KAPTEN kapal persiaran mewah Costa Concordia, Francesco Schettino, 52 tahun, dianggap bertindak lambat dan cuai untuk melaporkan insiden perlanggaran kapal itu dengan terumbu batu berhampiran Pulau Giglio di Tuscany, 15 kilometer ke selatan tanah besar Itali pada malam Sabtu minggu lalu.
Dia juga berlengah-lengah membunyikan tanda amaran sedangkan kapal sudah semakin senget. Malah, ada penumpang yang lebih awal menghubungi polis dengan telefon bimbit untuk meminta bantuan dan memaklumkan keadaan kapal yang kelam-kabut.
Bahkan ketika pengawal pantai menghubungi Schettino melalui radio untuk bertanya apa yang tidak kena dengan Costa Concordia, lelaki itu hanya menjawab, terdapat sedikit gangguan bekalan elektrik pada kapal berkenaan.
Hanya pada pukul 10.30 malam waktu tempatan atau satu jam selepas kapal tersebut melanggar terumbu batu, barulah Schettino meminta bantuan.
Kelewatan tersebut sebenarnya menyukarkan keseluruhan operasi menyelamat terutamanya memindahkan ribuan penumpang dan anak kapal memandangkan kapal sudah semakin menyenget ke sebelah kanan.
Lewat
Pendakwa raya di Itali kini sedang menyiasat adakah tindakan Schettino yang sengaja melewatkan proses pemindahan itu ada kaitan dengan keengganannya untuk mengakui keputusan yang dia ambil untuk bergerak lebih hampir dengan pantai.
Selain itu, Schettino juga berdepan dengan tuduhan mengingkari arahan pegawai Pengawal Pantai bertugas, Gregorio de Falco, untuk kembali ke kapal dan mengawasi operasi menyelamat. Dia sebaliknya menyelamatkan diri dengan menaiki bot penyelamat.
Rakaman perbualan di antara Schettino dengan de Falco pada malam kejadian seperti yang dilaporkan akhbar Corriera della Sera memperlihatkan Schettino seperti tidak prihatin dengan apa yang berlaku pada penumpang, kru dan juga kapal mewah bernilai RM1.5 bilion itu.
"Dia mengelak apabila diarahkan supaya kembali ke kapal. Dia juga kata mahu memantau operasi menyelamat sedangkan dia berada di atas bot penyelamat," ujarnya.
Menurut rekod sama, Schettino didapati langsung tidak kembali ke kapal walaupun operasi menyelamat berjalan sehingga pukul 6 pagi.
Schettino memberitahu stesen televisyen Itali, TGCOM, kapalnya melanggar batu yang tidak tercatat dalam carta dan dia telah cuba menyelamatkan seberapa ramai orang yang boleh.
Dalam satu temu bual selama tiga jam bersama The Independent pula, Schettino yang sekarang merupakan orang paling dibenci di Itali mendakwa dia ada sebab untuk meninggalkan kapal itu.
"Sewaktu kapal mula menyenget, penumpang berasak-asak ke ruang dek untuk menaiki bot penyelamat.
Sejuk
"Saya turut berada di sana untuk membantu penumpang turun ke bot. Malah, saya menyerahkan jaket keselamatan saya kepada seorang penumpang.
"Malangnya, ketika sibuk membantu, tiba-tiba kaki saya tersadung dan terjatuh memasuki sebuah bot penyelamat memandangkan kapal sudah senget pada kedudukan 60 hingga 70 darjah.
"Saya bukan sengaja mahu meninggalkan kapal. Lagipun masih ada banyak bot penyelamat untuk memindahkan penumpang," kata Schettino.
Dia yang kini menjalani tahanan rumah berdepan kemungkinan hukuman penjara selama 15 tahun atas dakwaan membunuh secara beramai-ramai. Sehingga kini, 11 mangsa disahkan mati dan 21 lagi masih hilang.
Schettino turut mendakwa dia telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa dengan membawa kapal menghampiri pantai.
Bagaimanapun, alasannya itu tidak diterima Pengarah Industri Costa Cruises, Pier Luigi Foschi. Dia tetap dipersalahkan atas tragedi hujung minggu lalu itu.
Menurut Foschi, Schettino telah menyimpang dari laluan yang ditetapkan.
Dia juga dituduh membawa kapal itu belayar di dalam radius 137 meter dari garisan pantai untuk memberi penghormatan kepada ketua pelayan Costa Concordia, Antonello Tievoli yang keluarganya menetap di Pulau Giglio.
Padahal, kapal itu sepatutnya berada pada jarak 10 kali ganda dari jarak tersebut.
"Antonello menelefon dan berkata kami harus melihat dari jendela sekitar pukul 9.30 malam kerana dia akan berada di kapal yang akan lalu sangat dekat ibarat di sebelah Pulau Giglio dan kami harus melihatnya.
"Semua kapal pernah mendekati pulau tetapi bukan seperti Costa Concordia, ia terlalu hampir," ujar bapa Antonello, Giuseppe.
Malam sebelum tragedi itu, Antonello telah diundang ke anjungan ketika kapal melintasi pulau itu.
"Ke mari dan lihatlah, Antonello. Kita seperti berada di depan Giglio," kata Schettino.
Antonello menyedari kapal itu bergerak terlalu dekat dengan batu karang. Dia berkata kepada Schettino, 'awas, kita terlalu dekat dengan pantai!'
Namun peringatan itu sudah terlambat. Sekitar pukul 9.40 malam, para penumpang mendengar 'rintihan mengerikan' ketika kapal sepanjang 304 meter itu dirobek batu karang dan kabinnya menjadi gelap akibat bekalan elektrik terputus.
"Bunyi itu cukup mengerikan. Saya rasa rintihan adalah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkannya.
"Ia membawa aura panik yang luar biasa," kata seorang anak kapal, Rose Metcalf, 23, yang berasal dari Dorset, Britain.
Ketika kejadian, Costa Concordia yang membawa 4,000 penumpang dan anak kapal baru dua jam berlepas dan dalam perjalanan ke Laut Mediterranean.
Pada masa itu, kebanyakan penumpang sedang menikmati hidangan makan malam dan Schettino berada di anjungan kapal seberat 112,000 tan itu.
Lokasi kemalangan yang tidak terlalu jauh dengan pulau membuatkan ramai penumpang berasa yakin untuk terjun dan berenang ke pantai.
Keadaan air laut yang sejuk menyebabkan beberapa penumpang mati walaupun masing-masing mengenakan jaket keselamatan. - SITI NOR AFZAN KASIMAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan