban langsung dengan kamu.
Ini ujian kehidupan. Masa kamu remaja dulu, kamu fikir hidup berumahtangga itulah suatu kebahagiaan abadi. Namun, sekarang kamu mengerti.
Rumahtangga itu penuh ujian. Mereka yang tidak berumahtangga tidak akan memahami sehinggalah mereka melalui. Ayah percaya, kamu sekarang lebih matang menilai kehidupan.
Akhirat jualah bahagia berkekalan."
Si anaknya itu cuma mampu memeluk ayah tuanya penuh tangis dan sendu. Dalam dunia yang penuh kejam, ayah sendiri jua yang masih punya hati.
**
Bekas suami tiba di rumah.
Kosong. Sunyi.
Tiada lagi wajah yang selalu dimarahinya. Dihinanya. Diperlinya tiap ketika.
Dibuka pintu bilik. Ada kotak di atas katilnya. Label, "Untuk suami tercinta."
Dikuaknya daun kotak.
Air matanya mengalir sendiri. Tak mampu ditahan lagi.
Dalam kotak, terisi penuh baju bayi. Stoking tangan dan kaki. Sweater. Penutup kepala.
"Abang, sejak awal kita nikah sampailah tahun ni, saya kaitkan semua ini untuk anak kita. Meski tak pasti bila saatnya, tapi saya percaya Allah akan makbulkan jua. Jika bukan di dunia, pasti di akhirat sana.
Moga abang bahagia dengan pengganti saya. Sikit pun saya tak dendam atau sakit hati. Kerana selama ini, tugas saya pada abang adalah setia mencintai. Abang bagi saya tempat berteduh dan berlindung, beri saya makan dan pakai, beri saya secebis kasih sayang, semua itu dah lebih dari cukup. Saya tak layak minta lebih dari itu.
Salam sayang. Isterimu."
Lelaki itu menahan sebak di dada. Lantas diambil kunci kereta. Mahu pulang segera ke kampung mertuanya.
***
Di kampung, bekas isteri sakit kritikal dalam perut.
Rupanya barah rahim.
Jadi rahsia selama ini.
Antara dia dengan ayahanda tercintanya.
Sudahnya, ayah tua itu menitiskan air mata di sisi anaknya.
Tanpa daya upaya.

1 ulasan: