Ahad, 17 Ogos 2014

Zakat vs Wakaf

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID | .
Soalan:
Mutakhir ini umat Islam di Malaysia digalakkan untuk menunaikan ibadah wakaf, malah di kaunter Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, turut menerima wakaf bagi pihak Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Bolehkah ustaz perjelaskan perbezaan dan kelebihan di antara dua jenis ibadah ini, demi memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada umat Islam semasa melakukannya, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, semoga dengan jawapan yang diberikan ini mampu memberikan pencerahan kepada umat Islam mengenai ibadah maliyyah (harta) ini. Sesungguhnya, ibadah harta memang sangat dituntut dalam Islam, kerana ia mencerminkan iltizam sebenar umat kepada agamanya. Di dalam al-Quran, dianggarkan terdapat kira-kira 160 ayat yang menyentuh mengenai harta, dan ia sudah pastilah menggambarkan betapa perlunya orang-orang yang beriman sentiasa menguruskan hartanya di jalan yang Allah SWT redha.

Di antaranya Allah SWT berfirman: “Dan kamu (orang yang beriman) berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu, dan yang demikian itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (as-Saff: 10)

Baiklah, memang ada orang yang agak keliru dengan dua jenis ibadah ini, iaitu ibadah zakat dan wakaf. Malah, pengalaman penulis sendiri semasa menjaga kaunter zakat di LZS, memang ada orang yang mahu menunaikan wakaf tanpa terlebih dahulu menyemak status zakatnya, wal hal kita mestilah terlebih menyedari keutamaan (hierarki atau awlawiyat) di antara dua jenis ibadah berkenaan.

Sebagai umat Islam, sudah sepatutnyalah kita mengetahui perbezaan di antara keduanya, agar apabila kita melakukannya, maka kita benar-benar diberikan pahala oleh Allah SWT. Maka, untuk mempermudahkan kita semua dalam memahami dan menyelami perbedaan di antara kedua-duanya, di sini penulis paparkan perbedaannya:

ZAKAT

1. Hukumnya adalah wajib, malah berstatus fardu kerana ia merupakan rukun Islam yang ketiga. Maka menunaikan zakat adalah wajib, berpahala menunaikannya dan haram jika ditinggalkan, serta berdosa besar.

2. Zakat bererti, mengeluarkan harta tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu dan diagihkan kepada golongan atau mustahiq atau asnaf yang tertentu.

3. Zakat hanya boleh dikeluarkan apabila pemilik harta itu sudah mempunyai harta yang melebihi keperluan dirinya dan tanggungannya yang wajib, dan harta itu juga melebihi atau mencapai paras nisab.

4. Zakat juga ada lima syarat asas yang wajib dipatuhi, iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Tidak boleh mengeluarkan zakat tanpa cukup syaratnya.

5. Kanak-kanak yang di bawah usia akil dan baligh masih wajib mengeluarkan zakat hartanya, yakni dikeluarkan oleh penjaga atau ibu bapa mereka.

6. Menunaikan zakat mesti dengan harta tertentu, misalnya disyaratkan ada unsur pengembangan (an-nama’) ke atasnya, baharu wajib zakat. Maka, tanah atau rumah yang tidak berkembang (tidak mendatangkan hasil), tidak wajib zakat.

7. Penerima harta zakat (mustahiq atau asnaf) juga sudah tertentu, iaitu lapan golongan sahaja, fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil. Tidak boleh sama sekali menyalurkan harta zakat kepada bukan mustahiqnya, malah boleh membawa kepada tidak sah zakat berkenaan.

8. Harta zakat mestilah didahulukan pengagihannya kepada mereka yang terdekat dan berada di sekitar tempat di mana ia diperoleh, maknanya ditegah daripada membawa keluar harta zakat melainkan dengan syarat yang ketat, misalnya ada keperluan terdesak di tempat lain.

9. Harta zakat yang dikeluarkan oleh seseorang individu hendaklah disalurkan kepada orang yang di luar tanggungan wajibnya, misalnya tidak boleh anak dan isterinya memakan harta zakatnya.

10. Zakat turut dikenakan kepada harta milik individu atau organisasi perniagaan yang bersifat perniagaan (syaksiyyah i’tibariyyah). Maka, jika harta yang diniatkan kepentingan umum, misalnya harta milik persatuan penduduk, masjid dan sebagainya, ia tidaklah dikenakan zakat.

11. Zakat boleh diwakilkan kepada orang lain untuk ditunaikannya. Namun, tidak boleh bagi seseorang itu mengeluarkan zakat bagi pihak orang lain dengan hartanya sendiri, melainkan dengan izin si pengeluar zakat. Malah, jika ditunaikan zakat dengan harta orang lain, ia dikira sudah menambahkan jumlah harta pemilik harta asal dan sekaligus meningkatkan jumlah zakatnya.

Contoh: Si B kena zakat pendapatan RM1,000 daripada jumlah pendapatannya yang berjumlah RM40,000; tiba-tiba si A membayarkannya dengan izin si B daripada harta si A sendiri, maka hakikatnya harta si B bukan lagi RM40,000 tetapi sudah menjadi RM41,000 dan zakatnya bukan lagi RM1,000 tetapi RM1,025.00.

RM40,000 + RM1,000 X 2.5 % = RM1,025.00

WAKAF

1. Hukumnya adalah sunat dan termasuk salah satu urusan muamalat Islam (sama seperti jual beli). Maka, menunaikannya adalah sunat, diberikan pahala melakukannya dan tidak berdosa jika tidak dilaksanakannya.

2. Wakaf bererti, menyalurkan harta tertentu dengan niat untuk dimanfaatkan oleh orang ramai demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semua orang boleh menikmatinya.

3. Wakaf tidak ditentukan syarat mesti mencapai paras nisab, melainkan ia hanyalah sekurang-kurangnya melebihi keperluan diri sendiri dan tanggungannya sahaja, kerana tidak boleh memberikan sedekah (termasuklah wakaf) sehingga menzalimi diri sendiri dan tanggungan wajib.

4. Wakaf mempunyai syarat lebih longgar, termasuklah dalam berwakaf, orang non-muslim juga boleh berwakaf, dengan syarat harta itu memang sempurna milik atas dirinya dan tidaklah ada syarat cukup nisab dan haul atasnya.

5. Disyaratkan mereka yang mahu berwakaf, mestilah sudah sampai usia baligh dan berakal, dan inilah pandangan di sisi Syafie. Maka, anak-anak kecil tidak boleh berwakaf.

6. Tidak disyaratkan jenis harta tertentu, maka seseorang boleh mewakafkan apa sahaja hartanya, sama ada dalam bentuk hartanah, harta beku mahu pun wang tunai, asal sahaja harta itu halal dan membawa faedah.

7. Penerima manfaat harta wakaf tidak disyaratkan muslim atau golongan tertentu sahaja, maknanya semua pihak boleh menerima manfaat atas harta wakaf.

8. Tidak dikenakan sebarang syarat dalam menyampaikan manfaat wakaf, kerana ia memang diniatkan untuk semua orang bagi mendapatkan kebaikannya, maka semua pihak termasuklah di luar negara boleh menikmati hasilnya.

9. Harta wakaf sebaliknya boleh diwakafkan secara wakaf ahli, yakni untuk ahli keluarga atau keturunannya sendiri, dan mereka berhak menikmatinya.

10. Zakat masih dikenakan kepada harta wakaf ahli, kerana ia masih bersifat ‘satu harta’ dengan disandarkan kepada konsep harta bercampur (harta khultah). Namun, zakat tidaklah dikenakan ke atas harta yang diwakafkan untuk wakaf khairi (kebajikan orang luar dari ahlinya atau wakaf umum).

11. Wakaf juga boleh diwakilkan kepada orang lain, malah boleh juga bagi seseorang itu untuk menunaikan ibadah wakaf bagi orang lain tanpa diketahui pun oleh orang berkenaan. Misalnya, si A mewakafkan hartanya atas nama si B, maka ia dianggap sah tanpa sebarang halangan di sisi syarak.

Demikianlah beberapa perbedaan yang nyata di antara ibadah zakat dan wakaf, ia melibatkan status fardu atau sunatnya, melibatkan siapakah penerimanya, jenis hartanya, batas kepada pengeluarnya dan juga beberapa perkara lain yang perlu sangat diperhalusi.

Walau bagaimanapun, keluarkan zakat terlebih dahulu jika kita sudah sampai syarat wajibnya dan kemudian, baharulah dikeluarkan wakaf jika kita masih mempunyai harta yang melebihi keperluan demi mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ini kerana dari segi hukum wajiblah mendahulukan ibadah yang fardu dan kemudian diikuti ibadah yang sunat. Inilah keutamaan beribadah di dalam Islam, wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan