Surah al-Kahf menimbulkan kesedaran kepada kita tentang apa yang sedang berlaku di dalam diri.
Apa yang kita percaya.
Bagaimana kita memandang dan berfikir. Memandang dan berfikir tentang hakikat kehidupan.
Apakah nilai yang didukung pada menentukan keutamaan dan sikap kita dalam kehidupan seharian.
Menghayati Surah al-Kahf membantu kita memahami diri kita sendiri, sebelum kita memahami mereka di sekitar diri, mengapa kita dan mereka bertindak tanduk sedemikian rupa. Kita tahu apa yang perlu diperbetulkan. Kita jelas apa yang perlu diperbaiki. Ia membantu kita menjadi insan yang lebih baik, insan yang peka dengan MAKNA.
Renungi pilihan-pilihan yang kita buat dalam sehari.
Semasa bertembung antara keperluan-keperluan diri, bagaimanakah kita membuat keutamaan? Antara majlis ilmu dan pertemuan alumni sekolah. Antara buku dan baju. Antara makan dan bersenam. Pertembungan antara dua benda yang saling hukumnya harus. Bagaimanakah kita menentukan pilihan? Ia menterjemahkan NILAI yang dipegang dalam kehidupan.
Nilai akan menentukan antara buku dan baju, mana yang lebih penting dan segera. Mana yang lebih wajar dilakukan pengorbanan untuk mendapatkannya. Mana yang kehilangannya mencetuskan rasa kerugian kepada diri.
Inilah nilai yang ditegur oleh lelaki Mukmin kepada sahabatnya yang Kafir, pemilik dua kebun, dengan sangkaan bahawa kemuliaan diri ialah pada banyaknya harta dan pengikut. Bukan salah membanyakkan harta dan meramaikan pengikut. Namun di situkah kita meletak harga seorang DIRI?
Jika pemilik dua kebun itu menganggap bahawa dirinya lebih mulia kerana kebun, harta dan pasukannya lebih hebat daripada sahabatnya yang mukmin, logik yang dilontarkan ialah, andai kebun, harta dan pasukan itu hilang, maka hilangkah harga dirimu? Hilang makna?
Analoginya, jika seseorang berasa megah menjawab panggilan telefon kerana memakai Iphone 4S, tetapi bersembunyi di belakang dinding semasa menjawab panggilan telefon kerana memakai Nokia 3210, apakah kehilangan telefon bererti hilang harga diri?
Kaya tidak menjadikan kita lebih tinggi harga diri.
Miskin juga tidak menjadikan kita lebih mulia.
Kaya dan miskin boleh menjadi sebab manusia kufur.
Kaya dan miskin juga boleh menjadi sebab manusia bersyukur.
Kaya atau miskin hanya ujian. Bagaimanakah kita menguruskan kekayaan dan kemiskinan, antara syukur dan sabar… di situlah nilai diri kita bertambah dan berkurang. Yakni pada sebuah TAQWA.
Sudah tentu nilai itu, terbit daripada pandangan hidup.
Jika hidup ini ialah diri, daripada diri kepada diri, memenuhi kehendak dan keperluan diri, sebagaimana sempitnya keupayaan diri dan luasnya kemahuan diri, manusia akan tertipu dengan apa yang diri perolehi. Terasa harta yang dikumpul adalah petanda tinggi harga diri. Terasa kekurangan harta sebagai rendahnya nilai pada diri.
Jika hidup ini lebih daripada sekadar diri, bahawa diri itu adalah ciptaan yang ada Pencipta, yang penciptaan ciptaan oleh Pencipta itu ada TUJUAN, maka diri bukan untuk diri, tetapi diri untuk Pencipta diri. Datanglah makna menjadi seorang hamba, yang memperhambakan diri bukan kepada diri, tetapi kepada Pencipta diri. Hidup adalah sebuah kehambaan.
Pandangan itu adalah hasil sebuah iktiqad.
Aqidah yang membantu mendefiniskan siapa diri, siapa Pencipta diri, dan apakah erti kehidupan ini.
Surah al-Kahf melalui kisah Ashaab al-Kahf, kisah pemilik dua kebun, kisah Musa dan hamba Allah yang soleh (Khidir) serta kisah Dzulqarnain, memaparkan muhasabah intensif, menyeluruh, menusuk, merombak, meruntuh, dan membina untuk seorang DIRI, agar hidupnya ada MAKNA.
sumber: www.saifulislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan