Isnin, 11 Mac 2024

Kpm

 Baru-baru ini saya ada membaca ulasan seorang penganalisis politik di dalam akhbar The Star mengenai trend sokongan rakyat terhadap parti-parti yang ada menunjukkan polarisasi kaum yang semakin melebar.


Sokongan orang Melayu kepada PN dijangka akan meningkat kepada 90% dalam PRU16 dan begitulah sebaliknya orang Cina keseluruhannya akan tetap menyokong PH walaupun mereka tidak berpuas hati terhadap prestasi kerajaan. 


Prasangka negatif antara kaum semakin menebal dan setiap perkara yang berlaku akan dilihat dari perspektif perkauman. Isu ini jika tidak ditangani secara tegas dan berani ia akan menjadi lebih kritikal. Apa yang menyedihlan saya ialah semua orang tahu penyelesaiannya tetapi tidak ada seorang pemimpinpun yang berani mengambil tindakan. 


Punca utama berlaku polarisasi kaum ini bermula dengan sistem Pendidikan. Kengganan kaum cina untuk bersama di dalam sekolah kebangsaan dan tidak adanya ketegasan oleh pemimpin utama negara memaksa pembelajaran satu aliran adalah punca kepada perpecahan kaum. Kedua-dua faktor ini hanya boleh diselesaikan jika ada keberanian politik oleh pihak kerajaan.


Mana mungkin rakyat boleh bersatu jika sejak dari kecil kita dipisahkan dan menerima sistem pendidikan yang berbeza. Hanya manusia yang tidak siuman mengatakan ia bukan punca perpecahan kaum. 


Sehingga hari ini majoriti orang Cina masih gagal menguasai Bahasa Melayu. Itu belum diambil kira isu agama dan budaya yang lebih kronik dan sensitive. Persoalannya; bolehkah negara melangkah ke hadapan jika perkara yang begitu asas ini tidak dapat diselesaikan?


Rancanglah apa pun, tubuhlah kementerian atau badan apapun, belanjalah banyak mana pun, semua itu adalah fatamorgana, Nampak indah tapi isinya tiada. Negara akan kekal berpecah, isu perkauman akan terus retak dan semakin merebak. 


Jadi jangan kita merintih kalau berlaku insiden-insiden yang boleh menggugat kestabilan negara kerana kita memang layak menerima akibatnya. Pihak kolonial akan ketawa kerana strategi mereka berjaya walaupun kita telah merdeka hampir 70 tahun.


Dulu kita menjadi rujukan negara-negara ASEAN tetapi sekarang kita sudah jauh ketinggalan. Banyak orang mengatakan rasuah punca utama kegagalan negara untuk maju, saya boleh setuju. Tetapi bagi saya punca utama yang menjadi penghalang besar kepada kemajuan negara adalah sistem Pendidikan. 


Bentuk pemikiran, emosi yang stabil, rasa kekeluargaan, kebersaman dalam kemajuan semuanya lahir dari Pendidikan. Selagi pemimpina negara gagal menerima realiti ini maka selagi itulah kita akan tetapi menjadi negara membangun bukan negara maju.


Aminuddin Yahaya

11 Mac 2024

Tiada ulasan:

Catat Ulasan