Secara keseluruhan, sentimen peniaga dan pengguna adalah agak berhati-hati dan beberapa feedback dari rakan-rakan peniaga Cina yang saya kenali menyebut tentang sedikit penurunan jualan mereka akhir-akhir ini terutamanya di dalam bahan mentah untuk pembinaan dan permintaan hartanah juga agak lembap.
Pengaruh penurunan peluang bekalan dan kontrak kerajaan serta swasta juga agak jelas berlaku mungkin disebabkan kerajaan mengambil langkah berhati-hati di dalam perbelanjaan dan bajet.
Di dalam senyap atau nyata, beberapa buah syarikat "besar" ada yang telah atau sedang mengatur program-program VSS (Volunteer Separate Scheme) atau apa sahaja terma yang digunakan untuk mengurangkan kos dan ini mungkin langkah biasa bagi syarikat korporat tetapi saya lihat ia sebagai langkah untuk persediaan untuk mengurangkan kos operasi syarikat.
Dengan kos import yang masih lagi tinggi disebabkan kadar tukaran mata wang asing Amerika masih lagi tinggi serta harga minyak yang masih rendah dibandingkan beberapa tahun kebelakangan ini, anda jangan rasa pelik jika mendengar lebih banyak berita mengenai aktiviti "down-sizing" syarikat-syarikat GLC atau korporat untuk beberapa tahun ini bermula tahun ini.
Walau bagaimanapun, saya lihat industri pemakanan halal mempunyai peluang yang sangat besar apatah lagi jika ia dipelopori oleh orang Islam, begitu juga produk yang melibatkan pertanian, produk konsumer dan harga yang rendah akan mudah menjadi pilihan untuk keadaan ekonomi yang lembap ini.
Bank pasti akan dinasihatkan oleh Bank Negara untuk lebih ketat di dalam polisi memberikan pinjaman dan ini juga bakal menjadi salah satu faktor yang sedikit sebanyak akan mengganggu kadar pertumbuhan ekonomi negara.
Jujur saya katakan, pemimpin Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar perhimpunan untuk melakukan transformasi serta menyokong pembangunan ekonomi terutamanya di kalangan bumiputera. Suka saya tekankan lagi sekali sepertimana saya sebutkan sebelum ini bahawa memberikan pinjaman oleh agensi kerajaan kepada usahawan tanpa latihan dan bimbingan yang "proven success result" hanyalah satu pembaziran sumber yang ada walaupun ia dilihat sebagai usaha serta inisiatif yang bagus.
Bangsa Cina tidak berhimpun untuk menunjukkan mereka menguasai ekonomi tetapi mereka menyebarkan ilmu dan pengalaman di kalangan generasi mereka untuk berniaga dan menguasai perniagaan. Ini telah dilakukan generasi demi generasi dan ia semakin kukuh berkembang tanpa subsidi dan bantuan kerajaan.
Nasihat saya kepada anda yang masih bekerja di luar sana, jaga pekerjaan anda ketat-ketat tetapi pada masa yang sama buatlah persediaan untuk berniaga kerana walaupun keadaan ekonomi dilihat akan mengalami sedikit kelembapan, tetapi peluang berniaga itu masih banyak kerana walau bagaimanapun, di mana ada manusia, di situ tetap ada masalah dan di mana ada masalah, maka di situ ada peluang dan ruang untuk kita membantu dengan produk atau perkhidmatan yang sesuai. Jangan berniaga jika tidak ada ilmu kerana peluang anda untuk berjaya itu agak lambat malah agak berisiko tinggi.
Biar apapun keadaan ekonomi di luar sana, apa yang penting adalah kita menguasai keadaan ekonomi diri kita sendiri. Kita mengawal perbelanjaan kita sendiri serta segera belajar membina pendapatan yang lebih tinggi. Jangan terlalu bergantung dan berharap kepada kerajaan atau orang lain.
Di dalam kepayahan pasti ada kesenangan Insya-Allah. Dan peluang biasanya hanya akan dilihat oleh mereka yang tahu dan berilmu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan