Selasa, 22 September 2015

Whatsapp

Pada masa kini, laman sosial seperti Facebook bukan satu-satunya medium untuk berkomunikasi. Kini Whatsapp semakin popular dikalangan pengguna telefon pintar. Dari golongan muda, mahupun sudah berusia, aplikasi ini menjadi pilihan bagi semua untuk bersosial, terutama fungsi "group"nya. Ia lebih pantas dan mudah untuk menghantar pesanan, gambar dan video.
Aplikasi ini menjadi begitu popular memandangkan ia percuma dan senang digunakan. Untuk menubuhkan kumpulan, anda cuma perlu seorang pentadbir yang akan menambah ahli-ahli lain.
Antara kumpulan yang biasa diwujudkan adalah di kalangan ahli keluarga, bekas rakan sekolah, kawasan kejiranan dan rakan sekerja.
Ada kebaikan dan banyak juga sisi negatif yang perlu kita renungi. Adakalanya ada di antara ahli yang kita masukkan dalam kumpulan meninggalkan kumpulan secara tiba-tiba. Bagi yang mengenali, mereka tentu akan tertanya-tanya faktor individu itu berbuat demikian.
Memang tak dinafikan, group Whatsapp ini sentiasa membuatkan kita senyum sepanjang hari. Ada sahaja gambar-gambar lawak untuk dijadikan bahan ketawa. Namun, ia juga menjadi medium terpantas untuk menyebarkan khabar angin yang belum tentu kesahihannya. Semudah copy dan paste dari group lain.
Selalunya yang menimbulkan masalah dalam penggunaan fungsi ini kerana ahli yang terlalu ramai. Lebih 10 orang ahli sahaja sudah cukup memeningkan. Apatah lagi kumpulan yang memiliki 50 ahli!
Dengan perbezaan latar kehidupan dan cara berfikir, ada juga ahli yang berlumba-lumba menjadikan ruang awam tersebut sebagai medan menunjuk-nunjuk.
Ada yang obses menceritakan mengenai kisah kejayaan anak. Ada yang suka berkongsi kisah percutian mereka mahal di luar negara. Ada juga yang merasakan ia adalah tempat paling sesuai untuk menyebarkan dakyah politik mereka.
Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan dan perdebatan yang sia-sia, mungkin langkah-langkah ini dapat membantu mereka yang ingin menubuhkanwhatsapp.
  • Pastikan ahli-ahli yang ingin anda masukkan berkongsi sekurang-kurangnya satu hal yang sama. Misalnya kumpulan di kalangan bekas pelajar, atau rakan yang memiliki hobi yang sama. 
  •  Jangan memasukkan mereka yang langsung tiada kaitan, atau tidak mengenali ahli-ahli yang lain.
  • Jangan gunakan ruang awam itu hanya untuk berbual bersama seorang dua ahli yang lain. Lebih baik jika anda menghantar pesanan kepadanya secara terus. Terutama jika ahli lain tidak tahu-menahu tentang perbualan anda.
  • Lihat tujuan utama penubuhan kumpulan. Setiap kumpulan biasanya adalah untuk berbincang dan berbual-bual secara santai dengan rakan-rakan. Oleh itu kurangkan berkongsi gambar atau pesanan yang dambil dari kumpulan lain, atau yang tidak relevan dengan kumpulan. Berkongsilah seadanya dan sewajarnya.
Dunia hari ini memang menarik dan unik. Tidak bersua tetapi boleh berbual mesra. Namun teknologi ada kalanya membuatkan kita lupa sisi manusia. 
Keterujaan kita mungkin membuatkan kawan-kawan merasa meluat, malah tersinggung. Justeru janganlah jadikan kemudahan ini sebagai punca perbalahan, yang biasanya tercetus akibat sedikit salah faham sahaja. 

 http://bm.theantdaily.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan