Jumaat, 1 Ogos 2014

Kenal Allah

Datang menerpa si rama-rama,
Si ulat bulu di atas dahan;
Ilmu apa paling utama,
Itulah ilmu mengenal Tuhan.

Camar sekawan di bumbung kapal,
Anak merpati terbang perlahan;
Jikalau Tuhan tidak dikenal,
Sudahlah pasti tersalah sembahan.

Pokok rambutan lebat buahnya,
Tumbuhnya rendah di tepi selat
Tersalah sembahan buruk padahnya,
Segala ibadah tiada manfaat.


Dari Asahan ke Batu Bara,
Membawa bekal buah delima,
Mengenal Tuhan apakah cara,
Gunalah akal dengan saksama.


Menjahit langsir di atas rumah,
Hari kenduri lagi sebulan,
Akal mentafsir Quran dan sunnah,
Alam dan diri sebagai perhatian.


Pucuk paku dihidang nyonya,
Orang Belanda makan berkawan,
Setiap yang berlaku ada pelakunya,
Itulah tanda kewujudan Tuhan.


Pungguk tertawa melihat bulan,
Cerahnya sekerat dilitup awan,
Ambillah nyawa sebagai tamsilan,
Tempatnya di jasad tiada ketahuan.


Membeli dupa di negeri China,
Tembikar bulat dan juga lampu,
Tiada rupa tiada warna,
Untuk melihat mata tak mampu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan