Sabtu, 3 Jun 2017

Mahar

SEDUTAN KISAH SAHABAT (SIRI 6)

Abu Talhah al-Ansari
~ Mahar Paling Berharga Di Dunia ~

Nama sebenar beliau adalah Zaid bin Sahl daripada kabilah al-Najjar. Memeluk Islam awal sedikit daripada peristiwa Hijrah.

Beliau terkenal sebagai pemilik kebun Bairuhak, sebuah kebun yang sangat indah dan subur di Madinah. Nabi SAW sangat suka minum dari mata air yang keluar dari kebun tersebut. Bairuhak adalah harta yang paling beliau sayangi. Tatkala turun firman Allah:

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[Aal-E-Imran:92]

Maka tatkala itu juga beliau berkata:
"Bairuhak adalah harta yang paling aku sayang. Sekarang aku jadikan ianya sedekah demi Allah. Aku mengharapkan kebaikan dan ganjarannya di sidi Allah. Gunakanlah ianya megikut kemahuanmu wahai Rasulullah."

Beliau amat mengasihi baginda Nabi SAW. Beliau pernah berikrar, untuk menjadikan tubuhnya tebusan kepada tubuh Rasulullah dan wajahnya menjadi pelindung kepada wajah Rasulullah.

Sewaktu perang Uhud, beliaulah yang menjadi benteng melindungi batang tubuh Nabi SAW ketika musyrikin menyerang hendap khemah Rasulullah. Rasulullah diletakkan di belakangnya sedang dia bersenjatakan busur memanah sesiapa sahaja yang cuba mendekati.

Pernah Rasulullah cuba menjenguk kepalanya untuk melihat keadaan di hadapan, tapi ujar Abu Talhah:
"Jangan buat begitu Wahai Rasulullah. Lehermu aku tak sama dengan lehermu. Dadaku tak sama dengan dadamu. Biarlah aku sahaja yang jadi tebusan untuk dirimu."

Beliau menyertai semua peperangan bersama Rasulullah. Dan beliau terus berjihad sehingga ke hujung usia. Sejak kematian Rasulullah, dikhabarkan beliau tidak pernah meninggalkan puasa, melainkan pada hari yang diharamkan sahaja. Ketika umurnya sudah tua, anak-anak pernah berkata:
"Wahai ayah. Kau telah berperang sejak zaman Rasulullah sampailah dia wafat. Kau berperang juga zaman Abu Bakar sampai dia wafat. Zaman Umar kau terus berjihad sampai dia pun wafat. Kau sudah tua sekarang. Biarkan kami sahaja yang berjihad dan kau berehat."

Jawab Abu Talhah:
"Tidak. Bukankah Allah perintahkan dalam al-Quran pergilah kamu semua berjihad dalam keadaan ringan atau berat? Ringan itu muda. Berat itu tua. Kita semua tidak pernah terkecuali."

Begitulah keadaannya, terus berpuasa dan berjihad sehingga menemui ajalnya di tengah lautan, di atas sebuah kapal ketika dalam sebuah misi jihad.

Sebenarnya, sejarah kehidupan Abu Talhah dengan Islam bermula sejak beliau mula menaruh hati kepada seorang janda bernama Rumaisha' binti Milhan, juga dari kabilah Najjar. Sebaik sahaja mendapat tahu suaminya meninggal, Abu Talhah terus ke rumah Rumaisha untuk merisik. Pada waktu itu Abu Talhah belum memeluk Islam tetapi Rumaisha' sudah Islam.

Tatkala dilamar, Rumaisha' menjawab:
"Orang seumpamamu selayaknya tidak ditolak. Tetapi aku tidak boleh mengahwinimu selama-lamanya. Kerana engkau adalah kafir.."

Abu Talhah tidak memahami akan peraturan Islam. Beliau berusaha memujuk:
"Aku rasa bukan itu sebabnya. Tapi sebenarnya kau mahu cari orang lebih kaya dari aku. Bukan begitu?"

Jawab Rumaisha':
"Demi Allah wahai Abu Talhah. Seandainya kamu memeluk Islam, aku akan terima kamu tanpa kau berikan satu pun emas atau perak padamu. Aku jadikan Islammu sebagai mahar bagiku.."

Mendengar ucapan Rumaisha' itu, kepala Abu Talhah teringatkan berhalanya di rumah, yang diperbuat daripada kayu yang mahal.

Rumaisha' seakan dapat membaca fikiran Abu Talhah, lalu mencelah:
"Takkah kamu sedar tuhan yang kamu sembah itu diperbuat dari kayu yang tumbuh dari tanah?"

Jawab beliau: "Benar"

Rumaisha menyambung:
"Tak malukah kamu kamu menyembah batang kayu, yang orang lain jadikan ianya sebagai bahan api untuk membakar roti sahaja?"

Kata-kata Rumaisha membuat Abu Talhah tersentak dan mula sedar. Lantas dia bertanya:
"Siapa mahu bimbing a

ku kepada Islam."

Pantas Rumaisha' menjawab:
"Aku."

"Justeru bagaimana?" Tanya Abu Talhah.

Rumaisha membalas:
"Ucapkanlah dua kalimah syahadah, selepas itu kamu pulang dan dapatkan berhala kamu, kemudian campak buanglah ia."

Abu Talhah menurut sahaja kata-kata Rumaisha'. Dia terus mengucap, kemudian pulang dan membuang berhala itu.

Tidak lama selepas itu, kedua mereka diijab kabulkan sebagai suami isteri yang sah.

Para sahabat berkata: "Kami tak pernah jumpa orang yang memiliki mahar yang paling mulia selain dia. Dia telah menjadikan ISLAM sebagai mahar."

Orang beriman tidak akan menjadikan mas kahwin atau hantaran sebagai harga kepada diri mereka. Sebaliknya yang lebih penting adalah apa yang akan menentukan masa depan setelah berkahwin itu. Mahar beratus ribu belum tentu bahagia. Tetapi mahar Islamnya Abu Talhah membawa kepada syahid, yang bakal memberi syafaat untuk memimpin tangan Rumaisha ke negeri bahagia abadi.

9 Ramadhan 1438
4 Jun 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan