Sabtu, 4 November 2017

Bakti

*Seorang ayah yang baru pulang dari kerja, walau bagaimana penat sekalipun namun apabila nampak keletah anak2nya yang masih kecil, ayah sanggup rangkul dan dokong anak2. *Hilang rasa penat seharian berkerja si ayah apabila nampak anak2 gembira*.

Tetapi ketika ayah sudah tua, ibu sudah tua, ramai anak2 tak mampu hendak dokong ayah dan ibu atau pun setidak-tidaknya gembirakan hati mereka.

Ada satu kisah tentang seorang hartawan yang mempunyai seorang ayah yang lumpuh. Satu hari beliau mengambil keputusan untuk tinggalkan kerjanya buat sementara untuk pulang ke kampung demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai anak.

Si ayah sudah lumpuh selama 7 tahun. Dalam tempoh itu yang menguruskan si ayah ialah seorang nurse yang digajikan. Orang yang tiada pertalian keluarga ini apalah sangat yang mereka boleh lakukan. Selesai tugas baliklah. Apa lagi hendak diharapkan.

Tetapi tak sama sekiranya anak2 sendiri yang lakukannya dengan  ikhlas. Tidak tergambar betapa terkesannya perasaan orang2 tua apabila anak2 mereka sendiri yang pernah dipeluk cium satu  ketika dahulu yang uruskan mereka.

Hati hartawan itu sebenarnya sudah terusik selepas mendengar satu pengisian daripada seorang ustaz berkaitan tanggungjawab anak2 memelihara ibu bapa yang sudah tua. Lalu hati beliau meronta  mahu pulang segera ke kampung.

Semasa sampai di kampung, waktunya awal pagi lalu beliau mengambil kesempatan berjemaah terlebih dahulu di masjid. Selepas solat beliau perasan ada satu  program Maal Hijrah di rancangkan malam nanti di masjid. Dia seperti sudah tahu apa hendak dilakukannya.

Si Ayah gembira tak terkata anak kesayangannya pulang ke pangkuan. Waktu beliau sedang disiapkan oleh nurse bertugas si anak bertanya, “Ayah, nak tak jika malam  ini saya bawa ayah ke masjid. Malam ni ada Ceramah Maal Hijrah.”

Terharu si ayah sambil berkata, “Along, along tahu kan ayah dulu orang masjid. Along, ayah dah bosan sebenarnya asyik duduk terperap dalam rumah ni. Along tahukan ayah rindukan masjid. Rindu sangat dengan kawan2 ayah di masjid. Kalau along nak bawa. Ayah syukur sangat.”

Pilu rasa hati. Si anak berazam malam itu dia akan dukung ayahnya ke masjid. Pasti!

Sebagaimana yang diazamkan petang itu si hartawan tadi siapkan ayahnya dengan jubah kemudian dukung ayahnya masuk ke kereta.

Dalam perjalanan, ketika melintasi perpohonan rambutan si ayah tersenyum, ”Along, masa along kecil, sampai senja along duduk atas pokok rambutan ni. Ayah marah along waktu tu. Ayah rotan along suruh balik. Ayah minta maaf ye along,” kata si ayah.

Lain benar kegembiraan si ayah apabila sesekali dapat keluar dari hanya menatap dinding dan atap di rumah. Apalagi setelah sampai ke masjid. Bertemu semula rakan2 masjidnya dahulu. Jarang si anak lihat ayahnya segembira itu sepanjang beliau lumpuh. Dimanfaatkan betul waktu itu sepertinya dia sudah lupa bahawa dirinya itu lumpuh dan sakit.

Waktu pulang dari masjid si ayah terasa mahu berterima kasih benar kepada anaknya, ”Along, terima kasih bawa ayah ke masjid. Along anak yang baik. Ayah redha pada along. Ayah doakan syurga buat along . Mudah2an berkat hidup along dan dimurahkan rezeki along.”

Kata2 itu benar2 meruntun jiwa seorang anak yang sudah lama  mengabaikan tangungjawabnya.

Sampai di rumah si hartawan bertanya kepada ayahnya sebelum tidur, mahukah dia pergi lagi ke masjid subuh nanti. Gembira tidak terkata si ayah menjawab, “Nak, nak” sepertinya anak kecil yang diumpan gula2.

Dalam sendirian si anak itu menangis . Terasa teruk benar dirinya selama ini tetapi ayahnya tidak ragu2 meredhakan dirinya hari ini atas sumbangan kecilnya. Allah….

Esoknya, si anak bangun awal demi menyiapkan ayahnya untuk berjemaah di masjid subuh itu.

Beberapa kali digerakkan tetapi tiada sebarang respon daripada si ayah. Diusahakan lagi namun ayahnya nampak kaku tidak berkutik sedikitpun. Beliau cemas, namun apa yang dirisaukan, itulah yang berlaku, Innalillahiwainnalillahiraajiun….. ayahnya sudah pergi buat selamanya.

Rupa2nya kesempatan yang ada pada malam tadi adalah kesempatan yang terakhir untuk beliau. Peluang itu sudah tidak ada lagi. Tidak ada. Namun kenangan indahnya terus bersemadi di jiwa.

Kawan2,
Sesiapa yang ada ayah, yang ada ibu gunakanlah kesempatan yang ada untuk berbakti.

Berapa ramai ayah2 dan ibu2 yang terluka perasaannya dengan anak2 mereka.

Terkadang kita ini sudah jadi orang masjid, kaki ibadah, tetapi dengan mak ayah ini hati kita keras sangat hendak buat baik pada mereka.

*Hijrahlah daripada seorang anak yang derhaka kepada anak yang taat kepada kedua ibubapa.*
- Ahmad Fairoz Daud -
#istiqamah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan