SEPANG – Sekumpulan pelajar e-PJJ (Pendidikan Jarak Jauh separa atas talian) kelas NBMOMF6A, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam telah bekerjasama dengan Kumpulan Media  Karangkraf di bawah 'Knowledge Transfer Program' anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan program membersihkan Pantai Bagan Lalang.

Pengurus Projek Mohd. Hazari Abdul Rani berkata, program ini untuk mendidik para pelajar serta orang ramai meningkatkan kesedaran dan menekankan kepentingan terhadap penjagaan alam sekitar.

Menurutnya, program ini menjadi medium mewujudkan semangat kerjasama dan perpaduan di antara golongan profesional, akademik dan masyarakat setempat.

Katanya, aktiviti ini diharap dapat melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan supaya berani menerima tanggungjawab, merancang strategi, menangani isu atau masalah, mengurus dana dengan amanah, memupuk semangat kerja berpasukan
secara efektif dan proaktif untuk merealisasikan matlamat program ini.

“Mereka juga berjaya menarik minat ramai pihak termasuk beberapa agensi kerajaan dan NGO seperti Majlis Perbandaran Sepang, Penghulu Mukim Sepang, Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,
Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kolej Teknologi Timur, Kelab Pemilik Kereta Exora Malaysia (EOCM) dan pihak pengurusan Pusat Pendidikan Neo, Universiti Teknologi MARA,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/karangkraf-uitm-bersih-pantai-bagan-lalang-1.367490