Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pelajarku.
Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan batin kepada semua. Semoga anda semua boleh berhari raya dengan seharusnya. Ingatlah bahawa anda semua akan menghadapi UPS pada 10 - 14 Ogos nanti. Jadi seeloknya anda perlu menggunakan masa cuti pertengahan semester ini untuk membuat refleksi berkenaan kaedah pembelajaran anda dan merancang strategi pembelajaran yang lebih berkesan setelah kembali ke kolej kelak.
Disamping itu masa cuti yang agak panjang ini perlu digunakan sebaiknya untuk mengulangkaji bagi menghadapi UPS. Fikirlah bahawa hari raya akan dilalui setiap tahun selagi anda hidup, akan tetapi kursus yang anda sedang ikuti hanya sekali sahaja akan anda lalui. Oleh itu gunakanlah cuti hari raya ini sebaiknya untuk mendapat hasil pembelajaran yang terbaik untuk kursus anda supaya anda tidak menyesal di kemudian hari.
Perkara lain yang anda perlu tanamkan dalam diri anda adalah anda tidak akan berjaya dalam hidup berdasarkan hakikat sebenarnya jika anda selalu mengharapkan belas kasihan dan pertolongan dari orang lain. Mohonlah pertolongan dan bantuan dari Allah SWT. Rancang dan berusaha dengan sebaiknya untuk mendapat hasil yang terbaik dalam apa sahaja lapangan termasuklah pembelajaran anda. Jika anda berjaya dengan baik melalui susah payah dan usaha optimum anda, anda tentu akan merasa kepuasan yang sebenarnya di sepanjang hidup anda.
Ingatlah, sebelum anda boleh membantu orang lain, anda perlu berusaha membantu diri anda menjadi insan yang terbaik. Jika anda atau keluarga anda hartawan hebat, ingatlah harta itu boleh hilang dalam sekelip mata. Hanya ilmu yang ada pada anda yang dapat membantu anda ketika ditimpa kesusuahan melalui usaha bersungguh-sungguh dan ikhlas dan diredhai Allah SWT. Jadi belajar sebaiknya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan untuk diri sendiri untuk membolehkan anda menjadi manusia berjaya di masa depan yang akan membolehkan anda membantu orang lain.
Sekian saja pesanan ringkas saya untuk kali ini. Lagi sekali Selamat Hari Raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan