Bahasa Jawa Malaysia
mytiangjawi@gmail.com
a. Pendahuluan
Pastinya ramai sedia maklum akan terdapatnya komuniti yang besar masyarakat keturunan Jawa di Malaysia, khususnya di sepanjang persisiran pantai barat semenanjung, memanjang dari Bagan Datuk, Perak sehinggalah selatan Johor. Begitu juga di bandar2 utama Sabah seperti Tawau dan Sandakan. Malah, nama seperti Kampung Jawa, Kg Pachitan, Kg Ponorogo, Kg Begelen boleh di temui di banyak lokasi yang menunjukkan satu ketika dahulu ianya pernah dihuni oleh masyarakat Jawa. Ertinya kehadiran masyarakat Jawa di Tanah Melayu bukanlah merupakan perkara yang asing.
Tidak tercatat secara resmi tarikh permulaan perpindahan masyarakat Jawa ke Tanah Melayu. Tetapi dipercayai ia bermula sejak zaman Kesultanan Melaka. Sungguhpun begitu kemuncak penghijrahan ini difahami bermula pada penghujung kurun ke 19 sehinggalah pertengahan kurun ke 20. Tidak seperti penghijrahan masyarakat Jawa ke Surinam, New Calidonia atau wilayah2 lain di luar Pulau Jawa, tiada rekod resmi kedatangan mereka ke Tanah Melayu. Sehingga kini mungkin masih terdapat penduduk Pulau Jawa yang terkejut bila dinyatakan terdapat kelompok besar masyarakat keturunan Jawa menetap di Malaysia. Mungkin keadaan ini menjadi salah satu faktor yang kerap mengundang pelbagai polemik, khususnya apabila timbul isu berkaitan budaya Jawa di Malaysia.
b. Bahasa Jawa
Nukilan ini hanya menjurus kepada satu aspek budaya Jawa, ia itu Bahasa Jawa versi Malaysia. Dalam satu perbincangan santai bersama penyelidik dari sebuah universiti terulung di Indonesia pernah dimajukan perkara ini, dan mereka kelihatan agak terkejut mendengar ujudnya Bahasa Jawa Malaysia.
Apakah terdapat perbezaan di antara Bahasa Jawa asli (Pulau Jawa) dengan Bahasa Jawa Malaysia? Mungkin penjelasan berikut dapat memberi sedikit pencerahan.
Pada asasnya terdapat dua jenis Bahasa Jawa, Bahasa Kromo dan Ngoko. Di sini Bahasa Kraton tidak dibincang bersama kerana penggunaannya hanya terbatas di dalam istana. Di Malaysia, istilah yang mengelirukan diguna untuk dua bahasa ini, iaitu masing-masing disebut sebagai Bahasa Jawa Halus dan Jawa Kasar. Walaupun kedua-dua istilah ini tidak tepat, umum telah menerimanya sebegitu. Bahasa Kromo pada asasnya terdapat dua peringkat utama, Kromo Madya dan Kromo Inggil. Bahasa Kromo ini lazimnya dituturkan apabila seseorang itu berbicara dengan individu yang lebih tinggi statusnya, dari segi pangkat mahupun usia. Ia menunjukkan rasa hormat tingkah laku seseorang itu terhadap orang lain atau menggambarkan status sosialnya. Keadaan ini turut mengundang perbahasan berkait punca pengujudan Bahasa Kromo ini. Banyak persamaan perkataan dalam Bahasa Kromo Madya dan Inggil.
Bahasa Ngoko lebih banyak dituturkan dalam perbualan seharian. Korsa katanya jauh lebih banyak berbanding Bahasa Kromo. Sebenarnya tidak ada istilah kasar dalam penggunaan Bahasa Ngoko ini, cuma tidak seperti Kromo, Ngono dipengaruhi dialek setempat. Ertinya Ngoko Jawa Timur tidak semestinya sama dengan Ngoko Jawa Tengah atau Solo. Atau untuk lebih terperinci, Ngoko Ponorogo pastinya berbeza dengan Ngoko Ngapak. Namun begitu pentutur kedua2 dialek masih boleh memahami tutur kata perbualan di antara mereka. Adakah Bahasa Kromo ini berbeza dengan Ngoko? Sebenarnya ia adalah dua bahasa yang berbeza. Ini bermaksud masyarakat Jawa di Pulau Jawa menguasai sekurang2nya tiga bahasa iaitu Bahasa Indonesia, Kromo dan Ngoko. Malah ketika bertutur mereka biasa menyampuradukkan ketiga2 bahada ini. Berikut adalah beberapa contoh lazim mengikut urutan perkataan masing2 dalam Bahasa Melayu/Indonesia, Ngoko, Kromo Madya dan Kromo Inggil.
- pergi, lungo, kesah, tindak
- rumah, omah, griya, dalem
- makan, mangan, nedi, dhahar
c. Bahasa Jawa Malaysia
Lain pula keadaannya di Malaysia. Penggunaan Bahasa Kromo (majoritinya Kromo Madya) amat terbatas hanya di kalangan generasi tua yang kini semakin mengecil bilangannya. Generasi ketiga dan selepasnya amat sedikit yang dapat mengusai bahasa ini. Ini disebabkan penggunaannya amat terbatas dan tiada sistem pembelajaran yang khusus. Keupayaan bertutur semata2 bergantung kepada pengalaman berbicara dengan genarasi tua yang mungkin generasi pertama atau kedua.
Generasi Jawa sekarang bertutur menggunakan Bahasa Jawa Ngoko versi Malaysia atau rengkasnya Bahasa Jawa Malaysia. Ada beberapa faktor yang menyebabkan ianya berlaku.
1. Masyarakat Jawa Malaysia pada awalnya berkumpul dalam penempatan mengikut kumpulan asal usul mereka di Jawa. Malah kebanyakan mereka mempunyai talian persaudaraan. Contohnya, kumpulan dari Jawa Tengah berkampung sesama mereka dan mengekalkan dialek Ngoko Jawa Tengah mereka. Begitu juga kumpulan dari Jawa Timur, Solo dan sebagainya. Namun, lama kelamaan pergaulan antara masyarakat ini telah menyampuradukkan Ngoko pertuturan mereka. Tambahan pula sifat kedaerahan mereka ketika di Jawa telah di atasi dengan semangat Kejawaan yang lebih meluas lagi. Perlu diingat, generasi kedua dan selepasnya ini tidak ada, atau semakin kurang ikatan sentimen dengan Pulau Jawa kerana mereka ini adalah lahiran setempat. Hasilnya, terbentuk dialek baharu Ngoko daripada campuran pelbagai dialek asal di Jawa.
Berikut adalah beberapa contoh variasi istilah Ngoko Jawa Malaysia.
- Kejar: kiter, oyok
- Satu: siji, sitok
- ikan masin: gereh, gesek.
- cili padi: lombok rawit, cempling
- tidak mau: wegah, moh.
2. Bahasa adalah sesuatu yang dinamik. Bahasa yang statik pasti akan terpupus kesudahannya. Hal yang sama berlaku kepada Bahasa Jawa Malaysia. Kedinamikannya membolehkan korsa kata baru yang berasal dari Bahasa Melayu dan Inggeris diterima dan difahami menjadi Bahasa Jawa. Contol, istilah 'cuba' dalam Ngoko adalah 'jajal'. Namun Jawa Malaysia juga menggunakan istilah 'terei' yang berasal dari bahasa Inggeris 'try'. Begitu juga dengan 'gedei' (kedai) serta 'gostan' (mundur).
3. Terdapat juga terjemahan perkataan Bahasa Melayu ke dalam Bahasa Jawa Malaysia yang berbeza dengan istilah sedia ada dalam Bahasa Jawa, namun diterima oleh komuniti Jawa Malaysia. Contoh, 'dua kali' diJawakan menjadi 'rong kali', sedangkan istilah Jawa yang sebenarnya adalah 'kaping pindo'. Namun penJawaan yang paling ketara adalah dalam perhitungan di antara 21 hingga 29. Contoh, 21, 27 dalam bahasa Jawa sepatutnya disebut sebagai 'selikur, pitu likur', tetapi Jawa Malaysia memilih untuk menJawakan hitungan Bahasa Melayu, iaitu 'rong puluh siji (21), rong puluh pitu (27)'. Sebutan 'slawe' (25), 'seket' (50) dan 'sewidak' (60) juga telah diganti dengan masing2 'rong puluh limo', 'limang puluh' dan 'enem puluh'.
3. Terdapat juga istilah Bahasa Jawa yang tidak atau jarang diguna dalam pertuturan Bahasa Jawa Malaysia kerana lebih selesa menJawakan istilah Melayu. Contoh yang paling ketara adalah dalam ucapan keraian. Selamat datang lebih diguna berbanding 'sugeng rawuh'. Begitu juga istilah belajar (sinau), selamat pagi/malam (sugeng enjang/dalu). Contoh lain adalah seperti, sengoro (laut) dan lenga (minyak). Namun sebutan 'matur nuwon (maaf)' dan 'monggo (silakan)' masih diguna dengan meluas.
4. Kedinamikan bahasa pasti berkembang dengan situasi setempat. Ianya bukan sahaja berlaku kepada Bahasa Jawa Malaysia, malah juga kepada Bahasa Jawa di Pulau Jawa. Ketiadaan intilah menyebabkan berlakunya proses asimilasi bahasa lain. Perkataan asal daripada Bahasa Indonesia atau Belanda juga turut diucap dalam Bahasa Jawa Pulau Jawa. contoh perkataan adalah seperti gratis (percuma), kamar kecil (tandas),
d. Penutup
Dunia tanpa sempadan memudahkan proses berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Hubungan secara dalam talian mengeratkan lagi ikatan bahasa dan budaya masyarakat keturunan Jawa di pelusuk dunia. Walaupun dinamik bahasa memperbesarkan jurang perbezaan di antara lokaliti, tetapi kesannya dapat dibendung dengan keakraban bersama. Namun masalah yang lebih besar adalah kelestarian Bahasa Jawa bagi generasi akan datang khususnya keturunan Jawa yang tidak menetap di Pulau Jawa.
Wassallam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan