Selasa, 24 Januari 2012

Harta vs ular

 BayangDiAir

Saya dan tuan puan memerlukan harta untuk hidup. Tanpa harta kita jadi peminta. Dengan harta, kita dapat berumahtangga dan bekeluarga serta menguruskan keperluannya. Ada orang mencari harta dengan dua tiga pekerjaan. Pagi ke petang dengan kerja pertama dan sesi malam dengan kerja sambilan. Kita tidak akan pernah cukup dengan harta. Kalau diberikan kepada kita selembah emas, kita mahukan dua lembah.

Orang yang tiada harta dengan caranya. Ada yang terpaksa berhutang dan meminta. Keperluan keluarga tidak pernah sempurna. Bolehlah untuk hidup walaupun nasi dengan ikan masin, berteduh dengan atap rumbia. Yang kaya pula dengan caranya pula; berkereta dan berumah besar dengan pinjaman bank ratusan ribu ringgit. Tengok jiran atau kawan  membesarkan rumah, mari keinginan untuk membesarkan pula rumah sendiri. Kepuasan tidak pernah ada titik nokhtahnya.

Memang Islam tidak melarang umatnya mencari dan memiliki harta. Hartawan yang pemurah lebih disayangi dan diperlukan oleh agama. Selagi harta diusahakan secara halal dan dibelanjakan secara halal, carilah harta wahai orang-orang mukmin. Selagi tidak lalai solat, zakat dan menadah kitab, carilah harta yang Allah sediakan untuk orang-orang beriman.Namun iIngatlah, harta adalah umpama ular. Ular adalah haiwan berbahaya bagi manusia. Ada segelintir sahaja manusia yang mampu menjinakkan ular sedangkan ramai tewas dengan belitan dan bisa ular. 

Akhir tazkirah, teringat saya akan kata-kata tok guru. Katanya, “ harta kita mungkin berjuta. Namun bahagian kita hanyalah sekadar apa yang kita sempat pakai untuk sekujur tubuh yang panjangnya tak sampai enam kaki, apa yang kita makan untuk perut yang hanya sebesar labu air. Yang selebihnya, sama ada di dalam bank dan yang tak sempat kita nikmati adalah pasti bukan bahagian kita.” Rupanya ular yang kita cari hanya untuk bermain-main pada hujung ekornya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan